Oleh: Roslan Jomel
SEBAGAIMANA yang sudah dimaklumi, berbeza dengan genre novel, cerpen berfokus kepada satu sahaja teras cerita. Semakin kuat cengkaman pengarang kepada tema utama penceritaan, sudah tentu bertambah kukuh struktur penulisannya. Hal itu sangat mustahak dalam sesebuah genre cerpen yang relatifnya pendek dan boleh dibaca dalam sekali duduk sahaja.
Tumpukan kepada subjek yang penting sahaja dan kurangkan penjelasan yang tidak perlu kerana bimbang gangguan sedemikian akan melemahkan sesebuah naskhah itu. Dalam kata lain, subjek utama yang hendak diangkat itu menjadi tumpuan pengarang, agar jalan ceritanya tidak bertele-tele dan mengelirukan. Maka, cerita yang dihasilkan itu tampak lebih jelas dan segala yang menjadi pokok persoalan terus berhubungan dengan teras penulisan.
Kelazimannya hal-hal penting dalam sesebuah cerpen diceritakan pada bahagian pembukaannya lagi. Begitu besarnya impak pada perenggan pertama kerana ia menjadi petunjuk kepada konflik cerita yang akan menjadi penentu kekuatan sesebuah naskhah. Namun ramai pengarang terlupa cara hendak memancing perhatian pembaca sebaik sahaja perenggan pertama siap ditulis. Permulaan perenggan yang klise, seragam dan tidak mengundang sesuatu emosi, (sama ada dari sudut intelektual dan kejiwaan), pasti tidak mendapat perhatian istimewa daripada pembaca. Sila rujuk pada cerpen-cerpen, misalnya Gabriel Garcia Marquez dan Budi Darma atau beberapa orang penulis tempatan yang amat prihatin pada bahagian pengenalan naskhah. Jika tiada yang menarik atau merangsang (provokatif) perhatian pada perenggan pertama, ia turut menjejaskan keterujaan pembaca pada karya yang sedang dibacanya itu.
Ada dua tunjang utama subjek yang mendasari pembinaan naskhah “Ramadan dan Kuih Celorot”, tulisan Nabillah Bolhassan. Perkara pertama ialah siapakah yang berhasad dengki (jika memang benar Mak Midah disihir)? Dan kedua, dokumentasi proses pembuatan kuih celorot yang amat popular di Sarawak sejak dahulu lagi sebagai hidangan sarapan (selain kuih bongkol, tapai dan penyaram).
Pada bahagian pertama, pengarang memberi sorotan yang baik kepada keadaan Mak Midah. Memang ramai yang berkebolehan membuat kuih tradisi itu. Tetapi, kuih celorot daripada air tangan Mak Midah dianggap terbaik dan rasanya cukup sempurna dengan kenikmatan manis dan berlemak. Ramai yang bersungut, adakah kedai kuihnya ditutup? Adakah Mak Midah sudah tidak berkemampuan lagi membuat kuih celorot yang sempurna secara seratus peratus seperti sebelumnya? Agak pelik, kuih celorot yang suatu ketika dahulu sungguh sedap dan dipuji-puji, berubah menjadi berlendir dan basi, bahkan berulat pula. Mustahil. Apakah puncanya? Ramai yang menjangka bahawa Mak Midah tidak sihat. Apakah penyakit yang dialaminya? Demam biasa? Apakah memang ada pihak yang mencemburui kejayaan perniagaan kuih celorot Mak Midah? Siapakah pihak yang menghantar sihir kepada Mak Midah?
Mak Midah kehairanan apabila ditanya oleh para pelanggan setia kenapa kedainya sentiasa tutup. Ditutup? Tidak mungkin. Hal itu sudah tentu membingungkannya. Padahal Mak Midah berniaga pada setiap hari. Hanya tutup pada hari Ahad. Mengapa pula para pelanggannya bertanya soalan yang agak aneh itu. Cuma sejak kebelakangan ini, Mak Midah terpaksa mengurangkan jumlah kuantiti kuih celorot jualannya. Terpaksa. Jumlah pembeli mulai berkurangan dan disebabkan itulah Mak Midah mengambil langkah selamat supaya tidak berlaku pembaziran. Sepatutnya Mak Midahlah yang mempersoalkan mengapa kedai kuih celorotnya mulai kurang dikunjungi oleh para pelanggan. Adakah wujud kedai kuih celorot yang lain di kawasan berdekatan? Jika memang berlaku, itu rezeki masing-masing.
