
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan penyertaan 400 syarikat tempatan untuk meneroka peluang eksport baharu menerusi Hari Eksport Sarawak 2025 yang berlangsung pada 2 hingga 3 Julai, 2025 di Kuching, Sarawak.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, penganjuran hari eksport itu merupakan usaha penting bagi membuka peluang-peluang baharu kepada lebih ramai usahawan negeri berkenaan serta mempersiapkan mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Sarawak mempunyai prestasi eksport yang luar biasa dan daya tahan ekonomi yang mengagumkan.
“Hari Eksport Sarawak 2025 ini akan menampilkan sesi panel serta peluang jaringan perniagaan yang direka untuk melengkapkan pengeksport dengan maklumat pasaran terkini serta kemudahan perdagangan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata Hari Eksport Sarawak 2025 merupakan satu acara bersejarah yang bukan sahaja meraikan pencapaian eksport Sarawak tetapi juga merangsang pertumbuhan dan kerjasama antarabangsa yang lebih luas.
Pada 2024, Sarawak mencatatkan nilai eksport sebanyak RM116.8 bilion, meningkat 3.82 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ini menjadikan Sarawak sebagai negeri keempat terbesar dalam sumbangannya kepada eksport negara.
Antara barangan utama eksport Sarawak termasuk bahan api dan pelincir mineral (58.9 peratus), barangan perkilangan (16.0 peratus), minyak, lemak haiwan dan sayuran (14.7 peratus) serta mesin dan kelengkapan pengangkutan (5.2 peratus).
Hari Eksport Sarawak 2025 dianjurkan oleh MATRADE bersama kerajaan negeri Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dan Invest Sarawak yang berlangsung di Hotel Imperial.
Syarikat yang berminat untuk menyertai Hari Eksport Sarawak digalakkan untuk mendaftar dengan segera bagi menjamin penyertaan dalam acara perdagangan utama ini melalui pautan berikut: https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfqhPzcXwWcnW62ATX3lMuVGT47ecC-_vlTjrvefriqpw–nQ/viewform.
–Bernama