KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao membuktikan kehebatannya di gelanggang apabila melangkah ke final Kumamoto Masters Jepun 2024 dengan menyingkirkan juara All England 2024 Jonatan Christie dari Indonesia dalam pertembungan sengit hari ini.
Aksi separuh akhir di Gimnasium Wilayah Kumamoto menyaksikan Jun Hao yang menduduki ranking ke-31 dunia itu terpaksa memerah keringat selama 77 minit sebelum menundukkan pilihan keempat kejohanan dengan keputusan 10-21, 21-18, 22-20.
Kejayaan ini merupakan kemenangan kedua Jun Hao ke atas Jonatan selepas Terbuka Indonesia 2024 pada Mei lepas, membuktikan kematangannya sebagai pemain yang mampu bersaing di pentas tertinggi untuk meraih kemenangan pertamanya dalam pentas Super 500 (Kumamoto Jepun 2024) itu.
Pada aksi final esok, Jun Hao bakal berdepan cabaran getir menentang sama ada jaguh dunia dan pemenang pingat emas Olimpik 2020 dan 2024 Viktor Axelsen dari Denmark atau pilihan ketujuh kejohanan Li Shi Feng dari China.
Jun Hao sebelum ini pernah meraih juara di tiga kejohanan iaitu Terbuka Finnish 2018 (Cabaran Antarabangsa), Masters Indonesia 2022 (Super 100) dan KL Masters Malaysia 2023 (Super 100) selain naib juara di Masters Thailand 2018 (Super 300) dan Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2019.
Sementara itu, beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terpaksa akur selepas kecundang kepada pasangan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 21-18, 20-22, 14-21.
Nasib yang sama menimpa beregu profesional lelaki negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong apabila tewas kepada pilihan keenam kejohanan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun dengan keputusan 12-21 dan 15-21.– BERNAMA