Neal Maupay memainkan watak pemusnah sebanyak dua kali ketika berdepan Arsenal apabila pemain kelahiran Perancis itu menjaringkan gol kemenangan buat Brighton pada masa kecederaan.
Dia juga menjadi punca penjaga gol The Gunners, Bernd Leno menjerit kesakitan memecah kesunyian di Stadium Amex yang kosong selepas terjatuh akibat ditolak.
Penjaga gol kelahiran Jerman itu mengalami kecederaan lutut dan sempat menuding jari memarahi Maupay ketika diusung keluar.
Kekalahan Arsenal itu menyaksikan peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan semakin pudar walaupun satu ketika mendahului 1-0 tapi akhirnya tumpas 1-2.
“Saya rasa dia mengalami lutut terseliuh dan kita akan menilai sejauh mana tahap kecederaannya,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Nicolas Pepe meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-68 hasil rembatan lencong dari dalam petak penalti.
Bagaimanapun, kerapuhan benteng Arsenal akhirnya berjaya dihidu Brighton apabila pertahanan tuan rumah, Lewis Dunk menampan masuk bola di depan garisan gol.
Menambah kelukaan Arsenal ialah jaringan kemenangan yang disempurnakan Maupay pada masa kecederaan selepas menerima hantaran Aaron Conolly.
Maupay dan Matteo Guendouzi terpaksa ditenangkan selepas perlawanan tamat apabila keadaan menjadi semakin genting.
“Sesetengah pemain harus belajar apa itu merendah diri, terutama salah seorang daripada mereka. Dia sentiasa bercakap sepanjang perlawanan, dia selalu menyebut perkataan kurang baik. Ini apa yang berlaku apabila anda terlalu bercakap banyak di atas padang,” kata Maupay.
Pasukan bimbingan Arteta menghuni di tangga ke-10, lapan mata ketinggalan dari kelompok empat terbaik dan malah tidak mampu untuk melayakkan diri ke Liga Europa.
“Ia tidak boleh diterima cara kami kalah dalam perlawanan itu. Malah kami terlepas beberapa peluang dan tidak menyempurnakan jaringan kedua,” kata Arteta.-AFP