KUCHING: Masyarakat perlu mengambil berat terhadap pematuhan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mana ketika ini dilihat semakin kurang diambil perhatian.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, ini berikutan peningkatan kes-kes positif Covid-19 di Sarawak.
“Ia juga amat membimbangkan apabila Daerah Kuching telah diisytihar sebagai kawasan merah dan Lundu juga telah bertukar kepada kawasan kuning.
“Situasi tersebut membimbangkan selepas kebanyakan kes baru itu datangnya dari kes import dan penularan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Mesyuarat JPBB Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu Menerusi Persidangan Video Bersama Agensi Kerajaan Di Daerah Lundu, kelmarin.
Tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, JPBB Daerah Lundu akan terus mengawal dan menguatkuasakan SOP PKPP dengan lebih tegas bagi membendung penularan wabak Covid-19.
“Dalam pada itu, semua agensi dan jabatan kerajaan di dalam JPBB akan bertindak tegas selaras dengan arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Sarawak.
“Manakala penguatkuasaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos ini amat penting kerana didapati ada yang tidak mengendahkannya terutama di kawasan sesak dan khalayak ramai,” jelasnya.
Tambahnya, selain itu arangan Pergerakan Rentas Antara Zon yang mula dikuatkuasa kembali juga akan diambil perhatian bagi mengelak kehadiran orang ramai apabila hujung minggu.
“Semoga dengan kolaborasi semua agensi dan jabatan kerajaan ini serta kepatuhan pematuhan SOP oleh warga Daerah Lundu dapat dipertingkatkan dan mengawal penularan wabak Covid-19 ini.
“Peningkatan mendadak kes Covid-19 di Sarawak ketika ini amat membimbangkan dan masyarakat perlu mengambil maklum bahawa setiap daripada kita perlu mengambil berat dalam soal pematuhan SOP dan menjaga kebersihan diri,” ujarnya.
Dalam mesyuarat itu, Pegawai Daerah Lundu bersama agensi lain seperti Pejabat Kesihatan Daerah Lundu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Imigresen, Majlis Daerah Lundu, Polis Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Penerangan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Lundu akan terus melakukan penguatkuasaan dengan lebih ketat.
Oleh Zarina Abdullah