PEMBANGUNAN menyeluruh sangat penting untuk manusia sejagat. Terdapat keperluan untuk memberikan makna, konsep, pengisian dan pelan pembangunan itu yang akhirnya akan dapat melimpah terhadap kehidupan masyarakat. Ia juga mempunyai tempoh masa untuk dicapai secara global meskipun sukar dicapai secara menyeluruh.
Hal ini kerana setiap pembangunan di sesebuah negara mempunyai perbezaan kadar kemajuan dan pertumbuhan ekonomi. Berdasarkan keperluan ini, badan dunia, iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengemukakan Deklarasi Kemuncak Milenium pada September 2000 pada acara Kemuncak Milenium yang dikenali sebagai Matlamat Pembangunan Milenium.
Aspek ini diperkenalkan dan memfokuskan lapan aspek matlamat pembangunan milenium yang menjadi pelan tindakan sejagat untuk tempoh 15 tahun. Lapan aspek ini akan dibincangkan untuk memberikan aspek pentingnya dimensi pembangunan yang menyeluruh secara global.
Membasmi kemiskinan dan kelaparan
Usaha membasmi kemiskinan dan kebuluran secara global ditekankan bagi memastikan tidak ada ketaksamaan sosial dan masyarakat. Aspek pendapatan asas dan mengatasi kebuluran sejagat ditangani secara bersama. Hal ini penting bagi memastikan terdapat ruang pekerjaan dan aspek produktiviti difokuskan bagi memastikan keluar daripada garis kemiskinan. PBB menyasarkan antara tempoh 1990 dan 2015, akan dapat mengurangkan separuh perkadaran penduduk yang berpendapatan kurang daripada AS$1.00 (RM4.48) sehari.
Kadar kemiskinan di negara ini berjaya dipulihkan daripada 49 peratus pada 1970 menurun kepada 17 peratus pada 1990. Pada 2021, pendapatan bulanan individu purata ialah RM3,037. Hal ini bermakna secara global masalah hampir selesai walaupun terdapat masih banyak miskin tegar dan miskin bandar memerlukan perhatian negara.
Mencapai pendidikan rendah yang universal
PBB juga menyasarkan menjelang 2015, kanak-kanak tanpa mengira lelaki dan perempuan boleh menamatkan pengajian sekolah rendah sepenuhnya. Didapati juga jurang pengetahuan dan pendidikan bandar-luar bandar merupakan penghalang utama. Maka aspek keterjaminan makanan dan pendidikan diberikan perhatian dan dibangunkan kapasiti penduduk luar bandar untuk menyara diri mereka sendiri dan mengatasi kemiskinan, kelaparan dan buta huruf. Aspek perlindungan sosial melalui institusi sosial dan badang kerajaan mampu merapatkan usaha sektor pendidikan dan keterjaminan makanan agar keberkesanan pendidikan rendah terutama pedalaman dan terpencil dapat dipertingkatkan.
Di peringkat global, agensi utama PBB khusus bagi pendidikan untuk luar bandar yang mempunyai rangkaian antarabangsa dan menghubungkan dengan kerajaan masyarakat sivil dan pihak swasta bekerjasama bagi menangani isu ini. Ia membantu membina kapasiti penduduk luar bandar bagi membantu dari segi pemberian bantuan, makanan yang sihat dan pada sama memastikan sumber semulajadi dapat dimanfaatkan untuk dibangunkan.
Fokus pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran golongan belia, dewasa, kanak-kanak di pedalaman juga diberikan keutamaan. Selain itu, program susu ke sekolah, pemakanan berkhasiat, keceriaan sekolah bagi memastikan mampu menggalakan ke sekolah dilaksanakan.
Di Malaysia, terdapat pencapaian besar terhasil apabila 96.2 peratus lelaki dan dan 96.6 peratus perempuan yang dapat akses sepenuhnya, berjaya dicapai pada 2010.
