MUAFAKAT Nasional berasal daripada satu kerjasama politik jangka pendek antara PAS dan UMNO apabila Piagam Muafakat Nasional dimeterai ketika berlangsungnya Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019. Kerjasama ini cuba membentuk blok kerjasasama dua parti berteraskan Melayu yang berakhir pada Disember 2022.
Kerjasama PAS dan UMNO berakhir selepas PAS memilih bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan banyak tidak menepati persefahaman yang dipersetujui bersama. Selepas itu, idea Muafakat Nasional kemudian terus digunakan oleh Tan Sri Annuar Musa yang dilihat pro Bersatu dan mesra PAS dan dijadikan sebagai sebuah badan bukan kerajaan dan beliau sendiri menjadi pengerusi.
Berdasarkan sijil pendaftaran pertubuhan tersebut yang beralamat di Klang, Selangor dan telah diluluskan pendaftaran serta ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 19 September 2019, didapati terdapat beberapa individu rapat dengan Annuar berada dalam senarai ahli jawatankuasa. Mereka termasuk Setiausaha Politiknya, seperti Budiman Mohd Zohdi dan Setiausaha Sulit, Mohammed Azam Ismail serta Setiausaha Media, Tun Faisal Ismail Aziz.
PIAGAM
Pada awal penubuhan Muafakat Nasional oleh UMNO dan PAS, agenda yang dipersetujui adalah untuk membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk, menjunjung Perlembagaan Persekutuan, memperkukuhkan muafakat melalui amalan musyawarah melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara, memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas, membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya.
Ini menurut agenda itu, sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara, selain untuk mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan. Idealisme pada awalnya tersebut dilihat sangat murni yang didukung oleh pimpinan UMNO dan PAS. Namun apabila PAS mulai bekerjasama dengan parti BERSATU dan seterusnya menubuhkan Perikatan Nasional, akhirnya UMNO tidak meneruskan kerjasama dalam Muafakat Nasional.
PASCA KERJASAMA BERAKHIR
Selepas itu, Muafakat Nasional dilihat dikuasai oleh PAS dan BERSATU yang pemimpin mereka dilihat banyak menggunakan unsur-unsur etnik dan agama untuk meraih sokongan daripada pengundi. Kenyataaan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Muafakat Nasional kadangkala kurang terpancar semangat awal pada piagam awal mereka dan kadangkala dilihat bersifat politik dan retorik keagamaan.
TAFSIRAN POLITIK
Malah Muafakat Nasional selepas ketiadaan UMNO sering digunakan sebagai retorik politik apabila Annuar Musa selaku Pengerusi Muafakat Nasional seolah-seolah menyatakan hanya melalaui Muafakat Nasional sahajalah yang mampu menyatukan ummah dan perlu kerjasama dengan PAS dan BERSATU. Malah penglibatan Annuar dikritik kerana dituduh sanggup mengkhianati parti sendiri demi kelangsungan politik PAS dan BERSATU. Lebih-lebih lagi PAS dikritik kerana mempolitikkan agama manakala BERSATU mempunyai niat tersembunyi untuk menggantikan UMNO, terdapat kritikan bahawa kesatuan Melayu melalui parti politik adalah tidak realistik kerana semua orang mengejar kuasa.
Annuar Musa sering menggunakan Muafakat Nasional sebagai alat politik dengan menyatakan kesatuan sejati hanya akan wujud apabila PAS, BERSATU dan UMNO bersatu semula untuk memperjuangkan perjuangan bangsa, agama dan negara. Beliau dipecat dari UMNO pada Disember 2022 dilihat menggunakan medan Muafakat Nasional sebagai wadah untuk bergerak, bersuara dan memperluaskan pengaruh PAS dan BERSATU terhadap orang Melayu di luar parti politik dan mahu mempengaruhi ahli UMNO untuk menyertai Muafakat Nasional dan ini secara tidak langsung menyokong gerakan perjuangan politik PAS dan BERSATU. Strategi politik ini secara tidak langsung mahu menghapuskan pengaruh UMNO dalam kalangan orang Melayu.
SITUASI MUAFAKAT NASIONAL SABAH
Baru-baru ini dilaporkan Muafakat Nasional (MN) Sabah yang dibentuk sejak dua tahun lalu dibubarkan hari ini selepas hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Pengerusinya, Annuar Musa. Dilaporkan bahawa Pengerusi MN Sabah, Jismit Japong bersama 30 ahli jawatankuasa (AJK) protem MN negeri meletak jawatan beramai-ramai dan tindakan itu sebagai tanda tidak puas hati terhadap layanan MN Pusat, termasuk kecewa terhadap layanan Annuar yang didakwanya tidak adil.
