SEKALI lagi Lebuh Raya Pan Borneo dan jalan pesisir akan dibanjiri kenderaan apabila orang ramai balik kampung menjelang Hari Raya yang akan disambut pertengahan minggu depan. Mereka yang balik kampung ini bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah yang bukan Islam juga akan berkesempatan balik berikutan cuti umum sempena Aidilfitri.
Sejak siapnya lebuh raya dan jalan pesisir, jalan darat paling banyak digunakan hingga penggunaan bot ekspres dan bot laju semakin ‘lesu’ kecuali di lokasi tertentu yang belum boleh dihubungi melalui jalan raya di luar bandar dan pedalaman.
Bagaimanapun, penggunaan feri masih meluas terutama bagi merentasi beberapa sungai jalan pesisir sepanjang 896 kilometer (km). Pembinaan jalan pesisir ini adalah idea Ketua Menteri Sarawak kelima, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
Apabila siap sepenuhnya terutama pembinaan jambatan kelak, jalan pesisir tidak perlu lagi menggunakan perkhidmatan feri, mungkin selepas 2026 jika tiada lagi masalah ‘projek sakit’ hingga menyebabkan kelewatan, nescaya rakyat tertunggu-tunggu nikmat pembangunan.
Berikut adalah status projek jambatan:
- Jambatan Batang Rambungan sepanjang 560 meter (m), menelan kos RM98.5 juta. Sepatutnya siap Disember 2022, kini dalam proses tender semula setelah kontraktor sebelum itu ditamatkan perkhidmatan. Jambatan ini akan menggantikan penggunaan feri yang menghubungkan Kuching-Lundu-Sematan, sekali gus memendekkan perjalanan di lokasi ini.
2. Jambatan Sungai Krian menelan kos RM174 juta sepanjang 690m di Saratok, dijangka siap 31 Julai 2025. Sepatutnya siap Mac 2023, bagi menggantikan feri yang beroperasi di Sungai Krian.
3. Jambatan Batang Saribas 1 sepanjang 1.55km di Pusa, menelan belanja RM375.5 juta disasarkan siap April 2025 bagi menghubungkan Pusa-Beladin. Jadual asal sepatutnya siap Mei ini.
4. Jambatan Batang Saribas 2 di Beladin bernilai RM385 juta sepanjang 4.2km dijadual siap pada 1 Ogos 2025.
5. Jambatan Batang Lupar 1 sepanjang 4.8km bernilai RM848.745 juta, adalah jambatan terpanjang merentasi sungai di negara ini apabila siap pada November 2025, sekali gus menjadi pelengkap kepada jalan pesisir Sarawak. Pengarah Eksekutif Perbena Emas, Helen Teng iaitu syarikat yang sedang membina jambatan itu pernah menyatakan antara cabaran membina jambatan ini ialah kehadiran banyak buaya di sungai.
6. Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7km dengan kos RM298.98 juta dijangka siap Januari 2026. Sepatutnya siap Mei 2023.
7. Jambatan Batang Lassa di Daro sepanjang tiga km berharga RM597 juta dijangka siap akhir tahun ini. Apabila siap, ia merupakan jambatan kedua terpanjang di Sarawak iaitu 2.43km. Ia sepatut siap 2023.
8. Jambatan Igan sepanjang 1.4km yang menelan kos RM285.54 juta dijangka siap pada suku pertama 2025. Ini juga sepatutnya siap lebih awal. Projek ini diluluskan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE) pada 23 Februari 2016, bagaimanapun pemindahan tapak melewatkan pelaksanaan projek yang sepatutnya bermula pada 2017 kepada 2018.
9. Jambatan Kemena di Bintulu bernilai RM467 juta, dijangka siap pada April 2023. Jambatan Bintulu-Jepak sepanjang 1,048 meter (1km) dengan jalan empat lorong, merentasi Batang Kemena bernilai RM466 juta dijangka siap akhir tahun ini. Ia sepatutnya siap September 2023. Apabila siap kelak, jarak laluan menghubungkan bandar Bintulu ke Lapangan Terbang Bintulu akan lebih dekat daripada 25 km kepada 10km.
