KUCHING: Berkuatkuasa pada 1 Ogos hingga 14 Ogos 2020, semua tempoh masa operasi perniagaan di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian akan dihadkan bermula dari pukul 6.00 pagi hingga 10.00 malam.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), semalam.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyeru rakyat sarawak supaya memberi kerjasama dalam hal ini.
“Kita faham strategi yang dilaksanakan akan menyebabkan kesukaran dan stres kepada sesetengah pihak,” katanya pada sidang media laporan harian Covid-19 di Sarawak di sini semalam.
Beliau menambah bagi melawan peningkatan kes dan meratakan keluk pandemik Covid-19 semua strategi harus diambil dan kerjasama semua pihak diperlukan.
“Kita harap dengan strategi ini, kita dapat memenangi perperangan melawan Covid-19 dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, Uggah berkata JPBN juga memutuskan untuk melaksanakan kawalan pergerakan di bahagian-bahagian di Sarawak yang dibahagikan kepada dua zon.
“Dua zon tersebut adalah Zon 1 iaitu zon kuning meliputi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.
“Manakala bagi Zon 2 iaitu zon hijau meliputi Bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.
“Oleh itu, pergerakan dari Zon 1 ke Zon 2 dan sebaliknya hendaklah mendapatkan kebenaran daripada Polis terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.
“Walau bagaimanapun, pergerakan di dalam zon adalah dibenarkan,” kata Uggah sambil menambah pergerakan adalah bebas antara bahagian dalam zon dan tiada sekatan jalan raya atau kebenaran polis diperlukan bagi pergerakan tersebut.
Kata Uggah pengecualian pergerakan yang dibenarkan adalah seperti menjalankan tugas rasmi, pekerja perkhidmatan penting (essential services), kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat dan keperluan pemeriksaan kesihatan.
“Arahan ini berkuatkuasa pada 1 hingga 14 Ogos 2020,” kata Uggah.
Oleh Alexandra Lorna