Maulidur Rasul satukan masyarakat Lingga, jerebu tidak patahkan semangat

Facebook
WhatsApp
DAYANG Noorazah pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M Peringkat Daerah Lingga di Masjid Al-Hana, Lingga, hari ini. Foto ADUN Lingga

LINGGA: Keadaan jerebu yang melanda tidak mematahkan semangat masyarakat Lingga untuk menghayati sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M, sebaliknya menyemarakkan lagi nilai kebersamaan dan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar acara tahunan, tetapi wadah penting untuk masyarakat menghayati perjuangan, akhlak dan sunnah Rasulullah SAW.

Menurutnya, nilai kasih sayang, amanah, kesabaran, persaudaraan, keadilan dan sikap saling menghormati yang ditunjukkan Rasulullah SAW perlu terus diterapkan dalam kehidupan seharian bagi membentuk masyarakat Lingga yang bersatu padu dan harmoni.

“Maulidur Rasul juga harus menjadi kesempatan untuk kita bertanya kepada diri sendiri sejauh mana kita telah menghayati akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

SAMBUTAN Maulidur Rasul Peringkat Daerah Lingga tetap meriah walaupun perbarisan terpaksa disesuaikan susulan keadaan jerebu. Foto ADUN Lingga

“Bukan sekadar berselawat dan memperingati kelahiran Baginda, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kita menerapkan ajaran dan akhlak Rasulullah SAW dalam keluarga, pekerjaan, pendidikan dan kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M Peringkat Daerah Lingga di Masjid Al-Hana, Lingga, hari ini.

Dayang Noorazah berkata, keadaan jerebu menyebabkan perbarisan seperti yang dirancang pada tahun-tahun sebelumnya terpaksa disesuaikan, namun keadaan itu tidak menghalang masyarakat daripada terus hadir bersama-sama mengimarahkan sambutan.

Katanya, semangat masyarakat untuk berkumpul, berselawat, berdoa dan memperingati perjuangan Rasulullah SAW membuktikan kecintaan terhadap Baginda tetap subur dalam kalangan masyarakat setempat.

“Keadaan jerebu mungkin membataskan pergerakan kita pada hari ini, tetapi ia tidak seharusnya membataskan rasa cinta kita kepada Rasulullah SAW,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji penyertaan lapan kontinjen dalam perbarisan sambutan berkenaan, terdiri daripada enam kontinjen Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lingga, satu kontinjen JKKK Seduku Agropolitan serta satu kontinjen Masjid bersama PBB Ranting Lingga.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kontinjen yang memberikan komitmen dalam menjayakan sambutan walaupun pelaksanaan perbarisan perlu disesuaikan dengan keadaan semasa.

Pada masa sama, Dayang Noorazah menekankan kepentingan penglibatan generasi muda dalam program keagamaan dan kemasyarakatan, khususnya penyertaan pelajar Islam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lela Pahlawan dan Sekolah Jenis Iebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Lingga dalam Pertandingan Tanglung.

Katanya, penglibatan golongan muda bukan sahaja dapat mencungkil kreativiti dan bakat, malah memberi peluang kepada mereka mengenali serta menghayati sambutan Maulidur Rasul sejak di bangku sekolah.

“Saya berharap lebih banyak sekolah, anak-anak muda dan generasi baharu di kawasan Lingga akan terus diberi ruang untuk terlibat dalam program-program keagamaan dan kemasyarakatan seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, semangat persaudaraan dan saling menghormati yang ditunjukkan Rasulullah SAW ketika membina masyarakat Madinah wajar dijadikan teladan dalam kehidupan masyarakat Lingga yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, perbezaan budaya, latar belakang dan kehidupan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk masyarakat hidup aman dan harmoni, sebaliknya perlu dijadikan kekuatan untuk saling mengenali, menghormati dan membantu.

Sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, beliau berharap semangat kebersamaan yang ditunjukkan sempena Maulidur Rasul tidak berakhir selepas majlis selesai, sebaliknya diteruskan dalam kehidupan seharian di rumah, tempat kerja, sekolah, masjid dan komuniti.

“Walaupun sambutan pada tahun ini sedikit berbeza kerana keadaan jerebu, saya percaya nilai sebenar Maulidur Rasul tidak pernah berubah, iaitu kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dan usaha kita untuk mencontohi akhlak Baginda.

“Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Baginda, mencontohi akhlaknya dan menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan kita,” katanya.

Oleh Adi Safarman