Ternyata Mak Midah tidak mengetahui punca sebenar jualan kuih celorotnya kian merosot. Pada perkiraan Mak Midah, kuih celorot yang dibuatnya, masih memiliki kualiti yang sama sebagaimana sebelumnya. Semua resipi dan bahan-bahannya tidak berubah. Tidak pula dia mengurangkan bahan utama dalam pembuatan kuih celorot. Gula apong sudah diletakkan bersama-sama dengan santan. Apakah yang kurang? Sebagai orang lama, Mak Midah tidak perlu untuk mengupah pempengaruh terkenal untuk memancing para pelanggan. Biar tular sehingga ke mana-mana. Ditonton oleh jutaan audiens di pelbagai saluran media sosial. Kuih celorot buatan Mak Midah sudah lama popular dalam kalangan penduduk setempat. Bahkan menjelang bulan Ramadan, semua peminat kuih celorot ternanti-nanti kedai Mak Midah dibuka.
Lalu atas sebab apa para pelanggan seolah-olah tidak sanggup lagi singgah ke kedainya? Misteri itu hanya didedahkan apabila Faizal menerima pesanan Whatsapp daripada Asri bersama-sama dengan gambar yang menjadi punca kepada terjejasnya perniagaan kuih celorot Mak Midah. Kononnya tangan Mak Midah menggerutu dan berlumuran dengan tanah. Kasihan Mak Midah. Perniagaan kuih celorotnya yang sentiasa laris dan menjadi sebutan penduduk kampung disabotaj oleh pihak berhati hitam. Apa kesalahan yang dilakukan Mak Midah sehingga ada pihak tergamak menyebabkannya menderita kesakitan? Namun itulah perangai manusia, secara realitinya, sejak azali lagi. Gagal bersaing secara sihat dan terbuka, mulalah menemui pawang dengan hajat untuk menjahanamkan individu yang dibenci.
Benar bahawa Mak Midah mengalami penyakit yang bukan boleh dipandang enteng. Mak Midah sering mengadu rasa sakit kepada suaminya, Pak Ramli. Mak Midah kerap mengalami pening kepala, selera makan terjejas, malahan kerap juga termuntah-muntah. Faizal dan Pak Ramli menyedari bahawa penyakit yang ditanggung secara tiba-tiba oleh Mak Midah ada sangkut-paut dengan perniagaan kuih celorot. Dan Mak Midahlah yang menjadi sasaran hasad dengki pihak yang mengirim sihir. Sakit akibat perbuatan sihir, sebagaimana dimaklumi oleh majoriti, memang tidak dapat dirawat di mana-mana hospital pun. Ia perlu dirawat secara spiritual juga. Itulah yang terpaksa dilakukan untuk merawat penderitaan Mak Midah. Menemui ustaz agar keadaan tidak bertambah parah. Mak Midah dan Pak Ramli tentu tidak mengerti mengapa mereka diperlakukan sebegitu rupa. Fenomena demikian bukanlah hal baharu dalam masyarakat tempatan. Bak kata orang, rambut sama hitam, tetapi pelbagai jenis sikap dan karakter yang tersembunyi.
Walaupun saya lebih suka jika pengarangnya lebih memberi tumpuan kepada situasi ganjil yang dialami oleh Mak Midah, namun rakaman dokumentasi pembuatan kuih celorot masih ada pentingnya, sungguhpun kurang membantu menguatkan naskhah.
Syahir, pelajar Jurusan Komunikasi ingin menemu bual Mak Midah tentang cara membuat celorot sebagai projek tahun akhirnya. Sudah dua tahun Mak Midah terpaksa menghentikan operasi perniagaan menjual kuih celorot. Tujuan Syahir sudah pastilah sebagai suatu usaha untuk mempromosi makanan tempatan Sarawak itu kepada masyarakat di luar. Tidak menjadi beban kepada Mak Midah untuk memenuhi permintaan Syahir. Sekurang-kurangnya dengan membantu pelajar itu menyiapkan tugasan projek tahun akhir, Mak Midah dapat melepaskan rasa rindunya dengan perniagaan kuih celorot. Tentu Mak Midah berbangga kerana masih ada generasi baharu yang tidak melupakan makanan tradisi negerinya.
Demikian keseluruhan cerita “Ramadan dan Kuih Celorot”. Ia penulisan yang tidak terlalu menekankan konflik dan pembinaan karakter. Lantaran itu, ceritanya tampak rata dan kurang mengusik emosi pembaca secara mendalam. Ustaz yang berusaha merawat penyakit misteri Mak Midah, mengambil pendekatan untuk tidak memaklumkan siapakah pihak yang menghantar sihir. Bimbang andai keluarga Mak Midah membalas dendam ke atas pelakunya. Dan hal itu hanya memanjangkan perbuatan syirik yang amat ditegah oleh agama.
Daripada apa yang kita baca pada bahagian akhirnya, keadaan Mak Midah sudah mula membaik. Rasa rindu Mak Midah untuk membuat kuih celorot dan menjalankan perniagaannya itu bukan kerana semata-mata ingin mengejar keuntungan. Melihat kedatangan para pelanggan yang begitu menggemari rasa kuih celorot buatannya sudah lebih cukup memuaskan hati.
Perkara yang hendak diangkat oleh Nabillah Bolhassan adalah tentang makanan tradisi dan proses pembuatannya agar kepandaian Mak Midah dapat diwarisi oleh generasi terkemudian. Juga diselitkan realiti perangai manusia yang kurang senang melihat kejayaan orang lain. Tanpa berfikir panjang, sanggup menggunakan sihir demi menyusahkan individu yang berjaya itu. Perkara sebegitu sudah biasa kita dengar, baca dan tonton. Dari sudut kreativiti sebagai sebuah naskhah karya kreatif, ia sebuah karangan yang sederhana dan tidak terlalu mengejutkan. Teknik penceritaan dan peleraian konfliknya juga sederhana. Naskhah “Ramadan dan Kuih Celorot” adalah secebis kisah masyarakat yang disampaikan dengan seadanya sahaja.
Sungguhpun demikian, cara penyampaiannya agak baik dan tidak bersimpang-siur. Malahan sangat kemas bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam penceritaan. Jernih. Ketara bahawa pengarangnya arif tentang selok-belok pembuatan kuih celorot. Adapun penyakit yang dialami oleh Mak Midah melalui perbuatan sihir tidak diperhalusi oleh pengarang. Di situlah sewajarnya pengarang memperdalam masalah yang ditanggung oleh Mak Midah. Suara batin dan kegalauan perasaan Mak Midah tentang penyakit peliknya diabaikan oleh pengarang. Oleh sebab itu, naskhah itu hanya merakam kisah Mak Midah secara sepintas lalu. Dengan perkataan lainnya, naskhah “Ramadan dan Kuih Celorot”disampaikan atas permukaannya sahaja. Sedangkan isu yang hendak dipaparkan akan bertambah menarik jika pengarang memberi tumpuan yang lebih kepada Mak Midah.
Terlepas daripada kesederhanaan kisah yang dibawa oleh Nabillah Bolhassan, terselit suatu teguran kemasyarakatan tentang perangai jelik sebahagian orang yang gagal bersaing secara sihat dalam perniagaan. Nikmat kekayaan dalam dunia hanya sebentar. Buktinya, selama berjam-jam umat Islam berpuasa, menahan lapar dan dahaga, namun sebaik sahaja mereka meneguk air segelas dan mengunyah sebiji kurma, maka segala kelaparan dan kehausan terasa sudah pun dipenuhi. Luar biasa. Tidak terasa lapar dan dahaga yang ditahan sehari suntuk. Walau siapa pun pihak yang melakukan perbuatan syirik itu, harus segera sedar dan lekaslah bertaubat, bahawa dosanya amatlah besar di sisi Tuhan. Maklumat tambahan: Boleh dirujuk hukum perbuatan sihir secara teliti melalui laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan.
