MASYARAKAT Cina merupakan sebahagian daripada penduduk Sarawak. Mereka datang ke Sarawak sejak abad ke-19 dan lebih awal daripada pemulaan pemerintahan James Brooke di Sarawak. Mereka ini datang melalui pelbagai peringkat. Peringkat awal lebih kepada kedatangan orang Cina ke Bau dan kehadiran masyarakat Cina di Kuching.
Kedatangan mereka ke Bau berpunca daripada masalah di Kalimantan.Tekanan daripada pemerintah tempatan dan Belanda di Kalimantan adalah sebab utama. Hal ini ditambah dengan perpecahan dan pergaduhan antara mereka membawa perlunya mencari tempat baharu untuk memulakan kehidupan dan akhirnya mereka pergi ke Bau.
Konflik dan persahabatan
Di Bau, mereka berlindung di bawah kongsi San Tiou Kow (juga dikenali sebagai Twelve Company). Satu kebiasaan bagi masyarakat Cina yang mula-mula datang ke tempat asing adalah membentuk satu perkumpulan yang dapat melindungi mereka dalam pelbagai aspek kehidupan. San Tiou Kow yang wujud sejak di Kalimantan menjadi ‘payung’ untuk melindungi kepentingan mereka di Bau.
Pembentukan pentadbiran Brooke di Kuching membawa pergeseran antara kedua-dua pihak tentang kuasa politik dan ekonomi. Kemuncaknya adalah pemberontakan orang Cina pada 1857 dan peristiwa ini menjadi detik hitam kepada masyarakat Cina di Bau. Namun demikian, peristiwa 1857 tidak membawa pemusuhan antara kerajaan Brooke dengan orang Cina. Ini kerana orang Cina mendapat kebebasan untuk menjalankan perniagaan mereka di serata tempat di Sarawak.
Orang Cina mengekori pembukaan pusat-pusat kerajaan Brooke di beberapa kawasan di Sarawak dengan meluaskan jaringan peniagaan mereka seperti di Simanggang pada 1849. Pada 1865 pula orang Cina ini mempunyai kedai bersama orang Melayu di bazar Kanowit. Mereka juga membina kedai mereka di Lubok Antu pada 1872. Peniaga-peniaga Cina di Kuching pula mengembangkan peniagaan mereka pada 1883 ke Marudi.
Untuk tujuan membangunkan ekonomi Sarawak, buruh-buruh Cina digalakkan untuk bekerja di Sarawak. Salah satu rancangan yang dilakukan oleh kerajaan Brooke ini ialah membawa buruh-buruh Cina pada 1880-an untuk membangunkan industri penanaman lada dan gambir di Bahagian Pertama. Migrasi yang dibawa dari Singapura ini mendatangkan hasil apabila penanaman lada mendatangkan keuntungan kepada ekonomi Sarawak.
Penempatan di Rejang
Kepercayaan Raja Charles Brooke kepada orang Cina ini membawa kepada gelombang baharu kedatangan orang Cina pada awal abad ke-20. Pada 1900, Wong Nai Siong diberi tanggungjawab membawa orang Cina ke Lembah Rejang. Peringkat awal ini, kehidupan masyarakat Cina di Lembah Rejang mengalami kesukaran apabila menemui kegagalan dalam penanaman padi dan tebu.
Mereka mengalami masalah penyesuaian kehidupan yang serius kerana kekurangan makanan dan iklim yang berbeza serta berdepan dengan kaum yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini. Masalah ini dapat diatasi apabila mubaligh Methodist membantu mereka dalam menjalani kehidupan di Rejang. Akhirnya mereka berjaya melawan rintangan ini dengan melibatkan diri dalam pelbagai sektor ekonomi di Sarawak terutamanya getah dan lada.
Keagamaan dan perayaan
Orang Cina ini juga membawa budaya nenek moyang mereka dari China ke Sarawak. Kerajaan Brooke tidak menghalang perkembangan budaya dan keagamaan orang Cina di Sarawak. Oleh itu tumbuh kuil-kuil orang Cina di Sarawak seperti Kuil Kwan Ying di Simanggang yang dibina semula pada 1899.
Orang Cina juga diberi peluang untuk menjalankan budaya mereka dengan aman. Salah satu aktiviti budaya dan sosial yang tercatat dalam sejarah Sarawak ialah Perarakan Chingay.
Perarakan ini pernah dijalankan pada 1908 di Kuching dan mendapat liputan dalam Sarawak Gazette. Selain itu perayaan Tahun Baharu Cina juga tidak pernah dilupakan oleh orang Cina. Pada zaman Brooke ini juga perayaan Tahun Baharu Cina seperti juga Hari Raya dan Krismas diraikan sebagai hari kelepasan umum bagi negeri Sarawak.
Bagi menandakan hari kelepasan Tahun Baharu Cina, tembakan meriam penghormatan dibuat di kubu-kubu di Sarawak. Di Sibu pada 1919, sebanyak tujuh das tembakan hormat dilakukan. Begitu juga berlaku di Limbang pada tahun sama apabila tujuh das tembakan hormat dilakukan di kubu bagi menandakan Tahun Baharu Cina.
Perayaan Tahun Baharu Cina pada era Brooke ini diraikan seperti amalan-amalan mereka di tanah besar China. Salah satu keunikan zaman Brooke apabila perayaan tersebut tiba, adalah pertunjukan wayang. Pada 1926, pertunjukan wayang diadakan di Kuching.
Persembahan wayang itu melibatkan 40 persembahan yang didatang terus dari Singapura, manakala bazar di Kuching pula dihias dengan cantik untuk menyambut perayaan tersebut.
Di Dalat pada 1927, perayaan Tahun Baharu Cina dimeriahkan lagi dengan acara regata. Regata ini diusahakan oleh orang Cina sendiri. Salah satu amalan tradisi yang dijalankan oleh masyarakat Cina semasa perayaan ini ialah mengadakan makan besar. Di Simanggang misalnya pada 1932, makan besar ini diadakan di Simanggang Recreation Club.
Penambahan cuti
Perayaan Tahun Baharu Cina ini juga mendapat perhatian Raja Vyner Brooke. Pada masa-masa tertentu, beliau memberi lebih cuti untuk perayaan itu. Hal ini boleh dilihat pada perayaan tersebut yang disambut pada 1926.
Beliau telah menambah cuti umum pada Isnin yang mana perayaan Tahun Baharu Cina jatuh pada Sabtu, manakala pada 1932, perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya jatuh pada bulan yang sama. Ini membawa kepada cuti ditambah untuk menyambut kedua-dua perayaan tersebut selain menyambut Hari Lahir Rani Sarawak.
Terdapat juga kejadian tidak diingini berlaku pada hari tersebut terutamanya berkenaan dengan perjudian. Satu pergaduhan berlaku di bazar Pusa pada 1907. Kebiasaan pergaduan ini melibatkan orang Cina dari dua dialek berbeza seperti berlaku di Marudi pada1888. Hutang judi menjadi masalah utama dalam pergaduhan itu.
Satu lagi perayaan dijalankan bagi menandakan penutupan perayaan Tahun Baharu Cina ini ialah Chap Goh Meh. Ia dijalankan setiap tahun di Sarawak. Antara aktiviti pada Chap Goh Meh pernah dilakukan adalah membakar mercun pada 1926. Pembakaran mercun ini berterusan sehingga setengah jam.
Kestabilan
Salah satu kegusaran pihak kerajaan Brooke tentang orang Cina ini ialah kegiatan kongsi gelap. Pihak kerajaan memang memantau perkara ini agar ia tidak menganggu kestabilan dan kemakmuran Sarawak. Pernah dicatatkan berlaku kekacauan di Bahagian Pertama, Sarawak oleh kongsi gelap ini pada 1934. Walaupun ada elemen kongsi gelap ini tetapi kerajaan Brooke berjaya mengawal perkembangan aktiviti kongsi ini.
Secara keseluruhannya juga sebahagian besar masyarakat Cina di Sarawak pada zaman Brooke mematuhi peraturan dan undang-undang negeri. Mereka telah menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat lain di Sarawak. Jalinan ini kadang-kala membawa kepada perkahwinan campur antara orang Cina dengan kaum lain yang membentuk pepaduan utuh di Sarawak sehingga ke hari ini.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.