
MAKKAH: Fasa kemuncak ibadat haji atau dikenali sebagai Masyair, bukan sekadar perjalanan fizikal, malah ia merupakan medan ujian ketahanan jiwa serta kekuatan mental dan emosi dalam mengejar haji yang mabrur.
Pengurus Kaunseling Unit Perkhidmatan Kaunseling Azlina Abd Wahid berkata meskipun jemaah haji telah menjalani persiapan rapi dari tanah air, namun tekanan sebenar akan mula dirasai apabila mereka memasuki tempoh penting antara 8 hingga 13 Zulhijjah.
“Pertama, sentiasalah bersyukur dengan apa jua ujian yang datang. Jika kita letakkan syukur di hadapan, Insya-Allah segala rasa tidak menyenangkan itu akan perlahan-lahan reda.
“Kedua, sabar. Sabar itu perintah Allah dan bukan mudah untuk diamalkan. Namun, jika kita melatih diri untuk terus bersabar walaupun sukar pada mulanya, lama-kelamaan ia akan menjadi sebahagian daripada diri kita. Sabar akhirnya akan menjadi rutin yang mendamaikan,” katanya kepada pemberita di sini.
Azlina berkata ketika di Arafah, jemaah haji akan mengikuti program khas sehingga waktu wukuf. Namun, keadaannya berbeza di Mina apabila jemaah perlu mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat.
“Di Mina, jemaah perlu bijak mengurus masa lapang dengan pengisian kendiri seperti berzikir, membaca al-Quran, berdoa, dan berehat secukupnya. Inilah waktu terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah tanpa gangguan dunia luar. Jika masa itu dibiarkan kosong, di situlah tekanan mula datang,” katanya.
Pada masa sama, Azlina memaklumkan unit kaunseling menjangkakan kemuncak keperluan sokongan emosi adalah semasa tempoh Masyair ketika jemaah haji semakin ramai, cuaca semakin panas dan tekanan sosial meningkat, trend kes-kes kaunseling juga akan bertambah.
“Sehubungan itu, kami (unit kaunseling) bersedia 24 jam dengan kaunselor berdaftar yang terlatih, bukan sahaja mendengar masalah tetapi memberi bimbingan agar jemaah kekal fokus kepada matlamat utama iaitu mendapatkan haji mabrur,” katanya.
Azlina berkata dengan sokongan sistem kaunseling yang kukuh, pengurusan rapi dan semangat ukhuwah sesama jemaah, Tabung Haji optimis jemaah Malaysia mampu menghadapi cabaran Masyair dengan kekuatan rohani dan mental yang tinggi.
Jemaah haji Malaysia dijadualkan bergerak ke Arafah pada 4 Jun ini, sebagai persiapan menghadapi hari wukuf yang dijangka pada Khamis, 5 Jun bersamaan 9 Zulhijjah. – Bernama