KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing menyelar tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh yang beliau sifatkan suka memutarbelit fakta dan berbohong kepada rakyat.
Masing juga menyifatkan Soon Koh sebagai seorang yang suka ‘menjaga tepi kain orang lain’, bagi menyebunyikan kesalahan dan kelemahan diri sendiri.
Sepatutnya, Soon Koh ‘melihat cermin’ atau melihat terlebih dahulu masalah dan kekurangan di kawasan diri sendiri sebelum menuduh wakil rakyat lain tidak membangunkan kawasan mereka.
“Sebelum beliau (Soon Koh) mengkritik tentang kawasan orang lain … lihat dahulu halaman belakang rumah diri sendiri.
“Apa pembangunan yang dia buat untuk rakyatnya (di DUN Bawang Assan) setelah menjadi wakil rakyat kawasan itu selama 30 tahun,” tegasnya dalam sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur di sini, semalam.
Sebelum ini, Soon Koh didakwa telah mengkritik kemudahan infrastruktur, terutama jalan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh.
Menurut Soon Koh, Masing sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut telah gagal membawa arus pembangunan ke kawasan tersebut.
“Soon Koh sangat tidak jujur, dia hanya tahu keburukan orang lain tetapi dia tidak melakukan apa-apa dari segi pembangunan infrastruktur jalan raya untuk kawasan Bawang Assan walaupun telah menjadi ADUN selama 29 tahun.
“Soon Koh pembohong. Dia tidak melakukan apa yang baik untuk kawasan sendiri, tetapi dia pergi ke daerah lain dan menuduh orang lain tidak melakukan (pembangunan),” tegasnya dalam sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur di sini, semalam.
Beliau memberitahu, Soon Koh tidak perlu mengelirukan rakyat dengan mengatakan bahawa dia akan membangunkan luar bandar tetapi dalam tempoh 30 atau lebih tahun sebagai wakil rakyat di luar bandar ini, dia tidak melakukan apa-apa.
Tambah Masing, ketika Soon Koh menjadi Menteri Infrastruktur selama lapan tahun, dia tidak melakukan apa-apa dan pembangunan amat kurang di DUN Bawang Assan.
“Bukan hanya itu, dia juga Menteri Kewangan II, namun dia tidak melakukan apa-apa.
“Dia tidak membina jalan raya di kawasannya, jalan yang ada dibina ketika zaman Jabu (Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang) dan juga tidak mencari jalan untuk memperoleh pendapatan tambahan untuk kita semua,” jelas Masing.
Beliau menegaskan sebenarnya terdapat banyak pembangunan infrastruktur di kawasan Baleh, termasuk Jambatan Baleh bernilai RM87 juta, Jambatan Sungai Mujong dibina dengan kos RM36 juta, jalan menuju ke Empangan Baleh sejauh 73km berharga RM1.2 bilion, dan sebagainya.
“Di Sungai Tunoh sendiri, kami membangunkan bandar baharu di sana dan kami akan membina sebuah lapangan terbang dengan kos sekitar RM103 juta. Jalan yang menuju ke kawasan ini juga dalam pembinaan sekarang,” katanya.
Masing percaya bahawa tidak ramai orang Iban dan Dayak akan terpengaruh dengan Soon Koh kerana sekarang ini kebanyakan mereka berpendidikan sekali gus sukar untuk dipengaruhi.
Oleh Nur Ain Otsman