
MIRI: Semua agensi, jabatan, organisasi atau badan bukan kerajaan termasuklah ketua masyarakat dan komuniti memainkan peranan bersama-sama untuk memastikan usaha membanteras gejala dadah di Bahagian Miri ini dapat berjalan dengan baik dan berkesan.
Residen Miri Galong Luang berkata, masalah dadah bukan hanya tanggungjawab Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan agensi penguatkuasaan, bahkan masalah sejagat yang perlu dibanteras bersama.
“Masalah penagihan dadah boleh merentasi status sosioekonomi, peringkat umur, tahap pendidikan, agama dan bangsa.
“Ini merupakan cabaran masa kini buat kita semua. Pelbagai usaha telah dipergiatkan dengan kerjasama pemegang taruh dan akar umbi sama ada dari peringkat kebangsaan mahupun negeri dan daerah tanpa mengenal jerih dan perih
“Komitmen ini membuktikan bahawa masalah dadah bukan hanya tanggungjawab AADK dan agensi penguatkuasaan sahaja tetapi masalah sejagat yang perlu kita banteras bersama,” katanya.
Galong berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pegawai Tadbir Edward Tawang pada Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Membanteras Dadah (MTMD) peringkat Bahagian Miri petang semalam.
Galong berkata, antara fungsi MTMD adalah memantau dan memastikan penyelarasan pelaksanaan dasar, pelan tindakan, strategi dan program membanteras gejala dadah oleh semua agensi, jabatan dan organisasi terlibat.
Oleh Liong Chai Ling