
KABONG: Masjid kini tidak lagi hanya berfungsi sebagai rumah ibadat semata-mata, sebaliknya perlu ditransformasikan sebagai pusat penyatuan ummah yang dinamik menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang inklusif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menegaskan bahawa peranan institusi masjid harus diperluaskan bagi mengeratkan hubungan antara masyarakat melalui program sosial seperti Majlis Ramah Tamah Aidilfitri.
Menurut beliau, pengisian aktiviti sedemikian mampu menjadi platform terbaik untuk memupuk nilai-nilai murni seperti amalan saling bermaafan, semangat tolong-menolong serta memperkukuhkan ukhuwah sesama insan tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyerikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Masjid Lamak Kampung Nyabor dengan kerjasama Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Nyabor A di Masjid Lama, pagi tadi.
Chee Kadir yang hadir bersama isteri, Datin Meryani Yasin, turut merakamkan penghargaan atas inisiatif penganjur yang berjaya menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana penuh kemesraan dan keharmonian.
Dalam ucapannya, beliau memuji semangat gotong-royong dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh penduduk kampung yang menjadi tunjang utama kepada kejayaan majlis yang penuh bermakna itu.

Beliau menyifatkan semangat kebersamaan tersebut sebagai satu nilai murni yang amat tinggi harganya dan harus sentiasa dipupuk serta dikekalkan dalam mendepani cabaran kehidupan bermasyarakat masa kini.
Sebagai wakil rakyat, Chee Kadir menegaskan komitmen berterusan beliau untuk menyokong penuh pelaksanaan program kemasyarakatan yang berteraskan elemen perpaduan dan kerjasama erat.
Beliau juga berharap agar usaha murni seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi memastikan hubungan silaturahim dalam komuniti di kawasan Kabong sentiasa terpelihara dan semakin utuh.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Penghulu Wahab Samsu dan Ketua Kampung Bakihan Nani yang bersama-sama meraikan keraian itu dalam semangat Aidilfitri yang cukup meriah.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Lama, Yuswadi Nawi serta Pengerusi PPWS Kampung Nyabor A, Haslinda Rini, bersama barisan jawatankuasa dan penduduk setempat.
Acara yang berlangsung di perkarangan masjid tersebut berakhir dengan jayanya, sekali gus membuktikan masjid mampu menjadi nadi penggerak kepada keharmonian dan penyatuan masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman