KEJUTKAN SAHUR… Amalan ‘Masharati’ di Timur Tengah adalah tradisi turun temurun yang asalnya dilakukan secara sukarela tetapi kini dipilih sebagai profesion bermusim seiring perubahan urbanisasi dan sosial.-Bernama
DOHA: Suasana hening malam di kejiranan Dafna dekat sini tiba-tiba bertukar riuh dek paluan gendang. Kelihatan sekumpulan lelaki menyusuri lorong-lorong kediaman sambil memalu gendang dan rebana. Mereka melantunkan lagu-lagu tradisional berselang seli dengan seruan mengajak orang ramai bangun bersahur. Aktiviti ini berlanjutan sehinggalah ke minit akhir sebelum berkumandangnya azan Subuh.
Itulah ‘Masharati’, suatu pemandangan biasa pada dinihari sepanjang Ramadan di kebanyakan negara Timur Tengah, termasuklah di Qatar.
‘Masharati’ adalah amalan tradisi turun temurun yang asalnya dilakukan secara sukarela. Kini terdapat negara yang menjadikan amalan ini sebagai profesion bermusim seiring perubahan urbanisasi dan sosial.
Atiq Al Sulaiti, penyelidik sejarah dan warisan Qatar ketika ditemui Agensi Berita Qatar (QNA) berkata pemain ‘Masharati’ adalah satu profesion di beberapa kawasan di Qatar.
Menurutnya, walaupun masyarakat mungkin lebih memilih menggunakan tetapan jam penggera, tetapi tradisi ribuan tahun ini masih diteruskan dan dipelihara.
“Ia masih diperlukan. Pada Ramadan, orang yang tidur awal akan mudah terjaga. Tapi bagi yang tidur agak lewat, mereka pasti memerlukan seseorang untuk mengejutkan mereka bersahur sebelum azan subuh berkumandang. Di sinilah fungsi profesion bermusim ini.
“Mereka (pemain ‘Masharati’) bukan setakat memalu gendang dan mengalunkan lagu atau zikir. Bahkan mereka akan memanggil nama tuan rumah dan mengetuk pintunya,” katanya.
Jelasnya, bagi memelihara tradisi Ramadan ini agensi berkaitan juga telah mengambil inisiatif mewujudkan kumpulan pancaragam dianggotai beberapa pemuda yang memiliki latar belakang seni persembahan untuk melakukan ‘Masharati’ di lokasi tumpuan pelancong seperti ‘Souq Waqif’ (Pasar Waqif), Kampung Budaya ‘Katara’ dan beberapa kawasan lain.
Seorang lagi penyelidik sejarah dan warisan tempatan, Faisal Al Tamimi berkata bandar Dafna di Doha masih mengekalkan tradisi ini sejak ia mula diamalkan pada tahun 1985.
Menurutnya, kumpulan Pancaragam Cerita Rakyat Kebangsaan Qatar yang beliau sendiri anggotai ketika itu, telah memulakan amalan ini dan diteruskan sehingga tahun 1995. Selepas 10 tahun, kumpulan itu dibubar sebelum diwujudkan semula dengan anggota baharu pada awal 2013 dan berterusan sehingga semalam.
Tambahnya, setiap kejiranan di Qatar ada satu atau lebih kumpulan pemain ‘Masharati’ bergantung kepada saiz dan populasi kejiranan.
“Pemain ‘Masharati’ akan memulakan tugas mereka kira-kira dua jam sebelum masuk waktu imsak,” katanya.
Sementara itu, pemain ‘Masharati’ Ahmed Abdel Hamid berkata, “Kami mendapat maklum balas sangat positif daripada penduduk semasa melalui rumah mereka. Kanak-kanak yang kami temui turut kegirangan. Itu yang mendorong kami untuk terus berjalan.”
Menurut Ali Al Mannai yang menetap di Dafna, penduduk di situ ternanti-nanti ketibaan pemain ‘Masharati’ yang lengkap berbusana tradisional melintasi rumah mereka.
“Malah ada yang bercerita mengenai tradisi ini kepada anak-anak mereka sebaik melihat kelibat kami,” katanya sambil menzahirkan harapan agar profesion ini dipelihara dan disebar luas ke wilayah lain sebagai sebahagian warisan budaya Qatar.
Menurut QNA, sedar atau tidak amalan seakan ‘Masharati’ sebenarnya sudah bermula sejak zaman Nabi Muhammad (SAW) apabila umat Islam ketika itu menjadikan azan yang dilaungkan Ibn Umm Maktum sebagai tanda bermulanya puasa atau berhenti makan dan minum. Sementara laungan azan Bilal Bin Rabah sebagai tanda berbuka puasa.
Apabila dakwah Islam semakin tersebar dan lingkungan negara Islam semakin meluas, cara penyampaian maklumat turut mengalami perubahan. Ahli sejarah merekodkan ‘Masharati’ mula wujud di Mesir pada 238H.
Pada masa itu, Gabenor Mesir Utbah Bin Ishaq menyedari orang ramai tidak mengendahkan amalan sunnah bersahur, dalam masa yang sama tiada usaha untuk mengejutkan mereka bangun bersahur.
Justeru beliau sendiri mengambil inisiatif menyusuri jalan-jalan Kota Kaherah pada waktu lewat malam. Beliau berjalan kaki dari bandar Askar ke masjid Amru bin Al As di Fustat sambil menyeru; “Ibadullah, tasahharu fa inna fis sahur barakah” (Wahai hamba Allah, bangunlah. Sesungguhnya pada bersahur itu terdapat keberkatan).
Pada zaman pemerintahan kerajaan Fatimiyyah, perubahan dilihat agak eksterim apabila pemain ‘Masharati’ bukan lagi dalam kalangan orang awam tetapi anggota tentera. Ia berlanjutan selama beberapa tahun sehinggalah akhirnya kerajaan memutuskan untuk melantik hanya seorang pemuda di kawasan tertentu untuk melakukan ‘Masharati’.-Bernama