
KABONG: Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong tahun ini dijangka meriah dengan pelbagai acara menarik yang bakal menghimpunkan masyarakat setempat tanpa mengira usia dan latar belakang.
Acara tumpuan sudah tentu Pertandingan Sepanduk yang menawarkan tiga kategori iaitu Masjid, Surau, Jabatan, Persatuan dan Kampung yang bakal berlangsung dengan penuh warna-warni dan kreativiti luar biasa.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata pengisian di Masjid Assabirin Kabong itu turut memeriahkan suasana dengan Pertandingan Azan bagi kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah serta Zikir Maulud yang pastinya menyentuh hati.
Perarakan gilang-gemilang akan bermula di Kabong Town Square sebelum berakhir di Pusat Penjaja Kabong, lokasi yang bakal menjadi tumpuan ramai.
Mesyuarat Jawatankuasa Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Kabong itu turut mengumumkan tema rasmi tahun ini ‘Sarawak Maju Makmur’ yang melambangkan perpaduan dan kemakmuran rakyat Sarawak yang berbilang kaum.
Chee Kadir memaklumkan, borang penyertaan untuk semua pertandingan akan diedarkan dalam masa terdekat, jadi orang ramai diseru bersiap sedia untuk mendaftar dan tampil dengan idea terbaik.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut, Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK), Kaunselor Ulin Tabur, wakil jabatan kerajaan, pengerusi masjid dan surau, serta ketua masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman