Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Masalah telekomunikasi berlarutan jejas urusan harian di Lawas
  • Utara
  • WILAYAH

Masalah telekomunikasi berlarutan jejas urusan harian di Lawas

Utusan Sarawak 7 hours ago
LUAHAN RAKYAT… Antara keluhan penduduk Lawas yang dikongsi di media sosial susulan kekecewaan terhadap perkhidmatan telekomunikasi di daerah ini.

LAWAS: Masalah telekomunikasi melibatkan perkhidmatan internet dan talian telefon yang berlarutan sejak lebih sebulan lalu terus menimbulkan rungutan dalam kalangan penduduk di daerah ini.

Keadaan tersebut menjadi lebih membimbangkan ketika kejadian banjir baru-baru ini apabila mangsa terjejas dilaporkan berdepan kesukaran menghubungi pasukan penyelamat untuk mendapatkan bantuan.

Selain itu, perkhidmatan internet yang tidak stabil dan lemah turut menjejaskan urusan perbankan, perniagaan serta pelbagai urusan penting lain yang melibatkan kepentingan rakyat di kawasan berkenaan.

Tinjauan mendapati penduduk Kampung Tok Dayang antara yang terjejas, dengan mereka mengadu menghadapi masalah akses internet yang berpanjangan tanpa penyelesaian tuntas.

Exco Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Steve Lius, mengesahkan bahawa beliau telah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu tersebut, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang perkembangan positif.

Menurutnya, satu majlis melibatkan SKMM, SACOFA serta agensi berkaitan telah diadakan di salah sebuah hotel di sini pada September lalu, di mana pihak terlibat memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh dua minggu.

“Namun sehingga kini, sudah lebih dua bulan berlalu dan malah sudah bertukar tahun, tetapi masih tiada sebarang perubahan ketara,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Steve turut memaklumkan bahawa isu berkenaan kerap dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, dalam persidangan Parlimen.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan bersama Henry Sum Agong bertemu secara langsung dengan menteri bertanggungjawab di peringkat Persekutuan bagi membincangkan penyelesaian segera terhadap masalah internet lemah di Lawas.

Selain itu, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lawas juga akan berusaha membawa pihak SKMM serta agensi berkaitan untuk mengadakan sesi pertemuan secara langsung bersama rakyat di daerah ini.

Oleh Adeng Edrus

Continue Reading

Previous: Pokok tumbang halang laluan di Senadin
Next: Tujuh projek RTP DUN Kalaka dilulus, pelaksanaan bermula tahun ini 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.