Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Masa depan padi negara, Malaysia pertaruhkan benih genetik disunting
  • RENCANA

Masa depan padi negara, Malaysia pertaruhkan benih genetik disunting

Utusan Sarawak 2 days ago

POKOK padi yang ditanam di rumah hijau di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang berjaya menyekang penyakit hawar dengan mengguna teknologi CRISPR-CS9. Disebabkan oleh mutasi yang lakukan penyelidik MARDI, maka protein (penyakit hawar) tidak boleh melekat pada daun padi. Maka penyakit akan terhenti setakat itu. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Di rumah hijau Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), dua helai daun padi diletakkan sebelah-menyebelah yang jika dilihat sepintas lalu kelihatan sama. Namun bagi pegawai penyelidik prinsipal Dr Zulkifli Ahmad Seman, perbezaan antara kedua-duanya amat jelas.  

Sehelai daripada daun itu berwarna kuning hampir keseluruhannya, petanda jelas terkena serangan hawar bakteria – penyakit yang menyerang sawah padi di Malaysia sejak berdekad lalu dan menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit. Sehelai lagi berwarna hijau sepenuhnya dengan sedikit kekuningan di hujung. Daun itu daripada rumpun padi yang genetiknya telah disunting oleh beliau dan pasukannya menggunakan teknologi CRISPR-CS9.

“Disebabkan oleh mutasi yang kita lakukan, maka protein (penyakit hawar) tidak boleh melekat di situ, jadi penyakit akan terhenti setakat itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di ibu pejabat MARDI di Serdang, Selangor. 

Sejak 2021, Zulkifli dan beberapa saintis MARDI terlibat dalam projek membangunkan varieti padi baharu yang disunting secara genetik bagi menghasilkan ciri-ciri khusus seperti berdaya tahan terhadap penyakit dan keupayaan menyesuaikan diri dengan cabaran iklim seperti cuaca panas melampau dan kemarau.

Katanya mereka kini mempunyai benih padi yang genetiknya disunting (GE) berpotensi dan sedang melalui fasa saringan. Beliau berkata setakat ini, kajian mereka menunjukkan hawar hanya menjangkiti 11 peratus daripada daun di pokok padi GE.

Benih yang terhasil itu bukan sekadar pencapaian saintifik tetapi juga tanaman GE pertama MARDI dan Malaysia. Namun begitu, di ketika pasukan Zulkifli semakin hampir menghasilkan generasi kelima benih berdaya tahan terhadap penyakit, mereka juga kian dekat dengan cabaran yang lebih sukar berbanding penyakit hawar itu sendiri, iaitu zon kelabu dalam perundangan Malaysia.

ZON KELABU

Malaysia antara negara Asia yang merekodkan kadar penggunaan beras per kapita tertinggi, namun pengeluarannya sendiri masih belum mencukupi. Pada 2023, kadar penggunaan beras per kapita ialah 76.7 kilogram setahun, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Angka itu menunjukkan penurunan berbanding 2022, dengan pengeluaran beras merosot sebanyak 4.7 peratus – daripada 2.28 juta tan pada 2022 kepada 2.18 juta tan pada 2023.

Statistik sama turut menunjukkan bahawa pengeluaran beras tempatan hanya mampu memenuhi 56.2 peratus daripada keperluan dalam negara, sekali gus mendedahkan Malaysia kepada kejutan harga dan gangguan bekalan.

Bagi pesawah seperti Puteh Hassan, 57, di Kedah, cuaca yang semakin tidak menentu dan serangan penyakit berulang meningkatkan ketidaktentuan hasil tuaian.

“Pernah satu musim kami diserang (hawar bulir bakteria) teruk. Kami hilang 60 peratus hasil tuaian. Bila kena (hawar), dalam padi tu kosong saja… tiada isi,” katanya ketika dihubungi melalui telefon.

Penyelidikan Zulkifli, sekiranya dibenarkan untuk diteruskan, mungkin dapat menyelamatkan sawah padi Puteh daripada serangan teruk penyakit sekali lagi. Namun, isunya sekarang yang meletakkan penyelidikan itu dalam keadaan tidak pasti, ialah adakah tanaman GE turut tertakluk kepada undang-undang sedia ada berkaitan organisme diubah suai secara genetik (GMO). 

