CADANGAN Tun Dr Mahathir Mohamad supaya negeri kaya seperti Sarawak membantu negeri miskin Kedah, Kelantan dan Perlis menerima banyak reaksi dalam kalangan nitizens.
Tetapi respons daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tepat apabila menegaskan setiap negeri bertanggungjawab terhadap pembangunan sendiri atau dalam kata lain ‘charity begins’ at home. Malah katanya, tanggungjawab membantu negeri miskin adalah peranan Kerajaan Pusat, bukan tanggungjawab kerajaan negeri.
Premier Sarawak berkata, pendapatan meningkat kerajaan negeri digunakan terlebih dahulu untuk kebajikan rakyat Bumi Kenyalang kerana pendapatan isi rumah masih rendah.
Malah katanya, hasil seperti cukai petroleum, cukai korporat, termasuk dari Petronas dan kontraktornya, semuanya masuk kantung Kerajaan Persekutuan.
“Sarawak kaya sebab kita mampu menguruskan ekonomi kita dengan baik, usaha kita belum habis lagi iaitu untuk menaikkan pendapatan isi rumah rakyat, sebab itu kita majukan kawasan luar bandar terlebih dahulu.
“Ada pepatah orang putih berbunyi charity begins at home. Orang kampung kita masih ada banyak masalah, jadi kita tolong orang kampung dululah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelan Induk Kelestarian Sarawak di Kuching, Selasa lalu.
Pandangan itu adalah mesej jelas kepada Dr Mahathir dan negeri-negeri lain, agar tidak terlalu bergantung kepada bantuan luar semata-mata.
Satu perkara yang mesti dipelajari ialah Sarawak tidak mencapai status negeri berpendapatan tinggi hanya dengan bergantung kepada geran Kerajaan Persekutuan tetapi melalui dasar konsisten dalam mengembangkan ekonomi domestik serta memaksimumkan hasil sumber alam seperti minyak dan gas selain menerokai sumber tenaga diperbaharui.
Jika semua negeri berusaha keras seperti dilakukan Sarawak, tidak mustahil mereka terlalu mengharapkan geran dari Putrajaya. Apa yang dilakukan oleh Sarawak termasuk mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas produk petroleum, melantik Petroleum Sarawak Berhad (Petros) untuk mengambil alih 100 peratus operasi pengagihan gas yang sebelum ini dikuasai oleh Petronas, semuanya dilakukan berdasarkan peraturan serta undang-undang yang ada untuk memaksimumkan hasil sumber negeri, bukan merampas hak orang.
Berbanding negeri-negeri lain yang hanya mengharapkan kepada geran tanpa strategi mantap, Sarawak menunjukkan pengurusan berhemah dan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan, berupaya membawa hasil kepada rakyat dan sektor perniagaan tempatan.
Contohi juga negeri maju seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor yang berjaya menarik pelaburan asing serta memajukan infrastruktur, dan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan adalah kunci kepada pembangunan mampan.
Felo Penyelidik, Institut Pengajian Borneo, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Stanley Bye Kadam Kiai, bagaimanapun berkata Belanjawaan Sarawak sebanyak RM11 billion tidaklah begitu tinggi jika dikira dari aspek saiz fizikal dan geografinya yang sebesar dan seluas tanah Semenanjung Malaysia.
Oleh itu, katanya, boleh dikatakan bahawa RM11 billion itu tidaklah setinggi seperti yang dinyatakan oleh Dr Mahathir jika nilai wang itu dibandingkan dengan belanjawan bagi keseluruhan Semenanjung yang sebesar Sarawak.
DANA BESAR BANTU PRASARANA RAKYAT
“Hakikatnya, Sarawak masih memerlukan dana wang yang lebih banyak lagi untuk membangunkan prasarana serba berkurangan berbanding dengan prasarana yang sangat cangih dan moden di Semananjung. Jadi pendapatan yang meningkat bagi kerajaan Sarawak harus digunakan untuk menyelesaikan masalah dan isu-isu sedia ada di Sarawak, seperti kekurangan bekalan air dirawat dan elektrik di luar bandar.
“Sarawak juga perlu meningkatkan pendapatan isi rumah yang lebih rendah sekarang jika dibandingkan dengan pendapatan isi rumah di Semananjung. Oleh sebab itu, adalah tidak wajar bagi Sarawak untuk berkongsi dananya dengan negeri-negeri lain,” katanya kepada penulis.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran UKM, Prof Dr Novel anak Lyndon berkata pendirian Sarawak untuk tidak membantu negeri mundur adalah sangat tepat.
Persoalan yang timbul katanya, ialah apakah rasionalnya Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi membantu negeri yang mundur? Hal ini kerana untuk mencapai taraf negeri berpendapatan tinggi tentunya memerlukan pemimpin yang mengutamakan agenda rakyat, memberi fokus kepada pembangunan negeri, mengurangkan suhu politik dan memastikan kestabilan politik serta meningkatkan perpaduan masyarakat pelbagai etnik, agama dan jalur politik.
Sesuatu yang menjadi kekuatan Sarawak pula ialah kurangnya permainan politik seperti berlaku di sesetengah negeri di Semenanjung. Sudah tiba masanya pemimpin di sesetengah negeri di Semenanjung meninggalkan sikap suka berpolitik dan beretorik serta berhenti menyalahkan pihak lain, sebaliknya fokus harus diberikan kepada usaha memajukan ekonomi negeri demi kemajuan rakyat dan kemakmuran negara.
