LAWAS: Sejarah, budaya dan bahasa sesuatu bangsa yang terkikis akan menghapuskan peradaban sebuah bangsa itu sendiri.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata masyarakat Kedayan perlu terus memperkukuhkan tiga elemen penting itu demi kelangsungan masyarakat Kedayan itu sendiri.
“Masyarakat Kedayan tidak dapat berdiri dengan sendiri tanpa ada kerjasama dengan masyarakat majmuk lain di Sarawak,” katanya merasmikan majlis Makan Tahun Perdana Kedayan Lawas kali ke-6 di sini malam tadi.
Beliau yang mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu juga berkata acara makan tahun ini menjadi medan bagi mengetengahkan sejarah, budaya dan bahasa Kedayan kepada generasi muda.
“Kita harus berfikir secaca global, tetapi bertindak secara lokal dalam membawa masyarakat kita untuk bersama turut serta dalam arus pembangunan,” katanya.
Beliau berkata, majlis makan tahun Kedayan yang sinonim dengan makanan kelupis perlu melibatkan penyertaan masyarakat lain di sekitar mereka supaya turut dirasai oleh kaum lain.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan geran berjumlah RM10,000 untuk Persatuan Kedayan Lawas dan RM10,000 lagi daripada Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Ripin Lamat yang juga ADUN Lambir.
Pelbagai acara menarik diadakan termasuk bengkel memperkasakan bahasa Kedayan dalam kalangan belia Kedayan Lawas.
Hadir sama ialah Residen Bahagian Limbang, Sebi Abang, ADUN Sindumin Sabah Datuk Dr Yusuf Yakub, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pengerusi Persatuan Kedayan Lawas Haris Majid.
Oleh ADENG EDRUS
Keterangan gambar:
IKAT KELUPIS…Rosey diberi penghormatan melakukan ikatan akhir kelupis yang berjumlah 12,000 keping dihasilkan masyarakat Kedayan Lawas.