KUCHING: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) berharap kerajaan Sarawak dapat memastikan sukan Muay Thai dipertandingkan dalam temasya Sukan Borneo akan datang.
Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim, berkata sukan itu wajar dimasukkan dalam Sukan Borneo memandangkan sambutan dan sokongan yang memberangsangkan daripada komuniti di seluruh Borneo.
“Muay Thai telah mendapat sokongan yang luar biasa daripada rakan-rakan kita di Pontianak, Brunei, Sabah, Labuan, dan Kalimantan Barat,” katanya pada sidang media Eden Idol, di Eden Garden, di sini, malam tadi.
Kerajaan Sarawak merancang untuk menghidupkan semula Sukan Borneo tahun depan selepas kali terakhir dianjurkan pada 2009.
Jumaat menegaskan bahawa hubungan erat antara Sarawak dan negara jiran menjadikan Muay Thai sebagai sukan yang mampu mengeratkan silaturahim antara komuniti di rantau ini.
“Setiap kali kita anjurkan acara Muay Thai di Sarawak, penyertaan dari Sabah, Brunei, Labuan, dan Kalimantan Barat sentiasa konsisten. Ini menunjukkan bahawa sukan ini memiliki potensi besar untuk menjadi salah satu acara utama dalam Sukan Borneo,” katanya.
Beliau turut memohon agar kerajaan negeri, khususnya melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan untuk terus menyokong pembangunan sukan ini, khususnya dari segi kewangan.
“Jika kerajaan dapat memberikan peruntukan RM1 juta, saya sudah gembira, ia akan membantu kami menjalankan latihan lebih efektif dan menghantar atlet untuk pendedahan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Pada masa sama, Jumaat memaklumkan bahawa persiapan untuk SUKMA 2026 sudah bermula dengan menghantar atlet ke Thailand untuk latihan intensif.
“Selepas kejayaan sebagai juara keseluruhan Muay Thai di SUKMA 2024, kami mahu memastikan gelaran itu dapat dipertahankan. Oleh itu, persiapan perlu dimulakan dari sekarang dengan sokongan padu pelbagai pihak,” jelasnya.
PMNS percaya, dengan sokongan penuh kerajaan, sukan Muay Thai bukan sahaja dapat berkembang di Sarawak malah juga mengangkat nama negeri ini di peringkat serantau.
Sebelum ini, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyatakan bahawa Sukan Borneo bakal dihidupkan semula tahun depan.
Bagaimanapun, tarikh dan lokasi penganjuran belum dimuktamadkan.
“Tarikh dan tempat akan ditentukan selepas mesyuarat penyelarasan dilaksanakan dengan wilayah-wilayah berdekatan.
“Pertandingan ini bertujuan untuk mengetengahkan bakat sukan tempatan yang sedang berkembang dan memberikan peluang kepada atlet semasa untuk mengukur prestasi mereka berbanding rakan-rakan dari wilayah lain,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, bulan lalu.
Untuk rekod Sukan Borneo yang pertama dianjurkan oleh Brunei pada 1954.
Sabah, Sarawak serta Brunei kemudiannya bergilir-gilir menjadi tuan rumah temasya sukan itu dan kali terakhir ia dianjurkan di Brunei pada 2009.
Oleh SHAHRUL QAIZAT