Masalah gaji pemain dan pegawai sekali lagi ‘membelenggu’ kem Sarawak United FC tatkala saingan Piala Malaysia akan disambung semula hujung minggu ini.
Sebelum ini, kes yang sama turut kedengaran namun cerita itu kemudiannya lenyap apabila barisan pimpinan Sarawak United dikatakan berjaya menyelesaikan masalah berkenaan sebelum menjadi ‘nanah’ dalam pasukan.
Bagaimanapun, kali ini khabar yang sama berulang kembali selepas dua pemain mengesahkan telah mengemuka surat tuntutan berhubung tunggakan gaji selama dua bulan setengah kepada pengurusan pasukan.
Malah, perkembangan itu disahkan telah oleh peguam yang mewakili dua pemain itu, Zhafri Aminurashid yang menjelaskan pasukan terbabit diberi peluang untuk melunaskan tunggakan berjumlah ratusan ribu pada Jumaat lalu.
Menurut Zhafri, kegagalan Sarawak United menyelesaikan tunggakan itu berkemungkinan akan menyaksikan kontrak pemain itu dibatalkan dan mereka diheret ke Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA).
“Sebelum ini kita sudah kemukakan surat tuntutan tetapi mereka berjaya menyelesaikan tunggakan dalam tempoh masa yang diberikan. Tetapi kali ini bukan sahaja membabitkan isu gaji malah masalah insurans kepada pemain sebagai pemain profesional.
“Kita tidak mendapat pengesahan mengenai polisi insurans bagi melindungi kebajikan pemain. Kita bimbang kalau pemain turun beraksi tanpa insurans. Jadi, sebab itulah surat tuntutan dihantar supaya perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Jika ia gagal diselesaikan mengikut tarikh terbabit, mungkin pemain akan mengambil keputusan untuk membatalkan kontrak dan memanjangkan kes ke FIFA. Tidak mustahil juga kalau ada beberapa lagi pemain akan mengambil langkah sama selepas ini,” katanya.
Namun, terkini Sarawak United diberitakan sudah pun melunaskan ‘hutang’ bagi sebulan gaji kepada pemain import mereka.
Ia selepas Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais menjelaskan pengurusan skuad The Crocs turut melunaskan tunggakan hampir sebahagian besar gaji pemain pada minggu lepas dengan ada yang bakal diselesaikan dalam minggu ini.
Masalah yang timbul itu juga telah mendapat teguran daripada Persatuan Pemain Bola sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali kepada pengurusan kelab Sarawak United yang dilihat seolah mengambil ringan mengenai gaji pemain.
“Lewat sehari pun pemain ada hak untuk bersuara, inikan pula dua bulan setengah. Jangan permainkan hak pemain. Sama-sama sain kontrak, sama-sama hormat kontrak,” katanya.
Kata Safee, sudah tiba masanya bola sepak tempatan ditadbir oleh generasi muda yang lebih agresif dan segar berbanding mengekalkan ‘orang lama’ yang tidak mempunyai idea.
“Sedih sampai bila bola kita akan berterusan macam ini. Pengurusan tak betul, nak suruh menang itu ini. Gaji tak bayar, pemain pula yang kena ugvt. Tolonglah. Bola sepak kita tak perlu ‘orang lama’ yang tidak ada idea untuk maju ke depan. Betul-betul sedih untuk bola sepak kita,” kata Safee di laman Instagram miliknya.
Turut mengulas kes berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam yang menjelaskan antara tindakan yang boleh dikenakan adalah larangan perpindahan pemain, diturunkan ke liga lebih rendah atau paling serius lesen ditarik balik.
Beliau bagaimanapun berkata, tindakan itu hanya boleh diambil selepas segala proses termasuk siasatan dilakukan sepenuhnya oleh First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL.
“Dalam kes Sarawak United, ada dua perkara akan berlaku jika didapati memang ada tunggakan yang tidak dapat diselesaikan. Perkara ini (tindakan) selepas siasatan yang akan dibuat oleh unit pelesenan kelab dan dibawa semula FIB.
Sekiranya dikenakan tindakan diturunkan ke liga lebih bawah, ia akan menjadi kerugian besar buat Sarawak United selepas mereka berjaya naik ke Liga Super musim depan selaku naib juara Liga Perdana musim ini.
Ditanya, pasukan mana yang bakal mengisi tempat Sarawak United dalam Liga Super musim depan sekiranya skuad The Crocs dikenakan tindakan itu, Stuart menjelaskan senario itu hanya boleh diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.
Buat pengurusan Sarawak United FC, adalah diharapkan kemelut isu gaji ini tidak lagi berpanjangan kerana ia bukan sahaja menjejaskan persiapan pasukan menghadapi baki saingan Piala Malaysia, malah impian kembali ke Liga Super musim depan turut menjadi ‘lebur’ sekali gus mengecewakan penyokong dan peminat di Bumi Kenyalang.