
SIBU: Masyarakat digesa untuk meletakkan keselamatan jalan raya sebagai keutamaan bersama dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan yang semakin membimbangkan di kawasan ini.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, keselamatan di jalan raya bukan hanya terletak pada bahu pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab kolektif semua pihak.
“Program pagi ini cukup bermakna kerana ia bukan sahaja bersifat mendidik, malah menyeru seluruh masyarakat untuk mengutamakan keselamatan jalan raya,” katanya ketika berucap pada Program Ops Gawai Bahagian Sibu di stesen minyak Petronas Jalan Lanang Barat di sini, hari ini.
Menurut statistik terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 683 kes kemalangan telah direkodkan di Bahagian Sibu dari Januari hingga April tahun ini, melibatkan 13 kematian.
“Ini bukan sekadar angka, ia mewakili keluarga yang kehilangan orang tersayang, masa depan yang terhenti dan kesedihan yang tidak mudah diganti,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Sibu.

Abang Mohamad turut menegaskan pentingnya perubahan sikap dalam kalangan pengguna jalan raya bagi memastikan keberkesanan setiap inisiatif keselamatan yang dilaksanakan.
“Tanpa perubahan sikap seperti tidak memandu dalam keadaan mengantuk, mematuhi had laju serta tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, semua usaha akan menjadi sia-sia,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan rakan-rakan strategik, terutamanya para pelaksana projek infrastruktur jalan raya seperti kontraktor agar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti.
Katanya, setiap projek mesti dilakukan secara sistematik, mengikut spesifikasi dan didokumentasikan untuk rekod serta semakan.
Beliau turut menyeru pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) agar lebih proaktif turun padang memantau pelaksanaan projek bagi memastikan mutu pembinaan jalan memenuhi standard ditetapkan.
“Kita tidak mahu jalan yang dibina dianggap seperti jalan kampung yang ditampal secara tidak teratur. Sekiranya terdapat ketidaksempurnaan selepas projek siap, ia perlu dijelaskan dan tindakan susulan perlu diambil,” ujarnya.
Program Ops Gawai tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MKJR Bahagian Sibu dalam meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya menjelang musim perayaan.
Oleh Tarani Lanting