Tidak seperti GMO, tanaman GE tidak mengandungi DNA asing seperti jagung Bt yang mempunyai DNA daripada bacteria Bacillus thuringiensis bagi menjadikan tanaman itu berdaya tahan terhadap serangan makhluk perosak. Sebaliknya, GE melibatkan proses menghapuskan atau melaraskan gen sedia ada, yang menurut sesetengah penyelidik lebih mirip kepada evolusi semula jadi yang dipercepat. Justeru, saintis dan ahli bioteknologi berpendapat tanaman GE tidak wajar dinilai mengikut standard sama.

Setakat ini, kerangka perundangan Malaysia masih ketinggalan dalam aspek ini. Akta Biokeselamatan 2007 hanya mengawal selia GMO, kerana ketika undang-undang itu digubal, teknologi seperti CRISPR atau kaedah berkesan bagi menyunting genom belum wujud. Kini para saintis dalam dilema – mereka sedang menjalankan penyelidikan yang mampu membawa perubahan besar dan berpotensi membantu keterjaminan bekalan makanan negara, tetapi adakah padi GE mereka akan berjaya direalisasikan?

Bernama menghubungi Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (NBB) untuk mendapatkan penjelasan, namun tiada maklum balas diterima setakat laporan ini disiapkan.

SAWAH MENGUNING

Puteh masih ingat satu musim sawahnya bertukar kuning.

Dilahirkan di Kedah dan dibesarkan dalam keluarga pesawah, serta berkahwin dengan seorang pesawah, Puteh yang mengusahakan sendiri bendang sejak 15 tahun lalu, sudah terlalu kerap melalui musim sukar. Namun, insiden serangan hawar yang hampir-hampir  “menyapu bersih” keseluruhan pendapatannya pada 2019 meninggalkan kesan mendalam.

“Sangat teruk. Saya rugi satu tan padi pada musim itu,” katanya.

Dia mengharapkan musim-musim selepas itu akan memberikan pulangan lebih baik, namun hampa kerana hasil tuaiannya tidak banyak berubah kalaupun tidak bertambah teruk. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, fenomena suhu melampau dan banjir kilat menjadi satu kelaziman.  

“Perubahan iklim pun memang teruk betul sekarang; macam-macam bencana alam, hujan, lepas tu air kurang,” katanya.

Tambah membebankan, penyakit hawar masih berleluasa.

Hawar bakteria yang disebabkan oleh  Xanthomonas oryzae, merebak dengan cepat di kawasan padi yang ditenggelami air serta berkembang biak dalam persekitaran panas lembap seperti Malaysia. Serangan penyakit ini menyebabkan daun padi menjadi perang dan layu serta mengurangkan hasil tuaian.

Pada masa sama, petani semakin kurang bertanam padi. Menurut Presiden Persatuan Pekebun Kecil Kebangsaan (NASH) Adzmi Hassan, ramai pekebun kecil kini beralih kepada tanaman yang lebih menguntungkan seperti kelapa sawit.

“Pernah dengar padi sebagai komoditi boleh membantu meningkatkan pendapatan pengusaha kecil?” soal beliau. “Padahal kita makan beras (nasi). Ada permintaan di sini.”

Beliau menambah Malaysia sepatutnya turut melihat pada cara memperkasa dan menggalakkan petani menanam padi, bukan hanya pada teknologi.

Satu caranya ialah memastikan tuaian yang lebih konsisten dan boleh diunjurkan tahun demi tahun. Selama dua tahun berturut-turut, bermula musim 2023/24, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) meramalkan bahawa pengeluaran beras Malaysia akan berada di bawah paras purata.

Di pusat penyelidikan MARDI, padi GE dilihat sebagai penyelesaian berpotensi. Selagi mereka belum menerima maklumat lanjut, penyelidik MARDI beroperasi dengan andaian padi GE mereka tidak akan tertakluk kepada proses kelulusan yang rumit seperti yang berlaku pada usaha bioteknologi terdahulu melibatkan produk GMO. 

Namun begitu, kebimbangan tetap ada. Para saintis masih mengingati dengan jelas bagaimana usaha mereka untuk menjalankan percubaan lapangan melibatkan benih padi GMO yang berdaya tahan racun makhluk perosak di Perlis pada 2019 terbantut. Ketika itu, komuniti setempat dan aktivis alam sekitar membantah ujian tersebut, selaras dengan garis panduan NBB. Akhirnya, projek itu terpaksa dihentikan.

Penyelidik kanan MARDI Dr Mohd Waznu Adlyl berkata Malaysia wajar menuruti jejak langkah Jepun dan beberapa negara lain yang mengecualikan sesetengah tanaman GE daripada peraturan GMO jika tidak ada DNA asing.

Katanya faedah untuk dunia juga lebih besar berbanding risiko berpotensi.

“Kami harap padi yang kami hasilkan menerusi teknologi suntingan gen ini dapat membantu saintis kami menghasilkan varieti baharu kerana kami tahu, di luar sana terdapat banyak isu seperti perubahan iklim dan kemunculan makhluk perosak baharu,” katanya.

Akan tetapi ramai yang tidak bersetuju dan melihat makanan GE serta GMO sebagai benda yang sama.

Penyelaras program keselamatan bio Third World Network Lim Li Ching membayangkan kepada Bernama yang mereka bersedia untuk melancarkan bantahan sekiranya tanaman GE dibenarkan menjalani percubaan lapangan terbuka tanpa sebarang pengawasan.

“Hanya kerana kita boleh buat tidak bermakna kita harus buat,” katanya menerusi platform Google Meet dari kediamannya di United Kingdom.

 Walaupun teknologi CRISPR mungkin berlaku dalam genom tumbuhan itu sahaja, beliau berkata ia boleh memintas proses perubahan evolusi semula jadi yang perlahan – dan berpotensi memperkenalkan ciri-ciri atau interaksi genetik yang belum pernah wujud secara semula jadi.

 Tambahnya, suntingan yang nampak kecil boleh membawa kesan sampingan tidak dijangka pada tahap molekul.

Memang jarang usaha menggemblengkan makanan dan teknologi diterima baik oleh semua orang. Sekalipun ramai yang melihat kebimbangan berkaitan GMO dan kini teknologi GE sebagai diperbesar-besarkan, Lim dan aktivis alam sekitar lain menegaskan mereka bukan berniat menghalang penyelidikan bioteknologi atau kemajuan Malaysia dalam bidang sains ini.

CRISPR-Cas9 merupakan alat penyuntingan gen revolusioner yang membolehkan saintis membuat perubahan tepat pada DNA sesuatu organisma. Dalam tumbuhan, proses ini melibatkan beberapa langkah termasuk “memecahkan” atau menghapuskan satu bahagian DNA dan membolehkan mekanisme semula jadi tumbuhan itu membaiki kerosakan. Proses ini diharap dapat menghasilkan perubahan genetik yang diinginkan.

Di sebalik manfaat berpotensi, Lim berkata “faedah” itu mungkin bertukar menjadi “bala” pada kemudian hari.

“Kita masih perlu menilai tanaman ini untuk melihat impak yang tidak disengajakan. Itu perkara paling asas,” katanya. 

GE GLOBAL ATAU GMO

Ketika Malaysia masih terkial-kial dengan ketidaktentuan peraturan, negara-negara lain sudahpun ke depan dengan tanaman GE. India misalnya, telah melancarkan dua varieti padi yang disunting genetik dengan tujuan meningkatkan hasil dan ketahanan terhadap tekanan persekitaran. Varieti ini dibangunkan menggunakan teknik penyuntingan genom yang membolehkan pengubahsuaian tepat pada DNA tumbuhan tanpa memasukkan gen asing.

Bagaimanapun Mexico mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati. Pada Mac 2025, kerajaan Mexico meminda perlembagaannya yang melarang penggunaan benih jagung GMO, atas alasan bimbang dengan keselamatan biologi selain melindungi varieti jagung asal.

Bagi Malaysia, penerimaan tanaman GE seperti padi berdaya tahan terhadap hawar yang dihasilkan oleh MARDI, boleh memainkan peranan penting dalam meningkatkan keterjaminan makanan negara. Bagaimanapun tanpa garis panduan peraturan yang jelas, inovasi sebegini mungkin hanya berakhir sebagai ujian di fasiliti penyelidikan.

Malaysia telah menetapkan sasaran untuk mencapai kadar sara diri beras sebanyak 80 peratus menjelang 2030. Namun, tanpa sebarang campur tangan, sama ada melalui teknologi atau kaedah lain, negara ini mungkin tidak akan dapat mencapai matlamat tersebut dalam masa terdekat memandangkan dunia kini sering berdepan gangguan rantaian bekalan.

Sementara itu, Puteh menyatakan minatnya untuk mencuba tanaman GE yang berdaya tahan hawar.

“Tapi kita perlu tengok dulu. Mungkin tanaman itu tidak sesuai dengan tanah di sini atau kosnya terlalu tinggi, tapi kalau tahan hawar, kami sanggup mencuba,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Tak menang tangan siapkan tempahan pisau lapah menjelang Aidiladha
Next: Kurang barang, hidup tenang: Minimalis untuk kesejahteraan mental

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.