Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • MATF laksana 3,523 tangkapan sepanjang 2023 hingga 2025, sita RM6.87 bilion
  • NASIONAL

MATF laksana 3,523 tangkapan sepanjang 2023 hingga 2025, sita RM6.87 bilion

Utusan Sarawak 3 hours ago
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berucap pada Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF): Way Forward di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) berjaya melaksanakan sebanyak 3,523 tangkapan sepanjang 2023 hingga 2025 merangkumi kes berprofil tinggi seperti Ops Samba 2.0, Ops Taufan, Ops Yellow, Ops Counter Setting dan Ops Bunga.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata pencapaian itu sekali gus mencerminkan keupayaan sebenar negara dalam membanteras jenayah rasuah dan jenayah kewangan secara bersepadu.

“Lebih penting, kejayaan membongkar sindiket terancang berskala besar melalui operasi seperti Ops White, Ops Kingfruit, Ops X, Ops Sikaro, Ops Metal, Ops Karen dan Ops Grip membuktikan bahawa pendekatan MATF mampu menembusi rangkaian jenayah yang kompleks, tersusun dan merentasi pelbagai sektor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sesi Libat Urus MATF: Way Forward di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Daripada aspek pemulihan aset, Azam berkata pada 2025 sahaja, SPRM merekodkan sitaan mencecah RM6.87 bilion, selain pembekuan, pelucuthakan, kompaun dan penyelesaian yang keseluruhannya melibatkan nilai yang besar serta memberikan impak langsung kepada hasil negara. 

Beliau berkata sebagai peneraju MATF, SPRM juga telah mengetuai pelaksanaan operasi berimpak tinggi seperti Operasi 82S, Ops Tropicana, Ops Eagle dan Ops Liter, sekali gus menunjukkan pendekatan menyeluruh kerajaan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan dalam menghadapi landskap jenayah masa kini.

Menyentuh mengenai isu penyeludupan sisa elektronik dan plastik haram, katanya berdasarkan  Ops Metal, didapati Malaysia dijadikan destinasi pembuangan sisa haram dari luar negara, termasuk melibatkan pemalsuan dokumen, salah pengisytiharan kargo dan penyalahgunaan lesen import.

“Lebih membimbangkan, terdapat elemen rasuah pada peringkat penguatkuasaan yang membolehkan kontena-kontena ini melepasi pintu masuk negara tanpa pemeriksaan sewajarnya.

“Isu ini bukan sekadar isu alam sekitar semata, ia jenayah ekonomi dan kedaulatan negara. Negara bukan sahaja menanggung risiko pencemaran, tetapi juga kehilangan hasil dan reputasi pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengenai isu mafia korporat, Azam berkata ia bukan beroperasi secara terbuka, tetapi bergerak secara tersusun, menggunakan struktur korporat yang sah untuk mengaburi penguat kuasa, disokong oleh rangkaian profesional seperti akauntan, peguam, perunding dan orang dalam agensi tertentu. 

“Dalam hampir semua kes ini, satu perkara yang konsisten ialah rasuah menjadi pemudah cara utama (enabler). Tanpa rasuah, sindiket ini tidak akan mampu bertahan. Tanpa perlindungan dalaman, mereka tidak akan mampu bergerak sebegitu lama dan sistematik.

“Sebab itu saya sering tekankan bahawa SPRM adalah “last gatekeeper” dan kita bukan sekadar menyiasat rasuah, tetapi memutuskan rantaian jenayah itu sendiri. Apabila rasuah dihentikan, keseluruhan ekosistem jenayah akan runtuh. Namun, untuk mencapai perkara ini, SPRM tidak boleh bergerak bersendirian,” katanya.

MATF terdiri daripada gabungan beberapa agensi utama kerajaan, termasuk SPRM sebagai peneraju dalam koordinasi penyiasatan dan rundingan antarabangsa.

Selain itu, ia turut melibatkan Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan tindakan undang-undang dan forfeiture (perampasan), Bank Negara Malaysia yang berperanan menyediakan data transaksi kewangan, manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menyokong siasatan jenayah.- Bernama

Continue Reading

Previous: Maxim e-panggilan beroperasi secara sah di seluruh negara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.