
SIBU: Masyarakat diingatkan agar menilai dan menapis setiap maklumat yang diterima, khususnya daripada media sosial, bagi memastikan perpaduan dalam komuniti terus terpelihara.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, maklumat yang tidak sahih dan disebarkan tanpa semakan boleh memberi implikasi negatif terhadap keharmonian masyarakat.
Beliau menjelaskan, kepesatan penyebaran maklumat melalui platform seperti Facebook dan TikTok menuntut pengguna lebih bertanggungjawab dalam memastikan kesahihan sesuatu kandungan.
“Maklumat kini tersebar dengan sangat cepat. Jika tidak diteliti, ia boleh menimbulkan salah faham dan menjejaskan perpaduan,” katanya ketika berucap pada Program Solidariti Komuniti Peringkat Bahagian Sibu 2026 di Rumah Dick, Batu 8, Jalan Oya Lama, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran program berkenaan membolehkan kerajaan berinteraksi secara langsung dengan rakyat selain menyampaikan maklumat yang tepat mengenai dasar serta bantuan yang disediakan.
Menurutnya, pendekatan turun padang oleh jabatan kerajaan turut memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat termasuk di kawasan luar bandar dan rumah panjang.
“Program seperti ini memberi peluang kepada rakyat untuk menyuarakan keperluan mereka, sekali gus membantu kerajaan memahami isu di peringkat akar umbi,” katanya.
Mengulas perkembangan semasa, beliau berkata Sarawak terus mencatat kemajuan dalam pelbagai sektor hasil kestabilan pentadbiran dan sokongan padu rakyat.
Program tersebut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pemimpin komuniti serta masyarakat setempat bagi memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat.
Oleh Tarani Lanting