Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Masjid moden bakal jadi mercu tanda perpaduan komuniti Islam Betong
  • Tengah
  • WILAYAH

Masjid moden bakal jadi mercu tanda perpaduan komuniti Islam Betong

Utusan Sarawak 7 hours ago
DATUK Dr Abdul Rahman Junaidi hadir dalam majlis pelancaran pembinaan masjid berkenaan di sini, hari ini. Foto: MTMA

BETONG: Satu lagi mercu tanda bakal menghiasi Bahagian Betong apabila sebuah masjid baharu dengan reka bentuk moden bakal dibina, bukan sekadar sebagai rumah ibadah, tetapi simbol keutuhan perpaduan ummah dan kemajuan masyarakat Islam di kawasan ini.

Projek yang menjadi harapan komuniti Islam tempatan itu dilancarkan hari ini oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, yang menyifatkan pembinaan masjid tersebut membawa makna besar kepada komuniti Islam, jauh melebihi pembinaan fizikal semata-mata.

“Masjid ini akan menjadi titik pertemuan umat Islam, bukan sahaja sebagai tempat solat, malah medan menyemarakkan syiar Islam, membina jati diri serta melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia,” katanya dalam majlis pelancaran pembinaan masjid berkenaan di sini, hari ini.

Menurut beliau, masjid juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian kaum dan agama, sejajar dengan aspirasi kerajaan Sarawak yang menekankan kesepaduan masyarakat berbilang etnik.

Tambah beliau, masjid perlu dimanfaatkan sebagai pusat komuniti aktif dengan penganjuran program keilmuan, sosial dan kemasyarakatan.

“Jangan jadikan masjid hanya sebagai tempat menunaikan solat, sebaliknya manfaatkannya sebagai ruang pengajian, ceramah agama dan pusat pembangunan ilmu bagi membina masyarakat Islam yang progresif dan berdaya tahan,” tegas beliau lagi.

Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pembinaan Masjid Baharu Betong atas inisiatif menggerakkan projek ini yang bakal membawa manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

Beliau turut mengingatkan supaya aspek pemantauan sentiasa diberi keutamaan agar pembinaan berjalan lancar dan menepati perancangan.

Beliau optimis keluasan tapak masjid dapat dimaksimumkan untuk pelbagai kemudahan tambahan seperti dewan serbaguna, pusat pengajian dan kawasan rekreasi komuniti.

“Projek ini adalah hak milik masyarakat. Saya yakin masjid ini nanti akan menjadi simbol silaturahim, lambang perpaduan serta mercu tanda keharmonian Islam di Bahagian Betong,” ujarnya lagi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam, Yang Dipertua Majlis Islam Datu Misnu Taha dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datu Ir Ahmad Denny Ahmad Fauzi.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Rakyat Marudi jangan mudah terpedaya janji kosong
Next: Akademi Gemalai Tari rai 13 peserta tamat kelas Ngajat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.