Menurut Stanley Bye lagi, ketika Sarawak masih miskin seperti kata Dr Mahathir Kerajaan Persekutuan terpaksa membantu Sarawak dan keadaan ini adalah memang betul tetapi untuk membantu negeri-negeri di seluruh negara adalah satu-satunya peranan dan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
“Saya ingin bertanya kepada Tun Mahathir selaku Perdana Menteri dahulu, pernahkah beliau mengarahkan negeri-negeri yang lebih kaya membantu Sarawak ketika negeri kita masih miskin dan belanjawannya masih kecil walaupun tanggungjawab fizikalnya adalah sangat besar berbanding dengan negeri-negeri di Semananjung.
“Jika tidak pernah, kenapa secara tiba-tiba beliau meminta jasa baik Sarawak untuk berkongsi kekayaannya dengan negeri-negeri yang miskin sekarang. Oleh sebab itu, saya sangat bersetuju dengan pendirian Premier Sarawak bahawa Sarawak harus menangani masalah rakyat sendiri terlebih dahulu sebelum memfokuskan masalah dihadapi oleh negeri-negeri yang kurang belanjawan dari Sarawak kerana itu adalah peranan Kerajaan Persekutuan.
KONSEP FEDERALISME
“Kita harus ingat bahawa secara fizikal dan geografi, Sarawak adalah sebesar Semananjung, dan ada bahagian-bahagian atau daerah-daerah di Sarawak yang lebih kaya dari yang lain. Oleh sebab ini, Sarawak harus fokus untuk menangani masalah rakyat Sarawak sendiri,” katanya.
Stanley Bye berkata, konsep federalisme yang diuar-uarkan oleh Dr Mahathir memang memerlukan setiap komponen bekerjasama, tetapi sebelum itu setiap komponen atau negeri yang membentuk sesebuah persekutuan harus menjaga, melindungi dan mempromosikan kepentingan rakyatnya sendiri terlebih dahulu.
Oleh itu, katanya, wajarlah Sarawak memfokus kepada rakyatnya seperti yang dinyatakan oleh Abang Johari.
Katanya, royalti minyak berjumlah RM2.8 bilion untuk Sarawak pada tahun lepas tidak boleh dianggap sebagai dana yang besar tetapi ini adalah keistimewaan negeri-negeri pengeluar minyak dan gas seperti Sarawak yang boleh menggunakan wang ini untuk meningkatkan jumlah belanjawaannya.
“Tun Mahathir mungkin tidak suka akan konsep ini dan mungkin berasa cemburu kerana Sarawak dan negeri-negeri pengeluar minyak dan gas yang lain mempunyai wang lebihan berbanding dengan negeri-negeri bukan pengeluar minyak dan gas,” katanya.
Menurut Dr Novel pula pencapaian yang dinikmati oleh Sarawak pada hari ini melalui pelbagai dugaan dan halangan terutamanya dalam memperjuangkan hak sebagai rakan kongsi pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Justeru, sebagai sebuah negeri yang telah diiktiraf berpendapatan tinggi adalah lebih baik sekiranya pendapatan ekonomi negeri dikongsi dengan orang Sarawak itu sendiri melalui pembangunan wilayah atau koridor berdasarkan bahagian di Sarawak.
“Keluasan Sarawak yang lebih kurang hampir sama dengan Semenanjung Malaysia tentunya memerlukan peruntukan kewangan atau belanjawan besar. Ditambah pula dengan bentuk muka buminya berbukit bukau dan penempatan penduduk luar bandarnya berselerak dan jauh dari kawasan bandar, pastinya memerlukan wang yang banyak serta kehendak politik jitu dan konstruktif,” katanya kepada penulis.
Beliau berkata ini bagi memastikan kebolehsampaian penduduk terhadap prasarana dan kemudahan serta infrastruktur yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang mengutamakan rakyatnya dan memastikan taraf hidup masyarakatnya terus meningkat, adalah wajar untuk Sarawak menggunakan pendapatan yang diperoleh dan peruntukan disediakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk memberi fokus dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan, menyediakan prasarana yang membantu menarik pelabur dalam negeri dan luar negara, melabur bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan memastikan Sarawak sebagai hab pelaburan Nusantara melalui kewujudan pelbagai insentif mesra pelabur dengan penyediaan infrastruktur dan teknologi serta guna tenaga yg cekap dan kompeten
“Hal ini penting bagi memastikan Sarawak terus menjadi tarikan pelabur susulan limpahan ekonomi daripada pembukaan Ibu Kota Nusantara Indonesia di Kalimantan.
Pembangunan fizikal seperti sekolah dan klinik daif, jalan raya, jambatan, internet, jalan pertanian, pembangunan modal insan dan kebajikan sosial seperti bantuan persekolahan, kebajikan masyarakat adalah merupakan beberapa perkara yang menjadi tumpuan utama kerajaan negeri dalam usaha memastikan Sarawak menjadi pilihan utama destinasi pelabur, model perpaduan negara dan model politik matang.
“Pendek kata biarlah pendapatan yang diperoleh oleh negeri Sarawak adalah untuk orang Sarawak, selari dengan moto iaitu Sarawak Ku Sayang dan Sarawak First (Utamakan Sarawak),” katanya.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak