

HIDUP ini tidak selalunya mudah. Kita sering diuji dengan pelbagai bentuk cabaran, tekanan, kegagalan, ketidakpastian atau kekecewaan yang menyakitkan hati.
Namun, dalam kesempitan dan kejatuhan, masih ada ruang untuk kita bangkit semula, masih terbuka jalan untuk berubah dan masih wujud peluang untuk mencipta kejayaan.
Sesungguhnya, selagi hayat dikandung badan, selagi itu kita masih mempunyai ruang untuk berjuang.
Berikut adalah panduan reflektif berdasarkan akronim M.A.S.I.H A.D.A, sebagai ikhtiar untuk menyedarkan diri bahawa perjuangan belum selesai dan kita semua mampu melangkah lebih jauh jika memilih untuk terus berusaha.
M – Melihat Secara Positif Dan Yakin Boleh
Langkah pertama dalam perjuangan adalah bagaimana kita melihat sesuatu situasi. Pandangan yang positif akan melahirkan tindakan yang membina manakala pandangan yang negatif boleh melemahkan semangat.
Kita perlu yakin bahawa kita masih ada potensi dan mampu melakar perubahan untuk terus bergerak maju.
Sikap ‘yakin boleh’ bukan angan-angan, tetapi dibina atas kesedaran bahawa setiap insan dikurniakan akal, keupayaan dan bimbingan daripada Allah SWT.
Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 286: “Allah SWT tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…”. Maka, yakinlah bahawa kita mampu jika kita benar-benar mahu.
A – Adaptasi Dengan Situasi Mudah Untuk Berubah
Dunia ini sentiasa berubah, begitu juga cabarannya. Mereka yang berjaya bukanlah mereka yang paling kuat, tetapi yang paling cepat menyesuaikan diri.
Dalam perjuangan, kemampuan untuk menyesuaikan strategi, memperbaharui pendekatan dan menyesuaikan diri dengan realiti semasa sangat penting.
Adaptasi bukan bermakna kita menggadaikan prinsip, tetapi ia menuntut kita fleksibel dan tidak jumud.
Belajar dari kesilapan, peka terhadap perubahan dan bersedia mencuba sesuatu yang baru adalah antara ciri-ciri pejuang yang tidak mudah patah semangat.
S – Sedar Perlu Bertindak Dengan Segera
Kesedaran tanpa tindakan adalah sia-sia. Ramai yang tahu apa yang patut dilakukan, tetapi hanya sedikit yang benar-benar bertindak.
Apabila kita sedar kita sedang terleka, segera kembali. Apabila kita tahu ada ruang untuk perbaiki diri, jangan bertangguh.
Orang yang berjaya adalah mereka yang tidak menunggu ‘masa yang sesuai’, tetapi mencipta peluang daripada masa yang ada.
Ingatlah pesan Rasulullah SAW: “Manfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara: masa mudamu sebelum datang masa tuamu…” (Bukhari dan Muslim). Bertindak segeralah sebelum terlambat.
I – Inisiatif Secara Berterusan Mencetus Semangat Membara
Dalam perjuangan, kita memerlukan inisiatif yang berterusan. Jangan menunggu arahan atau motivasi luar semata-mata.
Bangkitkan semangat dari dalam diri kita. Buatlah sesuatu dengan semangat membara, walaupun orang lain tidak nampak atau tidak menyokong.
Inisiatif yang berterusan akan mencipta konsistensi dan konsistensi itulah yang melahirkan hasil yang banyak. Jangan menunggu sempurna untuk bermula, bermulalah untuk jadi lebih baik.
H – Harapan Menjadi Realiti Sebagai Bukti Capaian
Harapan adalah sumber kekuatan, tetapi harapan yang tidak diiringi usaha hanya akan tinggal sebagai angan-angan.
Bila kita terus berjuang, kita sebenarnya sedang mengubah harapan menjadi realiti. Setiap usaha akan membuahkan hasil, dengan izin Allah SWT.
Mungkin bukan dalam masa segera, tetapi setiap titik peluh kita, setiap doa kita, akan menjadi bukti capaiannya kelak.
Mereka yang tekun berusaha pasti akan melihat perubahan, sekecil mana pun ia, sebagai petanda bahawa Allah sedang membuka jalan.
A – Azam Lebih Berjaya Dengan Terus Meneroka
Azam adalah janji kita kepada diri sendiri. Apabila kita memperbaharui azam, kita memperbaharui komitmen terhadap perjuangan hidup.
Setiap tahun, setiap bulan, setiap hari kita perlu ada semangat untuk menjadi lebih baik daripada semalam.
Teruslah meneroka potensi dan bakat diri. Jangan sempitkan diri dengan rasa ‘aku begini selamanya’. Kita semua boleh berubah.
Kita semua boleh menjadi insan yang lebih berjaya, jika kita menetapkan azam dan bergerak ke arahnya dengan bersungguh-sungguh.
D – Dedikasi Sepenuh Jiwa Asas Perjuangan Mendalam
Perjuangan yang berjaya memerlukan dedikasi. Ia bukan usaha sambil lewa, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Tetapi perlu disertakan dengan kesungguhan yang sepenuh hati. Lakukanlah apa jua perkara dengan tekad dan jiwa yang tulus.
Pejuang sebenar tidak mudah lari ketika diuji. Mereka tetap teruskan walaupun terpaksa menempuh jalan yang payah.
Dedikasi ini datang dari kesedaran bahawa apa yang kita perjuangkan ini lebih besar dari diri kita sendiri, demi keluarga, masyarakat dan agama.
A – Allah SWT Tempat Berharap Dan Berdoa Sebagai Penyerahan
Perjuangan hidup tidak akan sempurna tanpa sandaran kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa. Di saat manusia mengecewakan, di waktu harapan hampir pudar, hanya kepada Allah SWT tempat kita berserah. Berdoalah. Mohonlah petunjuk dan kekuatan.
Doa bukan tanda kelemahan, tetapi bukti kebergantungan kita. Kita mungkin gagal dari sudut dunia, tetapi di sisi Allah SWT, mereka yang tidak berputus asa, yang terus memohon dan menyerah adalah pejuang sejati.
Allah SWT tidak memandang hasil semata-mata tetapi kesungguhan dan keikhlasan hati.
Kesimpulannya, setiap daripada kita ada jalan hidup yang berbeza. Tetapi satu perkara yang pasti ialah kita semua akan diuji dan kita semua diberikan ruang untuk berjuang.
Jangan sia-siakan ruang itu. Bangkitlah. Mulakan dari sekarang. Biar perlahan, asal tidak berhenti.
Ruang berjuang itu masih terbuka luas bagi yang mahu berubah, yang mahu kembali dan yang mahu menjadi insan lebih baik daripada semalam.
Selagi kita percaya pada harapan, selagi itulah perjuangan belum berakhir.
Wallahu Alam Bissawab