KERAJAAN Brooke mempunyai usaha untuk meningkatkan pengeluaran makanan di Sarawak terutamanya beras. Keperluan ini berasaskan kepada peningkatan penduduk Sarawak yang semakin bertambah setiap tahun. Oleh itu rancangan keterjaminan makanan ini terpaksa diimbangi pula oleh import beras dari luar.
Keupayaan untuk menampung keperluan ini dapat mengatasi kerisauan atas kekurangan makanan di Sarawak. Keadaan seumpama ini tidak berpanjangan apabila tentera Jepun menawan Sarawak dan secara beransur-ansur masalah keterjaminan makanan ini menjadi kritikal di Sarawak.
Ubi kayu
Peringkat awal bekalan makanan Sarawak semasa pendudukan Jepun tidak menimbulkan masalah besar dan Sarawak masih lagi mampu mengimport bekalan makanan dari Jepun dan tanah jajahannya. Keadaan mula berubah apabila perang semakin serius dengan penglibatan tentera Amerika Syarikat yang mengancam keselamatan kapal-kapal dagang Jepun khususnya pada pertengahan 1944.
Kapal-kapal dagang ini membawa bekalan makanan untuk keperluan kepada penduduk yang dikuasai tentera Jepun telah diganggu oleh kapal terbang tentera udara Amerika Syarikat. Hal ini membawa kepada masalah bekalan beras mencukupi di Sarawak.
Salah satu usaha digerakkan oleh tentera Jepun adalah mencari alternatif dalam mengantikan beras sebagai makanan ruji. Ubi kayu yang mudah tumbuh dan cepat berbuah menjadi alternatif digunakan. Selain itu kentang manis, keladi dan jagung juga ditanam bagi menampung kekurangan beras tersebut.
Oleh itu ada yang makan nasi bercampur jagung, ubi atau keladi untuk mengatasi masalah kekurangan beras. Sesetengah penduduk khusus kawasan yang ditanam mulong tidak bermasalah mengantikan beras kepada sagu sebagai makanan utama. Sagu menjadi salah satu makanan popular sebagai mengantikan beras. Lemantak dari sagu juga digunakan untuk membuat tumpik bagi mengalas perut.
Namun demikian penduduk pedalaman Sarawak tidak begitu terkesan dengan masalah ini. Ini kerana mereka masih meneruskan penanaman padi di kawasan mereka. Oleh itu penduduk yang rata-rata di pedalaman dan kampung tidak bermasalah dalam mendapat bekalan beras ini.
Atas sebab itu berlaku semula sistem barter antara penduduk bandar dan pedalaman serta kampung.
Penduduk pedalaman memerlukan barangan tertentu seperti garam dan gula. Penduduk pedalaman ini akan menukarkan barangan ini dengan beras dan ada kalanya dengan daging babi hutan dan rusa. Pakaian juga menjadi barang kesukaan dalam pertukaran ini. Biasannya pakaian seperti sarong atau dua pasang seluar panjang ditukar dengan segantang beras.
Ada juga yang dibayar dengan duit daun pisang oleh pentadbir Jepun. Hal ini merugikan penanam padi kerana nilai wang tersebut tidak mempunyai nilai tinggi untuk membeli barang. Ada juga penduduk pedalaman enggan menjual beras mereka dan hal ini membawa kepada hukuman berat kepada petani-petani ini seperti penjara atau hukuman mati.
Kawasan pengeluaran
Kawasan pengeluaran padi ini bukan sahaja di pedalaman tetapi dikesan dan diusahakan oleh orang Kedayan di Bekenu. Aktiviti mereka membawa kepada lebihan hasil pengeluaran beras pada zaman Jepun tetapi belum memadai memenuhi keseluruhan pemintaan tempatan ketika itu.
Tentera Jepun terus menerus mengawal bekalan beras ini dengan melantik ejen-ejen mereka membeli barangan makanan terutama beras daripada penduduk tempatan. Tindakan tentera Jepun ini menyebabkan kesukaran kehidupan penduduk Sarawak terutama penduduk di Lawas. Mereka terpaksa berjalan sampai ke pedalaman iaitu ke Long Semado untuk mendapatkan bekalan beras.
