KUCHING: Kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang akan mengkaji semula arahan yang membenarkan seorang individu sahaja di dalam sebuah kenderaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini disambut baik oleh masyarakat.
Setiausaha Agung Persekutuan Perniagaan Sarawak Jonathan Chai Voon Tok berkata, sememangnya wujud situasi yang memerlukan pengecualian daripada arahan tersebut.
“Sebagai contoh, untuk pasangan suami isteri yang bekerja di sebuah syarikat yang sama dan terlibat dalam sektor atau industri penting.
“Adalah tidak praktikal untuk meminta mereka ke tempat kerja menggunakan kenderaan yang berlainan,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Jonathan, sekiranya mereka hanya mempunyai sebuah kereta, dan jika arahan ini terus dikuatkuasakan, sudah pasti salah seorang daripada mereka terpaksa menggunakan pengangkutan alternatif.
Katanya, ada sesetengah individu juga hanya bergantung kepada pasangan mereka untuk menghantar dan menjemput mereka dari tempat kerja.
Mereka akan merasa terbeban sekiranya terpaksa menggunakan pengangkutan awam yang akan meningkatkan kos perbelanjaan, katanya.
“Seperti yang dikatakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas beberapa hari yang lalu berkenaan dengan senario yang berlaku di rumah panjang.
“Penduduk di rumah panjang mungkin tidak semua mempunyai pengangkutan sendiri dan mereka akan bergantung kepada jiran-jiran mereka untuk ditumpang ke pekan atau pasar berhampiran,” katanya.
Tambahnya, masyarakat faham akan posisi pihak polis dan pihak berkuasa yang lain untuk menguatkuasakan arahan seperti ini semasa tempoh PKP ini.
Arahan ini, katanya telah dikeluarkan bagi mengelakkan kemungkinan individu-individu yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kebenaran untuk keluar dari rumah.
Namun demikian, katanya, golongan yang benar-benar memerlukan pengecualian daripada arahan ini sudah semestinya akan berterima kasih kepada kerajaan sekiranya arahan ini dapat dipertimbangkan semula.
Mungkin perkara ini boleh dipertimbangkan berdasarkan sudut kemanusiaan yang nantinya akan memberi kelegaan kepada masyarakat yang benar-benar terkesan dengan arahan ini, ujarnya.
Rabu lalu, JPBN yang dipengerusikan oleh Uggah memberitahu bahawa mereka akan mempertimbangkan berkenaan dengan arahan membenarkan seorang individu sahaja di dalam sebuah kenderaan.
Uggah dipetik berkata, memang terdapat beberapa situasi yang memerlukan lebih daripada seorang untuk keluar daripada rumah dan bersama di dalam sebuah kenderaan.
Pada asalnya, katanya, tujuan utama arahan ini dikuatkasakan adalah untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dan dengan mengehadkan bilangan individu yang keluar daripada rumah, rantaian jangkitan wabak ini mungkin dapat diputuskan.