LAWAS: Masyarakat Cina yang bakal menyambut perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) perlu menerima hakikat bahawa pandemik Covid-19 telah menyebabkan sambutan TBC kali ini tidak dapat disambut seperti biasa.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu ini turut dialami oleh umat Islam dan Kristian yang juga tidak dapat menyambut perayaan mereka seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.
“Bagaimanapun kita meletakkan harapan sempena tahun kerbau kali ini akan dapat menghapuskan Covid-19,” katanya.
Awang Tengah menyatakan demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina Daerah Lawas 2021 di Dewan Rekreasi Persatuan Hokkien Lawas semalam.
Dalam pada itu, beliau juga berharap tahun ini tidak berlaku banjir besar walaupun ramalan cuaca memberitahu cuaca lembab dan berhujan hingga Mac.
Harapan ketiga beliau ialah untuk dapat kembali kepada kehidupan normal seperti dahulu dengan keselamatan semua rakyat terjamin.
Beliau yang juga menggesa agar semua rakyat terus berdoa mengikut cara masing masing agar segalanya bertambah baik untuk semua.
“Setakat ini Pandemik Covid-19 yang melanda global telah menjejas kehidupan rakyat dengan lebih 2 juta orang meninggal dunia.
“Kita masih belum berjaya menghapuskan Covid-19 ini, oleh itu kita perlu terus patuhi prosedur yang telah ditetapkan dengan penuh disiplin,” tambahnya.
Bagi Sarawak, kes meningkat walaupun beberapa bulan dahulu berjaya ditangani.
Kini statistik harian telah meningkat kepada tiga digit berbanding hanya satu dan dua digit pada awalnya.
Daerah Lawas yang berada dalam zon kuning dan perlu berhati-hati kerana berdekatan dengan Sabah, Labuan dan Kalimantan.
Justeru beliau menasihatkan agar rakyat mengurangkan pergerakan ke daerah atau negeri berisiko demi keselamatan semua.
“Covid-19 masih ada disekeliling dan perlu berkorban dengan mengamal SOP termasuk dalam merayakan TBC. Sememangnya impak daripada Covid ini amat besar, ramai hilang kerja, bisnes merosot dan ini memberi tekanan emosi serta sosial.
“Sekolah yang sekejap buka dan tutup turut beri kesan emosi dalam aspek pendidikan, tetapi ini demi keselamatan,” ujarnya.
Pada masa yang sama kerajaan Persekutuan telah banyak memberi bantuan bersama kerajaan Sarawak yang menyediakan berbagai program dan pakej untuk kehidupan rakyat.
Beliau menasihatkan agar rakyat memanfaatkan setiap pakej bantuan yang diberi untuk meningkatkan pendapatan sesuai dengan keadaan pandemik yang melanda dunia.
Seramai 20 orang hadir menerima sumbangan TBC sebagai simbolik dan selebihnya diurus oleh pihak Persatuan Cina Lawas untuk diagih kepada warga emas, golongan OKU dan ibu tunggal.
Oleh ADENG EDRUS