
Penyerang sensasi Sweden, Alexander Isak (tengah). Foto AFP
LIVERPOOL: Penyerang sensasi Sweden, Alexander Isak menegaskan masih ramai belum mengetahui ‘gambaran sebenar’ di sebalik perpindahan rekod 125 juta pound (RM714 juta) dari Newcastle United ke Liverpool yang penuh kontroversi.
Isak, 25, akhirnya membuat penampilan sulung musim ini bersama skuad kebangsaan ketika tewas 0-2 kepada Kosovo dalam aksi kelayakan Piala Dunia, awal pagi semalam selepas langsung tidak diturunkan Newcastle dalam tiga perlawanan awal liga sebelum berhijrah ke Anfield pada 1 September lalu.
Perpindahan itu tercetus selepas Isak secara terbuka menyatakan hasrat meninggalkan Newcastle melalui media sosial bulan lalu dengan mendakwa kelab berkenaan gagal menunaikan janji.
Tindakannya menyebabkan dia beralih daripada ‘wira’ kepada ‘musuh’ di mata penyokong Magpies, malah menjadi sasaran ejekan dalam beberapa perlawanan awal musim.
Isak sebelum ini menjadi wira Newcastle apabila menjaringkan gol kemenangan pada final Piala Liga menewaskan Liverpool, sekali gus menghadiahkan trofi domestik pertama kelab itu dalam tempoh 70 tahun.
“Jelas sekali bukan semua orang tahu gambaran sebenar, tapi itu cerita untuk hari lain.
“Ini adalah lumrah bola sepak. Saya tak boleh kawal apa yang diperkatakan, tapi apa yang penting saya gembira akhirnya bergelar pemain Liverpool. Itulah yang saya mahukan sejak awal,” katanya kepada media Sweden.
Tambahnya lagi, proses perpindahan penuh liku itu banyak memberikan pengajaran buat dirinya, namun segalanya berakhir dengan keputusan yang membanggakan.
Isak dijangka memulakan latihan bersama rakan sepasukan Liverpool minggu ini sebelum melakukan penampilan pertama menentang Burnley, Ahad ini. – AFP