
SIBURAN: Sebuah insiden melibatkan kepulan asap keluar dari sebuah unit kediaman di Blok L, PPR Batu Gong di sini pagi tadi berjaya dikawal tanpa sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan pada struktur bangunan.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan, PBK I Shaiful Ismail Othman, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.45 pagi dan segera bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan lapan anggota, menggunakan satu jentera CFRT dan satu unit EMRS.
Sebaik tiba di lokasi, pemeriksaan mendapati insiden hanya melibatkan masakan yang ditinggalkan tanpa pengawasan, menyebabkan kepulan asap memenuhi ruang kediaman. Bagaimanapun, tiada sebarang kebakaran aktif atau kerosakan struktur dilaporkan.
“Tiada operasi pemadaman dilakukan kerana api telah padam sepenuhnya sebelum ketibaan pasukan bomba. Selepas memastikan keadaan selamat, anggota kembali semula ke balai,” katanya dalam kenyataan.
Insiden tidak melibatkan sebarang mangsa, dan tiada pemindahan dilakukan.