
LAWAS: Pembangunan masjid baru iaitu Masjid Terapung Kampung Punang kini telah mencapai lebih 90 peratus siap.
Namun demikian, ada beberapa kerja penambahbaikan akan dilakukan untuk memastikan masjid ini dapat disiapkan dengan segala kelengkapan dan keselesaan umat Islam yang akan menggunakannya kelak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan projek ini dilaksanakan oleh pihak Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) akan menjadi mercu tanda bagi Kampung Punang.
Malahan kerja pembinaan tebingan air Kampung Punang yang tergendala dahulu di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan dibangun semula melalui pihak RECODA yang akan mula dilaksana tahun hadapan.
“Dari segi kemajuan Masjid Terapung Kampung Punang ini, lebih 90 peratus siap namun saya meminta untuk membuat beberapa perubahan.
“Saya juga menjemput konsultan untuk memberi taklimat berhubung dengan cadangan pembangunan tebingan air di Pantai Punang. Dahulu projek ini dikendalikan JKR tetapi disebabkan temboknya kurang kukuh dan berlaku hakisan, ia dilaksanakan pihak RECODA.
“Saya juga meminta penduduk Kampung Punang untuk memberi pandangan bagaimana untuk yang melaksanakan projek tebingan air ini, ” katanya pada majlis ibadah korban dan lawatan kerja ke Masjid Terapung Kampung Punang baru-baru ini.
Seterusnya, beliau juga memaklumkan pembinaan benteng pemecah ombak juga akan dibina di kawasan Pantai Punang bagi mengawal arus dan gelombang darpada memberi kesan kepada pembangunan di kawasan pesisir Pantai Punang.
Oleh Adeng Edrus