Apabila mereka balik semula ke Lawas, pihak Jepun meminta agar mereka hanya boleh membawa separuh sahaja bekalan tersebut, manakala separuh lagi diberi kepada ejen yang dilantik oleh kerajaan Jepun yang akan mengagih atau mengeksport beras tersebut.
Terdapat juga tindakan ganas tentera Jepun apabila melakukan rampasan bekalan makanan daripada penduduk di Nonok. Hal ini membawa pengalaman menakutkan penduduk kampung tersebut. Ada kalanya juga tentera Jepun menunjukkan sikap profesional mereka dengan melayan baik penduduk tempatan yang mengerja hasil tanaman makanan mereka seperti berlaku di Lundu. Penduduk ketika itu dikatakan dapat menghasil makanan mereka sendiri dengan menanam bukan sahaja padi tetapi juga kentang manis, keladi, ubi kayu dan sayuran.
Dasar makanan
Dalam masalah kekurangan bekalan makanan ini, Jepun juga mempunyai dasar untuk mengatasi masalah ini iaitu dasar sara diri dalam pengeluaran beras. Dasar Jepun ini adalah satu dasar yang keras dengan memaksa penduduk tempatan untuk menanam padi dan bekalan makanan yang lain.
Keadaan dimana getah tidak diperlukan pada pasaran dunia juga menjadi pendorong kepada petani-petani di Sarawak menanam padi. Selain padi penduduk ini juga menanam makanan lain seperti ubi kayu, sayuran dan buah-buahan untuk menampung keperluan makanan mereka. Walaupun usaha dibuat untuk menampung bekalan makanan di Sarawak tetapi terdapat kes-kes buruh Jawa yang dibawa ke Miri menghadapi masalah makanan yang serius.
Mereka yang diarah membuat kerja-kerja berat tidak diberi makanan yang secukupnya. Buruh-buruh Jawa ini kekurangan makanan menyebabkan mereka seumpama rangka yang bernyawa kerana terlalu kurus. Makanan yang diberi kepada mereka hanyalah bubur yang terlampau sedikit. Akibatnya ramai buruh-buruh Jawa ini meninggal dunia akibat kelaparan.
Selepas perang
Selepas Jepun menyerah kalah pada September 1945, tugas berat dipikul oleh tentera Australia ialah memenuhi keperluan makanan penduduk Sarawak khususnya padi. Beberapa usaha awal telah dilakukan oleh tentera Australia untuk memenuhi bekalan makanan ini.
Antaranya ialah mengangkut bekalan beras dari Australia. Seterusnya memohon perolehan dari Pejabat Perang. Keadaan selepas perang juga menyaksikan kenaikan inflasi. Oleh itu pihak pemerintah Australia memperkenalkan kawalan harga kepada beras-beras yang diimport.
Namun kejadian harga naik ini bermula lagi apabila kawalan harga ditarik balik pada akhir 1945 menyebabkan kenaikan harga beras kepada $4 untuk segantang. Keadaan ini berlaku kerana disyaki ada pihak melakukan usaha menyorok bekalan beras. Usaha ini hanya dapat diatasi apabila berlakunya penuian baik pada 1946, pecatuan dibuat dan pengimportan beras dari luar.
Pendudukan Jepun memberi pengajaran kepada Sarawak tentang perlunya mengatasi masalah bekalanan makanan, dan tidak perlu terlalu bergantung kepada import beras dari luar. Walaupun kebuluran dalam kalangan penduduk tempatan tidak ada tetapi mereka masih lagi menghadapi keadaan sukar yang menjejas kesihatan mereka. Atas sebab itu kerajaan British yang mula mengambil Sarawak pada 1946 mempunyai perancangan untuk meningkatkan keperluan beras tempatan di Sarawak. Hal ini akan dibicarakan pada minggu hadapan.
*Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.