MUNGKIN sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) lebih telus dengan mengeluarkan data jumlah taburan guru di seluruh negara dengan menyatakan secara khusus guru yang ada di Sarawak dan Sabah termasuk asal-usul guru itu. Ini bukan soal sikap ‘parochial’ ‘ atau regionalism’ tetapi mencari kebenaran ke arah penyelesaian tuntas isu kekurangan guru secara lebih sistematik dan praktikal.
Kemudian, tampilkan dengan data berapa kekosongan atau kekurangan sebenarnya guru di kedua-dua negeri ini. Bila boleh diisi dan siapa patut mengisinya. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan selagi ada kemahuan dan di sini juga perlu ‘political will’ untuk merungkai dan mencari titik persamaan demi kepentingan semua.
Penulis mengutarakan isu ini kerana saban tahun kedengaran masalah kekurangan guru di Sarawak kritikal tetapi tidak pernah ‘mencukupi’ dalam erti kata sebenar. Apakah ini ‘vicious circle’ atau kitaran ganas?
Lantaran itu, apabila pihak KPM Isnin lalu mengumumkan, seramai 222 guru ‘one-off’ yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu sehingga 30 September tahun lalu, terasa sesuatu yang agak mustahil sedangkan ratusan, jika tidak ribuan anak Sarawak graduan dalam bidang perguruan termasuk dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak saban tahun.
Sebelum isu 222 guru ‘one-off’ yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi mendedahkan di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa 326 calon guru anak Sarawak gagal dalam temuduga pengambilan guru ‘one off’ atau secara guru kontrak perkhidmatan (COS) dan beliau meminta mereka ini diserap sebagai sebagai guru tetap.
Maksud Ahmad Johnie, bukan berkompromi soal ‘kelayakan’, sebaliknya mereka ini sebenarnya mempunyai kelayakan, pengalaman mengajar dan telah menghadiri temuduga sebagai satu langkah segera mengatasi kekurangan guru di Sarawak.
Guru ‘one-off’ atau sekali pengambilan itu diperkenalkan pada Jun 2021 untuk seluruh negara. Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan KPM akan mengambil 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 secara ‘one off’ untuk mengatasi kekurangan guru di negara ini khususnya membabitkan negeri dan mata pelajaran tertentu.
Beberapa ketika kemudian, sekumpulan Graduan Ikhtisas Pendidikan (GIP) mendakwa bahawa tawaran khas guru secara ‘one-off’ mereka telah digagalkan tanpa mendapat hitam putih, selain ditarik balik semula pelantikan kerana didakwa tidak melengkapkan dokumen.
Memetik laporan media jurucakap kumpulan itu, Siti Khadijah Mohd Lutf berkata antara alasan penarikan tawaran itu adalah dokumen tidak lengkap seperti tiada surat senat, transkrip, penolakan pengambilan guru muzik, guru sejarah, guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) serta isu biasiswa KPM.
Berdasarkan laporan media, sehingga 31 Julai 2022, seramai 16,381 orang guru telah ditempatkan di sekolah KPM. Daripada jumlah itu, seramai 5,944 orang guru telah ditempatkan di sekolah luar bandar. Namun, setakat tarikh itu, jumlah kekurangan guru di luar bandar adalah seramai 4,732 orang atau 4.1% daripada jumlah keseluruhan guru. Tidak disebut secara khusus di mana ‘luar bandar’ yang dimaksudkan… apakah di Gua Musang, Kelantan atau turut membabitkan Sarawak dan Sabah.
‘Sudah basah, kena hujan pula’
Tetapi menurut Ahmad Johnie, masalah kekurangan guru di Sarawak boleh diibaratkan seperti ‘sudah jatuh di timpa tangga, sudah basah kehujanan pula’ kerana sudahlah sekolah-sekolah berada di dalam keadaan daif khususnya di luar bandar.
“Dan dengan kemudahan pembelanjaran yang serba kekurangan, ‘krisis’ kekurangan guru tidak pernah diatasi sepenuhnya secara tuntas oleh KPM. Ini mengakibatkan apa yg di sebut sebagai ‘vicious circle’ atau kitaran ganas yang bermaksud kurang guru. Maka kurang keberhasilan murid yang berkualiti berbanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, sedangkan murid mempunyai potensi yang sama, jika ‘bermain di padang sama rata,’” katanya.
Ketika perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahli Parlimen Igan itu juga mencadangkan KPM supaya mengambil lebih ramai anak Sarawak di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam beberapa opsyen tertentu seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, bahasa Melayu, Matematik dengan sedikit kelonggaran kepada syarat minimum 5A dalam SPM seperti sekarang.
