Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • MATRADE sokong usaha capai potensi perdagangan, pelaburan bernilai RM13 bilion di Ekspo Osaka
  • BISNES

MATRADE sokong usaha capai potensi perdagangan, pelaburan bernilai RM13 bilion di Ekspo Osaka

Utusan Sarawak 3 days ago
PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berhasrat untuk menyasarkan potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM13 bilion melalui penyertaannya di Ekspo 2025 Osaka, Jepun.

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menyokong pendekatan kerajaan yang menyeluruh dalam mencapai potensi perdagangan dan pelaburan sebanyak RM13 bilion di Ekspo 2025 Osaka, Kansai, Jepun.

Penyertaan Malaysia di Ekspo 2025 Osaka yang akan berlangsung selama enam bulan disokong oleh penglibatan daripada 21 kementerian Persekutuan dan kira-kira 70 jabatan serta agensi kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata sebagai agensi utama dalam memajukan peluang perdagangan global, MATRADE akan membantu syarikat-syarikat Malaysia menembusi pasaran baharu serta merangka penglibatan berimpak tinggi yang bertujuan memupuk hubungan strategik, memacu momentum pelaburan dan meningkatkan kepimpinan Malaysia dalam sektor-sektor pertumbuhan utama.

Bertunjangkan tema pavilion “Weaving a Future in Harmony” dan selari dengan visi ekspo untuk “Design Future Society for Our Lives”, beliau berkata strategi MATRADE mencerminkan pendekatan berwawasan yang menghubungkan perdagangan dengan kuasa-kuasa yang membentuk masa depan.

“Dalam visi ini, perdagangan bukanlah sesuatu yang terpisah daripada inovasi atau kemampanan, tetapi ia adalah sebahagian daripada sistem yang saling berkaitan, oleh itu, menghubungkan manusia, teknologi dan matlamat meletakkan Malaysia sebagai penyumbang yang yakin dan kolaboratif kepada kemakmuran global yang dikongsi bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Mustafa berkata peranan MATRADE telah berkembang melangkaui promosi perdagangan secara konvensional, memandangkan pergantungan semata-mata kepada pameran produk dan memperkenalkan pembeli tidak lagi mencukupi dalam persekitaran pasaran yang dinamik masa kini.

Sehubungan itu, beliau berkata Program Perniagaan MATRADE menerima pakai pendekatan yang lebih strategik, selaras dengan evolusi rantaian nilai global yang dipengaruhi oleh tekanan teknologi dan geopolitik.

“Melalui penglibatan tersusun secara terperinci seperti padanan perniagaan sektor-sektor khusus, seminar bertemakan industri dan sesi pembentangan bersasar, inisiatif ini direka untuk membina perkongsian yang bermakna dan berjangka panjang.

“Dengan lebih 270 mesyuarat diadakan di bulan pertama sahaja dan jualan yang berjaya diraih bernilai RM488.88 juta, ini membuktikan keberkesanan model penglibatan yang lebih berfokus, berasaskan nilai dan berorientasikan matlamat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Mustafa berkata penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2025 Osaka hadir pada saat yang amat strategik, iaitu titik ketika cita-cita negara bertemu dengan kepimpinan serantau.

Beliau berkata pendekatan MATRADE adalah untuk menyokong pelan-pelan ekonomi utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional bertujuan meningkatkan inovasi, daya saing perdagangan dan menggalakkan eksport bernilai tinggi.

Beliau berkata momentum itu diperkukuh lagi dengan peranan semasa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, yang meletakkan negara sebagai suara penyatuan bagi integrasi serantau dan pertumbuhan inklusif.

“Sebagai satu-satunya agensi yang memacu program perniagaan, MATRADE bukan sekadar mempamerkan syarikat-syarikat Malaysia, tetapi secara aktif membentuk kedudukan strategik mereka selaras dengan aspirasi nasional dan serantau yang lebih luas.

“Ini termasuk memudahkan akses terus kepada pemain-pemain utama dari Jepun dan global, terutamanya dalam sektor berpotensi tinggi seperti halal, elektrik dan elektronik, teknologi hijau dan sains hayat,” katanya.

Penglibatan itu merupakan sebahagian daripada misi nasional jangka panjang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan yang dipercayai dan dipacu oleh inovasi di tengah-tengah rantau Asia-Pasifik.

Mohd Mustafa turut menekankan bahawa Ekspo 2025 Osaka merupakan peluang untuk kerjasama global dalam idea-idea berorientasikan masa depan, dengan Pavilion Malaysia menjadi cerminan menjayakan perkara itu melalui penekanan terhadap inovasi dan keterangkuman.

Beliau berkata ekspo itu turut menawarkan platform yang tepat pada masanya dan bersifat simbolik untuk menguatkan suara serantau Malaysia, memperkukuh hubungan ASEAN, serta membina momentum ke arah ekonomi global yang lebih berdaya tahan dan saling berhubung.

“Perjalanan ekonomi Malaysia sejak sekian lama telah ditentukan oleh kemampuan menyesuaikan diri dan cita-cita yang tinggi, daripada kecemerlangan dalam sektor pembuatan sehinggalah kepada transformasi digital,” katanya.

Hari ini, memandangkan ekonomi global beralih ke arah kemampanan dan inovasi, diplomasi perdagangan Malaysia yang diterajui oleh MATRADE turut berkembang seiring dengan anjakan itu.

Sehubungan itu, Program Perniagaan di Ekspo 2025 Osaka bukan sekadar lebih kepada kehadiran, tetapi menandakan hasrat untuk bekerjasama, memimpin dan mengharungi gelombang seterusnya untuk meraih peluang-peluang perdagangan berimpak tinggi, kata MATRADE.– Bernama

Continue Reading

Previous: Bursa dibuka tinggi
Next: MIDF Amanah rasionalisasi subsidi mungkin akan ditunda ke suku keempat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.