
SARIKEI: Usaha memperkukuh pendidikan dan kebajikan pelajar kekal menjadi keutamaan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, berkata pendidikan sentiasa diberi perhatian utama dalam agenda pembangunan Parlimen Sarikei dan DUN Repok.
“Pendidikan sentiasa menjadi keutamaan dalam khidmat bakti saya sebagai wakil rakyat.
“Selain usaha menaik taraf infrastruktur pendidikan, saya turut menyalurkan bantuan seperti pakaian sekolah, kasut sekolah dan beg sekolah kepada para pelajar setiap tahun tanpa mengira latar belakang kaum.

“Inisiatif ini merupakan komitmen berterusan bagi memastikan kebajikan serta masa depan generasi muda terus terpelihara,” katanya ketika merasmikan majlis makan malam sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 anjuran Persatuan Lori Sarikei di sini, baru-baru ini.
Tiong Sii turut menegaskan bahawa sepanjang tempoh 10 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, beliau sentiasa mengingatkan masyarakat agar menghormati warga emas.
“Sikap saling menghormati merupakan asas penting dalam membina sebuah komuniti yang bersatu padu dan sejahtera,” katanya.
Di majlis tersebut, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM40,000 bagi menyokong penganjuran program dan aktiviti Persatuan Lori Sarikei.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Lori Sarikei, Lau Ben Hai; Temenggong Lau Hieng Ming dan Pemanca Chan Phan Chan.
Oleh Earl Anek