Meningkatkan kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita
Matlamat ketiga ini menyasarkan untuk menghapuskan jurang perbezaan gender di peringkat pendidikan rendah dan menengah. Secara global, PBB mahu memastikan penyertaan penuh dan saksama gender yang dilihat patut bersama menggembleng tenaga bagi memastikan isu kemiskinan dapat ditangani, keterjaminan makanan tanggungjawab bersama, pembangunan luar bandar tidak meminggirkan perbezaan gender.
Hal ini kerana ketaksamaan gender dalam pemerkasaan ekonomi akan mengakibatkan kegagalan ekonomi dan sosial, masalah luar bandar dan isu makanan. Aspek proses membuat keputusan dalam kalangan wanita luar bandar cuba diperkasakan bagi memastikan penyertaan sama rata gender, seterusnya dapat mencipta peluang ekonomi.
Wanita juga digalakkan mempunyai kawalan terhadap sumber yang ada, mempunyai aset serta tidak dipinggirkan dalam pembangunan. Malah dalam program latihan, aspek ini penting bagi memastikan dapat memajukan sumber setempat yang ada.
Di peringkat kerjasama negara dunia, isu gender di pedalaman, dasar dan program, orientasi penyelesaian masalah, mempertingkatkan kemahiran, penggubalan dasar yang sensitif akan keperluan wanita, merapatkan gender melalui rangkaian maklumat dan komunikasi, bertukar-tukar pandangan dan berkongsi amalan terbaik dijadikan usaha pemerkasaan ekonomi dan sosial luar bandar.
Di Malaysia, penyertaan wanita dalam sektor bukan pertanian semakin meningkat apabila pada 2010, terdapat 39.3 peratus penyertaaan berbanding 35.3 peratus pada 2005. Di Malaysia, penyertaan tenaga buruh wanita masih rendah, iaitu sebanyak 55.5 peratus berbanding negara jiran seperti Singapura 69.7 peratus dan Thailand 66.8 peratus, sedangkan hampir separuh populasi negara ini terdiri daripada wanita.
Mengurangkan mortaliti kanak-kanak
Di peringkat global, berlaku kematian kanak-kanak khususnya di negara miskin. Dalam tempoh 15 tahun, kadar itu cuba dikurangkan sebanyak dua pertiga dalam kalangan berumur di bawah lima tahun. Kekurangan zat makanan adalah punca utama.
Kekurangan zat makanan dianggarkan menjadi punca asas dalam lebih daripada satu pertiga daripada semua kematian pada kanak-kanak bawah lima tahun. Program untuk meningkatkan keselamatan makanan isi rumah dan maklumat pemakanan meningkatkan peluang kanak-kanak untuk membesar hingga dewasa. Dalam 1,000 kanak-kanak, negara Afghanistan (106.75), Somalia (88.03), Republik Afrika pusat (84.22), Nigeria (68.12) mencatat jumlah kematian.
Maka, usaha membantu isi rumah dan komuniti miskin diberikan perhatian dari segi pemakanan yang berkhasiat, selain program pendidikan pemakanan, inisiatif berfokuskan komuniti, latihan dan amalan terbaik kepada masyarakat setempat, program kesedaran dan pemberian makanan tambahan kepada susu ibu.
Langkah ini mampu mengatasi kekurangan masalah kematian kanak-kanak dan berjaya dilaksanakan di Afghanistan dan Zambia. Kempen Usaha Diperbaharui menentang Kelaparan Kanak-Kanak dan Kurang Pemakanan (REACH) dengan kerjasama UNICEF, WHO dan WFP diperluaskan.
Kesannya, pada 2021 kadar kematian mortaliti menurun sebanyak 59 peratus daripada 93 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran pada 1990 berbanding 38 kematian pada 2021. Ternyata matlamat pembangunan milenium ini berjaya membantu.
Di Malaysia, kadar kematian ibu bersalin (bagi setiap 100,000 kelahiran hidup) pada 1991 ialah pada nisbah 44.0, manakala 28.0 pada 2010 , 21.1 pada 2015 walaupun sasaran sebenar ialah nisbah 11 pada 2015.
Hal ini menunjukkan betapa sasaran ini tidak tercapai meskipun negara ini dianggap tidak lagi mengalami masalah kekurangan zat makanan.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)