ORANG India telah datang ke Sarawak sejak zaman pemerintahan Brooke. Mereka dibawa oleh kerajaan Brooke sejak lewat abad ke-19 sebagai pekerja rendah di Jabatan Kerja Raya (JKR) dan estet-estet kerajaan dan swasta.
Namun demikian, kebanyakan mereka ini bekerja di sektor JKR dan Miri Oil Field. Di Miri pula mereka banyak bekerja sebagai kerani, pembantu perubatan dan pengawal keselamatan. Kehadiran mereka di Sarawak membawa bersama-sama budaya dan agama mereka.
Bagi yang beragama Hindu, mereka meraikan pelbagai acara agama. Pada 1925 di Miri, masyarakat India meraikan Hari Tahun Baru. Sarawak Oilfields telah memberi cuti separuh hari kepada pekerjanya yang beragama Hindu. Pada sebelah tengah hari, mereka meraikan perayaan itu dengan bermain bunga api.
Pada malamnya iaitu jam 8.30 malam satu majlis makan malam diadakan di Miri Recreation Club. Majlis makan malam itu dihadiri pelbagai latarbelakang agama seperti Hindu, Kristian dan Islam. Dalam majlis makan malam itu mereka mendoakan kesejahteraan kesihatan Raja Sarawak.
Kedatangan buruh-buruh India ini juga terkesan dengan kemelesetan ekonomi dunia pada 1930 di Sarawak. Dalam hal ini pemangku Setiausaha Kerajaan negeri J. C. Swayne megumumkan untuk menyekat kedatangan buruh-buruh luar termasuk orang India ke Sarawak. Buruh-buruh India ini juga tertakluk kepada dasar kerajaan Sarawak untuk menghantar mereka balik semula ke negara asal mereka.
Keprihatinan orang India di Sarawak tentang masalah negara mereka juga dilihat dalam sumbangan pemimpin mereka untuk meringankan masalah yang ditanggung oleh penduduk India. K. S. Menon yang bekerja di Miri telah menyumbang $10 untuk kejadian gempa bumi yang melanda India pada 1934.
Keadaan baik
Semasa Sarawak di bawah pemerintahan British, kerajaan India pernah menghantar wakil mereka ke Sarawak untuk melakukan tinjauan terhadap keadaan buruh-buruh India. Pada 1953 misalnya wakil kerajaan India di Tanah Melayu iaitu M. Gopala Menon telah melakukan lawatan kerja ke Sarawak dan Brunei.
Beliau ditemani isterinya dan Setiausaha Sulit beliau, C. V. S. Sundram. Mereka berada di Sarawak selama 10 hari. Mereka telah bertolak dari Singapura pada 21 September 1963. Semasa ditemuramah oleh Indian Daily Mail, beliau berkata bahawa layanan diterima oleh buruh-buruh India di Sarawak sama dengan penduduk tempatan.
Beliau juga amat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh kerajaan Sarawak (termasuk Brunei) dan pihak pengurusan Sarawak Oilfields Ltd yang menjaga kebajikan dan kemajuan pekerja-pekerja India. Menon juga menyatakan bahawa kerajaan British di Sarawak bersetuju memberi tanah kepada masyarakat India di Kuching bagi tujuan pembinaan sekolah Tamil.
Ini kerana kebanyakan masyarakat India di Kuching dan bekerja di JKR dan jabatan-jabatan lain kerajaan serta firma Ewart & Co adalah orang Tamil. Mereka amat memerlukan sekolah Tamil untuk pendidikan anak-anak mereka.
Dalam hal yang sama juga Menon memaklumkan bahawa pihak kerajaan bersetuju memberi tanah untuk masyarakat India yang bermastautin di Sarawak dan mendirikan bangunan untuk Indian Association.
Sehubungan dengan kenyataan Menon yang memuji kerajaan Sarawak dalam melayan masyarakat India di Sarawak dengan adil, dan ternyata kenyataan ini boleh dilihat dengan pemberian biasiswa kepada masyarakat India menerusi Rancangan Colombo.
Pada 1960 misalnya dua pelajar dari Sarawak telah diberi biasiswa menerusi rancangan ini dan salah seorangnya adalah James Singham Rajah. Beliau dan rakannya dari Jabatan Pertanian telah dihantar ke India bagi mengikuti kursus latihan veterinary di Hyderabad, India.
Berpersatuan
Dalam aspek berpersatuan, orang India juga mempunyai persatuan mereka sendiri iaitu Indian Association. Pertubuhan ini ditubuhkan pada zaman Brooke, dan pertubuhan ini juga merupakan badan yang memperjuangkan pembinaan sekolah bagi masyarakat India di Sarawak.
Mereka juga berperanan untuk meminta kerajaan memberi tanah untuk penduduk India yang bermastautin di Kuching. Selain Indian Association terdapat juga Indian Muslim League yang mewakili peniaga-peniaga kaya dalam kalangan orang Islam berketurunan India. Badan ini juga membuka ruang keahliannya kepada orang Melayu.
Persatuan ini juga sebuah persatuan yang aktif dan cuba menjalinkan hubungann harmoni dengan semua kaum di Sarawak. Dalam hal ini mereka pernah mengadakan jamuan teh bersama konsul jeneral China ke Sarawak iaitu Wu Paak Shing.
Malaysia
Dari segi penglibatan politik, terdapat kepercayaan daripada kerajaan Brooke untuk melantik seorang wakil masyarakat India dalam Council Negeri. D. M. Deen dari Indian Muslim League merupakan satu-satunya ahli orang India yang diberi kepercayaan untuk menganggotai dewan tersebut.
Beliau juga tidak menyokong penyerahan Sarawak kepada British dalam undian dalam Majlis Negeri. Deen juga pemimpin utama dalam Indian Muslim League di Sarawak pernah menyuarakan rasa terima kasih kepada pihak British kerana memberi kemerdekaan kepada India.
Beliau dan Liga Muslim India amat gembira dengan kemerdekaan India yang dicapai pada 1947.
Berkenaan dengan reaksi penduduk India di Sarawak terhadap Malaysia boleh dilihat dari South Indian Chamber of Commerce of Sarawak yang menghantar memorandum mereka kepada Suruhanjaya Cobbold.
Mereka mahu orang India yang menjadikan Sarawak sebagai tempat tinggal mereka tidak perlu mengambl ‘certificate of naturalization’ kerana mereka berstatus rakyat British atau warganegara Komanwel.
Secara kesimpulannya sebelum merdeka masyarakat India telah mempunyai sejarah mereka sendiri di Sarawak. Kehadiran mereka ini diterima oleh masyarakat tempatan dan mereka juga mempunyai hubungan baik dengan pelbagai kaum di Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.