SIBU: Masalah kerap banjir di kawasan Sibu yang kawasannya rendah serta berisiko dilimpahi air, dijangka selesai setelah semua lima fasa projek siap dilaksanakan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, berkata dianggarkan risiko banjir dapat dikurangkan, dan lebih 100,000 penduduk serta kawasan penting seperti pusat bandar, kampung, dan aset komersial serta industri di Sibu akan dilindungi.
“Fasa pertama dan kedua projek ini telah siap pada 2015 dengan kos sebanyak RM183 juta, manakala fasa ketiga telah siap pada 1 Disember 2023 dengan kos RM85 juta.
“Projek ini melibatkan pembinaan sistem perparitan dan takungan air untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan Sibu.
“Fasa keempat projek ini akan dibiayai oleh kerajaan Sarawak dan dijangka bermula tahun depan, dengan reka bentuknya sedang dalam peringkat akhir.
“Fasa kelima yang dianggarkan menelan belanja RM500 juta masih dalam proses mendapatkan kelulusan untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), berkata demikian pada sidang media semasa lawatan kerja ke tapak Projek Rancangan Tebatan Banjir Sibu (Fasa 3) di sini, hari ini.
Fadillah berkata Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM268 juta untuk melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sibu, yang dilaksanakan dalam tiga fasa utama itu.
Katanya, projek ini dilaksanakan dengan tujuan mengurangkan risiko banjir di kawasan yang terdedah, terutamanya di Sibu, dikenali sebagai kawasan rendah dengan risiko tinggi dilanda banjir.
“Ini disebabkan pertemuan beberapa batang sungai utama seperti Sungai Rajang dan Sungai Igan, serta keadaan tanah gambut yang dalam.
“Bagi mengatasi cabaran ini, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) telah melaksanakan beberapa projek perparitan untuk mengurangkan masalah banjir di kawasan ini,” katanya
Dalam pada itu, Fadillah juga menyatakan bahawa kajian menyeluruh terhadap Sungai Rajang dan Sungai Batang Igan sedang dijalankan untuk menilai hidrologi dan memastikan kebersihan sungai sebagai sumber bekalan air bersih.
“Kajian ini dijangka siap pada 2025 atau 2026 dan akan menjadi panduan tindakan jangka panjang bagi pengurusan banjir di kawasan ini,” tambahnya.
Oleh TARANI LANTING