PERDEBATAN yang menyelimuti ruang lingkup bahasa Melayu telah mengundang polemik yang hangat antara kumpulan pejuang dan pencinta bahasa Melayu dengan kumpulan pembuat dan pelaksana dasar yang menekankan kepentingan pengajaran dan pembelajaran serta penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi baharu, khususnya kalangan pelajar. Masing-masing mengemukakan hujah dan pandangan yang berpaksikan fakta bagi menegakkan tiang seri perjuangan.
Bagi pejuang dan pencinta bahasa Melayu, perdebatan dipusatkan kepada peruntukan perundangan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Manakala, bagi kumpulan yang memperjuangkan agar penguasaan bahasa Inggeris perlu diberikan keutamaan, dengan tonggak perdebatan disandarkan pada kedudukannya sebagai bahasa komunikasi global yang mampu menganjak pembangunan negara dari aspek daya saing ekonomi serta pasaran tenaga kerja, sama ada pada peringkat nasional, mahupun global.
Fakta yang dikemukakan sememangnya tidak dapat disangkal akan kekuatan dan kebenarannya. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam bidang pendidikan tidak semudah itu dapat ditepis dan dikesampingkan berlandaskan kedudukannya seperti yang telah diabsahkan dalam dokumen undang-undang tertinggi negara. Tidak seorang pun boleh menafikan hal yang sedemikian ini dan tidak seorang pun boleh membakulsampahkan perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Demikian juga halnya dengan kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi global, walaupun bukan yang paling banyak dituturkan. Namun, dalam konteks fungsi bahasa Inggeris memacu ekonomi negara, sandaran secara total kepada keupayaan menguasai bahasa tersebut bukanlah seratus peratus benar. Bukanlah satu wajaran untuk memperlekehkan kedudukan bahasa ibunda semata-mata untuk mencapai hasrat agar generasi pelapis yang fasih berbahasa Inggeris mempunyai daya saing dalam pasaran pekerjaan. Dalam konteks ini, hal utama atau inti sari permasalahan ini bukan sepenuhnya berpusatkan kefasihan seseorang menguasai dunia berkenaan, tetapi lebih kepada bahasa manakah yang lebih mudah diterima pakai sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan yang mampu menganjak kecendekiaan generasi akan datang.
Lantaran itu, jelas bahawa penguasaan ilmu, biarpun diajarkan dalam apa-apa jua bahasa sekalipun, merupakan elemen utama yang meletakkan tamadun sesebuah bangsa berada pada puncak kegemilangan. Sejarah kegemilangan Kerajaan Kesultanan Melayu merupakan bukti kukuh betapa kebijaksanaan pentadbir negara dalam soal perdagangan, maritim dan tadbir urus negara menarik pedagang asing untuk singgah dan berurus niaga. Faktor ketidakupayaan menguasai bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain, tidak sama sekali menjejaskan reputasi pelabuhan Melaka sebagai pusat persinggahan dan perdagangan. Malah, bahasa Melayu unggul menjadi lingua franca dalam segala urusan.
Waima tahap kefasihan bertutur serta berkomunikasi dalam bahasa Inggeris berada pada tahap puncak tertinggi, namun sekiranya tidak disertai dengan ilmu pengetahuan, di samping digandingkan dengan komponen produktif, inovatif, kreatif serta komitmen yang tinggi, hal yang sedemikian tidak membawa apa-apa perubahan. Kefasihan berbahasa Inggeris semata-mata bukan penanda aras untuk menilai kejayaan, sama ada seseorang, organisasi mahupun negara.
Mengimbau kegemilangan sesebuah tamadun bukanlah bernostalgik, namun menyorot kembali kegemilangan yang telah pudar bagi mengoja semangat juang dalam pemartabatan bahasa ibunda, di samping memacu pembangunan negara. Memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib, “Angin tidak bertiup untuk membuat pokok menari-nari, tetapi menguji kuatkah akarnya di bumi”. Selamilah sedalam-dalamnya untuk menyingkap siratan makna yang terkandung. Masihkah kecintaan terhadap bahasa Melayu bersemi? Jawapannya terarkib dalam nubari masing-masing.
Bahasa Jiwa Bangsa!
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!