
SIMANGGANG: Masjid dan surau perlu berfungsi lebih daripada sekadar tempat ibadah, sebaliknya menjadi pusat penyatuan ummah, pembangunan generasi muda dan sokongan kepada golongan memerlukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, peranan itu penting bagi melahirkan masyarakat berilmu, remaja terbimbing dan komuniti yang sejahtera.
“Inilah makna sebenar tema Maulidur Rasul tahun ini, Ummah Maju Makmur iaitu maju dari segi lahiriah, makmur dari segi rohaniah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sri Aman di Masjid Bandar Sri Aman, pagi tadi.
Beliau menggesa agar sambutan Maulidur Rasul tidak berakhir dengan perarakan semata-mata, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan mencontohi kepimpinan Rasulullah SAW dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.
Dayang Noorazah berharap semangat Ummah Maju Makmur akan memperkukuh perpaduan, mengangkat martabat Islam serta membangunkan Sarawak sebagai negeri yang harmoni, sejahtera dan makmur.
Sementara itu, meskipun dilanda hujan renyai, tidak sesekali mematahkan semangat para peserta kontinjen perarakan demi meraikan hari yang penuh keberkatan ini.
Sekitar 1,400 peserta yang terdiri daripada 47 kontijen telah menyertai perarakan pada tahun ini, dan telah di bahagikan kepada empat kategori.
Kategori A terdiri daripada Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun (15 kontinjen) Kategori B terdiri daripada Persatuan dan Badan Swasta (enam kontinjen) Kategori C terdiri daripada Sekolah Rendah dan Menengah (tiga kontinjen) dan Kategori D terdiri daripada JKKK Masjid dan Surau (23 kontinjen).
Perarakan bermula dari Tebingan Sri Aman mengelilingi sekitar Kampung Tengah Sri Aman dan berpatah semula ke Masjid Bandar Sri Aman untuk majlis penangguhan, dan jarak perjalanan sejauh 3.6 kilometer.
Turut hadir, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, Pemangku Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman, Ustazah Ellysya Razali dan Temenggung Mohamad Shah Achang.
Oleh Adi Safarman