Begitu pun, selagi jambatan merentasi sungai di laluan jalan pesisir belum siap sepenuhnya, maka penggunaan feri akan terus digunakan sehingga 2026 jika mengikut jangkaan siap.
Ini bermakna, sebahagian rakyat di luar bandar masih terpaksa menggunakan perkhidmatan feri untuk sekurang-kurangnya tiga kali Aidilfitri lagi termasuk tahun ini.
Sepatutnya sekarang sudah tidak perlu guna feri di jalan pesisir andai sesetengah projek jambatan tidak menjadi ‘projek sakit’ disebabkan masalah kontrator, dan hambatan pandemik Covid-19 hingga banyak kerja tergendala.
Malah selepas episod Covid-19, berdepan pula masalah kekurangan pekerja asing berikutan sekatan untuk kembali bekerja di Malaysia selain lonjakan harga bahan binaan seperti simen dan besi keluli, sekali gus menyebabkan projek perlahan atau terlewat.
Kini musim perayaan tiba lagi. Esok lusa hingga pertengahan minggu depan, ribuan akan menggunakan jalan pesisir dan Lebuh Raya Pan Borneo untuk balik kampung.
Dua jam ‘melekat’ di pangkalan feri
Masalah yang kerap timbul ialah feri. Benar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menambah jumlah feri tetapi saban tahun jumlah orang ramai/kereta menggunakan feri semakin bertambah. Sepatutnya, pihak JKR menambah jumlah perkhidmatan feri lebih daripada jumlah biasa supaya waktu menunggu tidak begitu lama.
Contohnya, perjalanan dari Sibu untuk ke Daerah Daro mengambil masa hingga lima enam jam, yang sepatutnya cuma kurang dua jam, semata-mata kerana sesak di dua pangkalan feri iaitu Batang Paloh dan Batang Lassa. Ini berlaku tahun lalu dan tahun sebelum itu dan akan berulang lagi minggu depan.
Hanya mereka dari Kuching untuk ke Sri Aman, Betong, Sarikei, Bintulu dan Miri tidak merasai keperitan menunggu feri setelah siapnya Pan Borneo. Masalahnya dari Sibu, Sarikei untuk ke kampung di luar bandar. Begitu juga dihadapi oleh penduduk dari Kuching menggunakan jalan pesisir ke Triso, Pusa, Beladin dan beberapa kampung pesisiran.
Bayangkan, sampai berjam-jam menunggu giliran masuk feri. Kemudian timbul pula tiada tandas sempurna di pangkalan feri. Tandas ada tetapi terlalu kotor untuk digunakan. Tidak terfikirkah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengusaha feri selama ini untuk menyediakan tandas yang lebih sempurna?
Tiada peruntukan? Carilah peruntukan, swastakanlah ‘projek tandas’ yang sebenarnya boleh meraih pendapatan. Orang ramai tak kisah bayar hatta 50 sen hingga RM1 sekali guna asalkan sempurna bersih dengan aliran air bersih. Gunakan hasil itu sebagai upah untuk menjaga dan beli bahan pembersih tandas.
Jangan cakaplah tandas dalam feri yang sekejap boleh, sekejap tidak boleh untuk orang ramai yang bukan pekerja feri.
Keadaan ini akan berterusan sehinggalah projek jambatan siap dan kena tunggu hingga tiga kali Aidilfitri lagi. Di mana pihak pejabat daerah, wakil rakyat kawasan tidak prihatin akan masalah ini, padahal mereka juga yang kerap lalu di situ?
Lebuh Raya Pan Borneo pula ada masalah lain, kurangnya kawasan ‘rehat dan rawat’ (R&R) meskipun ada perancangan dan dah hampir siap satu R&R antara Sri Aman dan Betong. Tidak bolehkah buka mini R&R di lokasi strategik di sepanjang lebuh raya seperti tandas dan tempat solat?
Tidak salah mengejar impian untuk mempunyai syarikat penerbangan sendiri, bas hidrogen, kereta api laju dan sebagainya tetapi prasarana asas untuk rakyat jelata perlu diutamakan juga.
Fikir-fikirkanlah!
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.