Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Masalah jantung tanpa diketahui menjadi ancaman lelaki 30-an Malaysia
  • KESIHATAN

Masalah jantung tanpa diketahui menjadi ancaman lelaki 30-an Malaysia

Utusan Sarawak 7 hours ago
SEORANG lelaki Asia mengalami sakit dada yang disebabkan oleh penyakit jantung. Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Satu krisis senyap berkaitan jantung kini timbul dalam kalangan lelaki Malaysia berumur 20-an dan 30-an, dengan ramai daripada mereka hanya menyedari masalah itu selepas mengalami serangan jantung, strok, atau semasa ujian darah rutin, menurut pakar di Sunway Medical Centre (SMC), Sunway City.

Pakar Kardiologi Intervensi dan Perubatan Dalaman Dr Richard Chan Tze Ming serta Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Dr Lim Eu Jack dari SMC Sunway City berkata mereka kini melihat peningkatan membimbangkan dalam kalangan pesakit muda menghadapi masalah jantung serius.

“Masalah jantung bukan lagi sekadar ‘penyakit orang tua’. Kita kini melihat lebih ramai orang muda datang dalam bilangan yang bertambah,” kata Dr Richard dalam satu kenyataan.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendedahkan bahawa lebih 33 peratus atau 7.6 juta rakyat Malaysia mempunyai paras kolesterol tinggi, manakala penyakit kardiovaskular kekal sebagai punca utama kematian dalam kalangan lelaki Malaysia, menyumbang 17.6 peratus daripada jumlah kematian lelaki pada 2025.

PAKAR Perunding Perubatan Kecemasan Dr Lim Eu Jack dari SMC Sunway City.

Dr Lim mengesahkan trend ini, sambil menyatakan bahawa pesakit termuda yang pernah dilihatnya mengalami serangan jantung serius berumur awal 30-an, dan ramai lelaki hanya mengetahui mereka mempunyai tekanan darah tinggi atau diabetes yang tidak didiagnosis, selepas tiba di bilik kecemasan dengan sakit dada atau serangan jantung.

Dr Richard berkata dyslipidemia atau paras lipid darah yang abnormal, boleh menjejaskan sesiapa sahaja tanpa mengira usia.

Beliau berkata kajian mendapati familial hypercholesterolemia (FH) menjejaskan kira-kira seorang daripada setiap 100 orang, atau 320,000 rakyat Malaysia, iaitu suatu yang lebih tinggi daripada purata global.

Beliau menekankan bahawa walaupun diet menyumbang kepada paras kolesterol, genetik juga memainkan peranan penting.

“Sesetengah orang secara genetik menghasilkan lebih banyak kolesterol ‘jahat’, walaupun mereka bersenam dan mengamalkan pemakanan sihat. Sebab itu kita melihat pesakit yang jarang makan makanan berminyak, tetapi masih mempunyai kolesterol tinggi. Ia bukan sekadar tentang apa yang anda makan, tetapi bagaimana tubuh anda berfungsi,” katanya.

Dr Richard juga menekankan bahawa faktor gaya hidup semakin memburukkan masalah ini dalam kalangan lelaki muda, dan tabiat pemakanan yang tidak sihat masih menjadi kebimbangan utama.

“Walaupun selepas bersenam, ramai orang muda tetap ke gerai mamak atau restoran makanan segera. Makanan diproses, minyak masak yang digunakan semula dan lemak trans, semuanya meningkatkan kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL),” katanya.

Dr Lim turut menekankan bahawa kolesterol tinggi sering tidak dikesan di jabatan kecemasan kerana ia memerlukan puasa dan tidak diuji secara rutin.

Beliau berkata tekanan darah tinggi dan diabetes merupakan antara penyakit yang paling kerap tidak didiagnosis dan selalunya hanya diketahui apabila komplikasi telah berlaku.

“Penyakit-penyakit ini bersifat senyap selama bertahun-tahun, sebab itu saringan kesihatan berkala amat penting,” katanya dan menambah bahawa ramai lelaki mengabaikan tanda awal seperti ketidakselesaan dada, keletihan atau sesak nafas dan sering menyalahkan masalah gastrik atau kepenatan.

Dr Lim juga menyatakan bahawa dengan faktor risiko seperti merokok, diet tidak sihat, dan sejarah keluarga, menunda rawatan boleh membawa maut, dengan merokok menjadi faktor paling signifikan dalam kalangan pesakit muda.

Kedua-dua doktor menekankan bahawa saringan awal dapat mencegah komplikasi serius.

PAKAR Kardiologi Intervensi dan Perubatan Dalaman Dr Richard Chan Tze Ming.

“Ujian darah dan pemeriksaan tekanan darah boleh dengan cepat mendedahkan masalah seperti kolesterol tinggi, diabetes atau hipertensi. Mengetahui angka anda merupakan langkah pertama untuk mengawal kesihatan. Ini faktor risiko yang boleh diubah, dan jika diuruskan awal, kita boleh mencegah komplikasi serius seperti serangan jantung dan strok,” kata Dr Lim.

Dr Richard menasihatkan individu supaya tidak menunggu sehingga simptom muncul, dengan menekankan bahawa mereka yang mempunyai sejarah keluarga kolesterol tinggi, berat badan berlebihan atau perokok, perlu menjalani saringan seawal usia 20-an.

Beliau berkata pesakit dengan kolesterol sangat tinggi mungkin memerlukan ubat, kerana perubahan gaya hidup sahaja mungkin tidak mencukupi, sambil menekankan kepentingan kesederhanaan berbanding sekatan pemakanan yang terlalu ketat.

“Tetapi adakah ini bermakna anda perlu berhenti makan semua makanan kegemaran? Tidak sama sekali. Saya selalu memberitahu pesakit, jangan menahan diri. Makan secara sederhana. Gaya hidup sihat mesti boleh dikekalkan. Jika anda terlalu ketat, anda akan kembali makan berlebihan kemudian,” katanya.

Kedua-dua pakar bersetuju bahawa intervensi awal adalah asasnya, tanpa mengira usia. Sama ada seorang lelaki berusia akhir 20-an atau pertengahan 40-an, mesejnya tetap sama: mulakan saringan lebih awal.

“Kesihatan jantung anda tidak menunggu. Hadiah terbaik yang boleh anda berikan kepada diri sendiri ialah kesedaran dan tindakan sebelum terlambat,” kata Dr Richard.- Bernama

Continue Reading

Previous: Tiga kanser paling kerap dihidapi lelaki, boleh dicegah dengan pengesanan awal

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.