DARAH adalah cecair utama dalam badan dan merangkumi tujuh peratus daripada berat badan manusia. Ia memainkan peranan penting dalam membekalkan oksigen ke seluruh badan bahkan terlibat dalam sistem imunisasi yang berfungsi bagi mempertahankan diri dari jangkitan kuman dan menentang penyakit.
Selain itu, darah berfungsi sebagai sistem pengangkutan untuk menyalurkan nutrien, elektrolit, hormon sekali gus menyingkirkan bahan kumuhan dalam badan.
Sementelahan itu, darah mengandungi pelbagai komponen seperti sel darah putih, sel darah merah, platlet dan plasma yang berfungsi memelihara nyawa.
Disebabkan darah merupakan komponen yang penting dalam perawatan kesihatan, keperluan dan permintaan darah semakin meningkat berikutan hasil kemajuan teknologi perubatan dan peningkatan bilangan hospital kerajaan dan swasta.
Rawatan kes seperti pembedahan jantung, pemindahan organ, rawatan pesakit talasemia, haemofilia dan anemia memerlukan pemindahan darah.
Sehubungan itu, masyarakat disarankan untuk melibatkan diri dalam kempen derma darah yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.
Pendermaan darah boleh dilakukan melalui dua cara, iaitu pendermaan darah penuh (whole blood donation) dan pendermaan secara aferesis (apheresis donation).
Pendermaan darah penuh adalah merupakan pendermaan darah yang biasa dilakukan. Darah yang didermakan ini akan diproses di makmal kepada beberapa komponen seperti Plasma, Platelet dan Sel Darah Merah (Packed Cell).
Isi padu darah yang diambil bergantung kepada berat badan penderma. Jumlah maksima darah yang diambil ialah 450 mililiter (ml) bagi berat badan melebihi 50 kilogram (kg).
Keseluruhan proses menderma darah mengambil masa lebih kurang 30 minit dan penderma darah penuh ini boleh menderma setiap 3 bulan sekali.
Bagi pendermaan aferesis pula merangkumi pendermaan plasma dan platelet, atau kedua-duanya sekali dengan menggunakan mesin aferesis.
Tempoh yang diambil untuk menderma adalah di antara 30 minit hingga 45 minit untuk Plasma, dan 45 minit hingga 75 minit untuk Platelet.
Oleh kerana sel darah merah penderma tidak diambil sewaktu proses pendermaan aferesis, penderma boleh menderma dengan lebih kerap. Tempoh antara pendermaan ialah setiap 2 minggu sekali.
Menurut Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS), unit darah (whole blood) perlu mematuhi setiap kriteria sebelum diproses sebagai komponen darah yang berkualiti tinggi.
“Antara kriterianya adalah beg yang mengandungi darah perlu berada dalam keadaan baik, iaitu tiada tanda kebocoran.
“Disamping itu, beg darah mesti dilekatkan label yang mengandungi maklumat pendermaan seperti nombor pendermaan, kumpulan darah, tarikh dan masa darah didermakan.
“Seterusnya, isipadu darah perlu berada dalam julat yang ditetapkan. Sebagai contoh, untuk beg darah bersaiz 450ml, julat isipadu darah dalam lingkungan 405 ml hingga 495 ml darah sahaja akan diproses dan disediakan komponen darah.
“Begitu juga dengan suhu penyimpanan darah, ia mesti berada di antara 20°C hingga 24°C (darjah celsius) dari pendermaan sehinggalah diterima di makmal pemprosesan komponen darah.
“Tempoh pungutan darah mesti kurang daripada 12 minit, bermula dari ianya mengalir daripada badan penderma memasuki beg darah sehinggalah beg darah penuh.
“Setiap unit darah yang diderma akan didaftarkan ke dalam sistem maklumat makmal. Maklumat pendermaan dan pemprosesan seperti tarikh penyediaan komponen darah, tarikh luput setiap komponen yang dihasilkan, berat dan isipadu komponen akan direkodkan.
Banyak faktor yang mendorong seseorang untuk menderma darah. Antaranya adalah kesedaran diri sendiri untuk berbakti, ingin membantu pesakit yang mungkin terdiri daripada saudara mara dan kawan, ataupun akibat pengaruh rakan-rakan dan saudara mara.
Namun, terdapat berbagai mitos berkaitan pendermaan darah yang menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, ramai orang mengelakkan diri dari menderma darah.
Antaranya segelintir masyarakat berpendapat penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B dan sebagainya boleh dijangkiti melalui pendermaan darah. Mereka beranggapan penyakit-penyakit ini dijangkiti melalui penggunaan jarum yang sama oleh berbagai penderma darah.
Di sebalik itu, perkhidmatan pendermaan darah sentiasa mengamalkan penggunaan jarum dan picagari baru untuk setiap pendermaan. Selepas setiap pendermaan darah, jarum dan picagari yang telah digunakan akan dibuang segera dan tidak digunakan lagi untuk penderma darah lain. Hal ini bagi memastikan keselamatan penderma darah dan juga produk darah terpelihara. Malah, prosedur mengambil darah juga menggunakan teknik aseptik bagi memastikan penderma darah dan darah adalah bebas dari kuman dan selamat.
Mitos yang seterusnya adalah masyarakat menyangka bahawa darah yang diderma boleh disimpan selama-lamanya dan diperolehi bila diperlukan. Maka, mereka beranggapan menderma darah boleh dilakukan sekali sekala.
Kontradiksinya, jangka hayat sel darah merah di dalam badan adalah kira-kira 120 hari. Justeru,sel darah merah akan merosot apabila berada di luar badan manusia. Oleh itu, sel-sel ini dipelihara dengan bahan awet dan nutrien dalam simpanan.
Secara umum, sel darah merah yang diderma hanya boleh hidup sekitar 35 hingga 42 hari. Tuntasnya, pendermaan darah perlu dilakukan berterusan bagi memastikan stok darah tidak berkurangan.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