Sebagai sebuah naskhah yang sepertinya menerapkan, apa yang dipanggil kearifan tempatan, pengarang telah menyampaikan unsur-unsur yang diperlukan untuk menguatkan premis asas ceritanya. Kuih celorot yang menjadi subjek utama dalam naskhah karangan Nabillah Bolhassan, salah satu contoh untuk membuktikan betapa cerdiknya masyarakat tempatan memanfaatkan alam flora untuk digandingkan dengan makanan. Pokok nipah hidup subur di sepanjang sungai Sarawak dan demikian juga pokok kelapa yang begitu banyak fungsinya dalam kehidupan manusia. Jika kita sentiasa melestarikan alam semula jadi, maka alam semula jadi turut memberikan manfaat kepada manusia. Kurangilah aktiviti pembakaran terbuka, insya-Allah, terhindarlah daripada bencana jerebu, misalnya. Manusia dan alam semula jadi saling memerlukan untuk pelbagai fungsi kehidupan di kedua-dua belah pihak.
Bayangkan jika individu yang memiliki kepakaran membuat kuih celorot seperti Mak Midah sudah tiada, siapakah penggantinya yang setanding? Barangkali hal itu yang ingin diingatkan oleh pengarangnya. Juga, kerana hidup berdampingan dengan manusia sememangnya kompleks, maka wajar sahaja kehebatan kuih celorot daripada air tangan Mak Midah cuba hendak dirosakkan. Rasa yang manis dan berlemak, tiba-tiba berubah menjadi basi, berlendir dan berulat.
Jika kita mengunjungi mana-mana pasar Ramadan di Sarawak, pelbagai kuih tradisi tempatan masih dijual. Berniagalah dengan jujur dan pastikan yang peniaga itu sudah mahir memasak. Para penggemar kuih-muih tradisi masih berpeluang untuk menikmatinya di sepanjang bulan puasa, selagi ada individu, terutamanya generasi muda, yang terus mempelajari kepandaian orang-orang terdahulu. Tidak sama nilainya kuih-muih tradisi ciptaan nenek moyang kita dahulu berbanding dan kehadiran cromboloni, misalnya.
Hal yang kita tidak mahu saksikan adalah pertikaian sesama para peniaga, apatah lagi penganut agama Islam, di tapak pasar Ramadan atas alasan merebut keuntungan. Bahkan sanggup menyebarkan fitnah dan menyihir peniaga yang berjaya, sebagaimana yang terakam dalam naskhah tulisan Nabillah Bolhassan.
Mujurlah penyakit Mak Midah sudah mula menunjukkan perkembangan positif. Dua tahun tidak membuat kuih celorot sudah tentu membuatkan jiwa Mak Midah tidak keruan. Manakala pihak yang mengirim sihir kepada Mak Midah tidak akan tenteram kehidupannya. Mungkin mereka tersenyum puas melihat pesaing mereka tersungkur kerana sakit akibat sihir. Namun, sampai bilakah kita hidup atas dunia ini? Sebanyak mana wang ingin diraih dan dikumpulkan dalam akaun bank? Apakah kekayaan itu diangkut bersama-sama sehingga ke lubang kubur? Tidakkah suatu hari nanti kita akan berhadapan dengan Tuhan dan setiap kesalahan/kebaikan walau sekecil apa pun akan ditimbang? Memang pelik, dalam masa umat Islam memboikot barangan keluaran yang menyokong penjajahan Zionis, ironinya, perangai dan sikap sebahagian warga tempatan turut berperangai seakan-akan sama jahatnya dengan penceroboh bumi Palestin itu.