“Jika dikurangkan syarat kepada 3A misalnya, lebih ramai anak Sarawak berpeluang menjadi guru dan sedikit sebanyak dapat menampung masalah kekurangan guru yang kritikal sekarang ini. Kelonggaran syarat ini munasabah kerana ada kaitan dgn rantaian implikasi ‘vicious circle’ seperti dinyatakan. Kita di Sarawak seperti menari di pentas yang berbeza,” katanya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang sebelum ini seorang peguam yang pakar dalam bidang undang-undang keluarga Islam perlu melihat isu ini dari semua sudut dan melakukan reformasi selain mendengar sendiri keluhan guru, Ahli Parlimen dan pihak kesatuan pendidikan.
Kesatuan Guru Sarawak (STU) misalnya turut melontarkan beberapa cadangan dalam usaha menangani masalah kekurangan guru di negeri ini kerana percaya, ramai anak Sarawak yang memohon sama ada sebagai guru ‘one-off,’ guru MySTEP atau memohon ke Institut Pendidikan Guru (IPG).
Presidennya, Kullin Dayang berkata untuk mengelak berulangnya seperti tindakan 222 guru yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran, lebih baik melantik anak Sarawak sendiri untuk berkhidmat di negeri ini.
“Langkah ini untuk mengelak perkara seperti ini berulang serta untuk mengisi kekosongan guru yang kritikal ketika ini. Di samping itu juga ia boleh mengurangkan perpindahan keluar guru dari Sarawak, maka ambillah mereka ini untuk berbakti di Bumi Kenyalang.
“Saya ingin menarik perhatian Menteri Pendidikan untuk melihat kembali perkara ini, kerana STU sentiasa menekankan tentang pengagihan 1, 500 guru baharu menjelang pembukaan sekolah Mac ini bagi mengatasi kekurangan guru di Sarawak.
“Kita juga amat percaya bahawa KPM akan sentiasa berusaha memenuhkan kira-kira 3, 000 kekosongan guru di Sarawak menjelang hujung 2023 dengan mengekalkan nisbah 90:10, ” katanya.
Elak masalah berulang
Hakikatnya, selagi pihak KPM tidak mengambil serius dalam pengambilan guru yang terdiri daripada anak jati Sarawak, selagi itulah perkara ini akan berulang dan masalah kekurangan guru di Sarawak tidak akan terungkai.
“Pembekalan guru dari negeri lain tidak mungkin dapat menyelesaikan isu ini, kerana setiap guru dari luar Sarawak akan sentiasa berpindah balik ke tempat asal mereka setelah beberapa tahun.
“STU juga ingin menegaskan kepada kerajaan Sarawak dan kementerian tempatan yang terbabit agar mengambil berat perkara ini. Jika masalah ini tidak ditangani dengan serius, sudah pasti usaha untuk menjadikan bidang pendidikan sebagai hak mutlak negeri Sarawak seperti dalam MA63 akan terjejas,” katanya.
Bagi Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) pula, pihak KPM perlu tegas menangani karenah guru terutama guru baharu yang enggan ditempatkan dimana-mana untuk berkhidmat, yang harus dikenakan penalti dengan penangguhan pelantikannya selama tiga tahun.
Presiden KGBS, Zulkiflee Sebli berkata, pihaknya mencadangkan agar guru-guru ini mesti diambil tindakan tegas.
“Salah satu cadangan tindakan ialah menangguhkan pelantikan guru-guru ini selama tiga tahun sebagai penalti mereka engkar perintah dan arahan,” katanya.
Zulkiflee berkata tindakan guru baharu yang enggan menerima penempatan bertugas di Sarawak, sebenarnya telah melanggar arahan Perintah Am dan menentang etika seorang guru, dan mohon KPM untuk mengambil tindakan tegas dalam hal ini.
“Isu ini menggambarkan ada dalam kalangan guru-guru baharu dari luar Sarawak beranggapan Sarawak sebagai negeri yang berkelas rendah. Sekiranya KPM tidak tegas, maka tidak mustahil isu yang sama akan terus berulang,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan siswa guru yang sedang dalam latihan perlu menandatangani aku janji sedia berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun di mana-mana lokasi di negara Malaysia untuk mengelakkan mereka menolak lantikan pertama setelah tamat latihan khususnya arahan lantikan pertama mereka ke wilayah Sarawak.
Mungkin sudah tiba masanya Sarawak diberi autonomi pendidikan dengan segera, sejajar dengan perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Autonomi itu bermaksud, hal ehwal pendidikan terutama pengambilan dan penempatan guru ditentukan sendiri oleh kerajaan Sarawak, bukan lagi Putrajaya. Jika ini dilakukan, mungkin sudah tidak lagi isu kekurangan guru. Andai tidak cukup sekali pun, kerajaan Sarawak boleh ‘menggerak’ usaha mencari anak Sarawak yang sedang mengajar di beberapa negeri di Semenanjung untuk kembali berkhidmat di negeri sendiri.
Isu autonomi dalam sektor pendidikan dan kesihatan adalah antara perkara dituntut negeri ini, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak