AKSI cemerlang yang ditunjukkan oleh penyerang pasukan kebangsaan dan Sarawak United FC, Norshahrul Idlan Talaha dalam saingan Liga Premier musim ini mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air.
Ini disebabkan persembahan berkualiti dipamerkan oleh pemain berpengalaman ini membuahkan hasil apabila berjaya membantu pasukan untuk bersaing secara kompetitif.
Pada musim ini, Norshahrul atau lebih dikenali sebagai ‘Mat Yo’ terus menunjukkan taringnya setelah memilih untuk beraksi buat pasukan Sarawak United FC.
Beliau yang baharu pulang ke tanah air setelah menabur bakti bersama pasukan juara Liga Thai pada musim lalu iaitu BG Pathum United.
Pemain berusia 35 tahun ini nyata menggunakan pengalaman yang dimiliki olehnya ketika beraksi di Thailand apabila berjaya menjaringkan tiga gol dalam 11 perlawanan yang diturunkan di liga tersebut tahun lalu.
Selain itu, Mat Yo juga masih mempunyai seni gelecekannya di atas padang sekali gus menjadi antara pemain yang senang dilihat beraksi bersama rakan sepasukannya di bawah kendalian E Elavarasan.
Peranan yang dimainkan oleh Mat Yo bersama Sarawak United dilihat sangat efektif dalam merencanakan serangan buat pasukan itu.
Tambahan pula, gandingan mantap beliau bersama penyerang Import, Uche Agba sering menjadi mimpi ngeri buat pasukan lawan.
Pada musim ini, pemain berusia 35 tahun itu telah mencatat lima gol dalam 16 perlawanan beliau diturunkan.
Kini, pasukan Sarawak United gah di persada Liga Premier setelah berjaya mengumpul 34 mata hasil daripada 16 perlawanan.
Sudah pastinya, peranan yang dimainkan oleh ‘otai’ dalam pasukan ini masih ditagih oleh pasukan Sarawak United FC dalam usaha untuk terus memburu kejuaraan Liga Premier musim ini.
Oleh itu, kita juga berharap agar Mat Yo dapat terus konsisten dalam memperagakan aksi sebegini sehingga ke penguhujung saingan liga sekali gus menjadi pembakar semangat buat para pemain tempatan yang lain.