Mereka mengatakan sudah menilai dengan panjang lebat tindakan MN pusat pimpinan Annuar Musa yang membelakangkan dan tidak menghormati langsung seolah-olah MN Sabah tidak wujud. Keputusan itu dibuat menjelang kehadiran Annuar ke Sabah yang dijadual akan menghadiri Konvensyen PAS Sabah. Antara lain MN Sabah terkilan kerana tidak dimaklumkan berhubung pelantikan dua Ahli Dewan Tertinggi MN dari Sabah, sedangkan MN Pusat sebelum ini sudah memberi mandat autonomi kepada MN Sabah. Hal ini menunjukkan terdapat percanggahan dengan prinsip dan konsep MN yang perlu dibincangkan bersama.
REVELANKAH MN DI SABAH DAN SARAWAK?
Muafakat Nasional, yang asalnya merupakan gabungan UMNO dan PAS dengan fokus kepada penyatuan orang Melayu dan Islam, menghadapi cabaran yang ketara di Sabah dan Sarawak. Kedua-dua negeri ini mempunyai latar belakang etnik dan agama yang jauh lebih pelbagai berbanding Semenanjung Malaysia. Pendekatan MN yang terlalu menumpukan kepada isu-isu Melayu-Islam tidak sesuai dengan keperluan dan aspirasi masyarakat di Sabah dan Sarawak yang lebih mementingkan isu-isu autonomi, pembangunan infrastruktur, dan kesejahteraan ekonomi.
Oleh itu, untuk kekal relevan, MN sukar menyesuaikan agenda agar lebih inklusif dan selaras dengan keperluan dan aspirasi masyarakat pelbagai etnik di kedua-dua negeri ini. Bagi orang di Sabah dan Sarawak pemimpin MN seperti Annuar Musa dilihat ultra Melayu sedangkan Sabah dan Sarawak lebih bersifat multi etnik. Annuar Musa, salah seorang pemimpin utama MN, sering kali dikaitkan dengan pendirian ultra-Melayu yang amat kurang disenangi di Sabah dan Sarawak.
Pendekatan yang terlalu menekankan keutamaan Melayu-Islam boleh mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam di Sabah dan Sarawak. Di negeri-negeri ini, harmoni dan toleransi antara etnik dan agama adalah nilai yang sangat penting. Oleh itu, pendirian seperti yang diambil oleh Annuar Musa boleh dilihat sebagai kurang sensitif terhadap konteks sosial dan budaya Sabah dan Sarawak, yang memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dan inklusif.
TIDAK LANTANG
MN sering kali dilihat sebagai terlalu terfokus kepada isu-isu di Semenanjung, khususnya yang melibatkan kepentingan politik Melayu-Islam. Hal Ini menyebabkan mereka dilihat tidak lantang dalam memperjuangkan isu-isu khusus yang dihadapi oleh rakyat Sabah dan Sarawak, seperti pembangunan infrastruktur, hak tanah adat, pendidikan dan perwakilan politik yang lebih adil. Kegagalan untuk menyuarakan dan memperjuangkan isu-isu ini tidak mampu tarik sokongan rakyat Sabah dan Sarawak. Dalam konteks ini, MN dilihat kurang memahami keperluan serta kehendak masyarakat di Sabah dan Sarawak, maka sukar dan tidak relevan, malah tidak mendapat sokongan yang lebih luas.
Berdasarkan aspek ini ternyata Muafakat Nasional asalnya adalah kerjasama antara PAS dan UMNO untukmenyatukan ummah melalui agenda politik Melayu-Islam. Namun, selepas PAS bekerjasama dengan BERSATU, kerjasama ini berakhir, dan Annuar Musa meneruskan ideologi MN sebagai NGO. Kini, MN lebih cenderung kepada agenda PAS dan BERSATU menggunakan isu etnik dan agama untuk meraih sokongan, sering kali mengabaikan semangat inklusif yang diusahakan dahulu. Di Sabah dan Sarawak, MN menghadapi kesukaran untuk relevan kerana fokusnya yang terlalu Melayu-Islam, tidak selari dengan kepelbagaian etnik di negeri-negeri ini. Pendekatannya dianggap tidak sensitif terhadap keperluan dan aspirasi masyarakat di Sabah dan Sarawak.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).