Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Masa depan bermula sekarang
  • RENCANA

Masa depan bermula sekarang

Utusan Sarawak 10 hours ago
GELAGAT seorang pengunjung, Emerald Cole, 16, di hadapan arca replika matahari ‘Helios: The Sun’ yang dipamerkan di Muzium Budaya Borneo, hari ini. ‘Helios: The Sun’ adalah karya seni monumental oleh Luke Jerram, artis pelbagai disiplin dari United Kingdom (UK) yang terkenal di peringkat antarabangsa dengan arca dan pemasangan seni awam berskala besar. Antara hasil karyanya terkenal ialah ‘Museum of the Moon’ (Bulan), ‘Gaia’ (Bumi), Mars (Marikh) dan yang terbaru ‘Helios’ (Matahari) yang menggabungkan seni, sains, dan teknologi untuk menginspirasikan orang ramai di seluruh dunia. Karya-karya Jerram direka untuk memupuk rasa hairan, menggalakkan perbincangan, dan membolehkan penonton mengalami fenomena semula jadi dengan cara yang baharu dan mendalam. ‘Helios: The Sun’ akan dipamerkan selama lapan bulan di Muzium Budaya Borneo bermula 17 November lepas hingga 17 Julai 2026. Foto BERNAMA

MASA adalah antara anugerah terbesar Allah SWT kepada manusia. Setiap insan dikurniakan jumlah masa yang sama iaitu 24 jam sehari.

Namun, yang membezakan seseorang dengan orang lain ialah bagaimana masa itu digunakan.

Ada yang mengisi masa dengan perkara berfaedah, ada pula yang membiarkannya berlalu tanpa arah.

Hakikatnya, masa tidak pernah menunggu kita. Ia bergerak dalam fitrah yang telah ditentukan dari pagi ke petang, dari malam ke siang, dari muda ke tua dan akhirnya dari hidup ke mati.

Masa tidak pernah menoleh ke belakang, tidak pernah memberi salam perpisahan dan tidak pernah berhenti walau sesaat.

Pepatah Melayu menyebut: “Masa itu emas.” Namun, hakikatnya masa lebih berharga daripada emas kerana emas yang hilang boleh dicari semula, tetapi masa yang hilang tidak akan kembali. Justeru, kesedaran tentang masa adalah asas kepada kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

Keutamaan Masa – Antara Sekarang Dan Masa Depan

Setiap insan sering berkata, “Nantilah… saya buat kemudian”.  Namun realitinya, “kemudian” itu belum tentu menjadi milik kita.

Masa depan tetap masa depan, dan masa sekarang ialah masa yang benar-benar ada di tangan kita.

Islam mengajar kita supaya sentiasa menghargai masa sekarang. Dalam al-Quran, Allah bersumpah dengan masa: “Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah Al-‘Asr: 1-3).

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa masa adalah kayu ukur kejayaan manusia. Jika masa disia-siakan, rugilah hidup. Jika masa digunakan dengan amal soleh, jadilah ia pelaburan menuju akhirat. Maka, tidak ada alasan untuk berlengah.

Keutamaan – Prinsip “Fil Awaliyat”

Dalam kehidupan, bukan semua perkara boleh dilakukan serentak.

Kita perlu tahu membezakan mana yang perlu didahulukan dan mana yang boleh ditangguhkan. Inilah yang dinamakan prinsip “Fil Awaliyat” dalam Islam iaitu prinsip keutamaan.

Antara contohnya:

•     Solat lima waktu adalah keutamaan berbanding urusan dunia kerana ia tiang agama.

•     Menuntut ilmu adalah keutamaan berbanding hiburan kerana ilmu adalah cahaya hidup.

•     Menjaga kesihatan adalah keutamaan berbanding kemewahan kerana tubuh badan yang sihat adalah amanah untuk kita terus berusaha.

Jika kita tidak pandai menyusun keutamaan, kita akan habiskan masa pada perkara kecil, lalu terlepas peluang besar.

Masa akan tetap berlalu, tetapi kita tidak mendapat hasil yang sepatutnya.

Had Tempoh – Kehidupan Ada Garis Penamat

Kita sering lupa bahawa hidup ini ada tempoh. Allah SWT telah menetapkan ajal setiap manusia. Apabila sampai saatnya, tidak mungkin dipercepat atau ditangguhkan walau sesaat.

Oleh itu, kita perlu bertanya kepada diri: Apakah yang sudah kita lakukan dengan masa yang ada?

Adakah kita sibuk dengan perkara remeh atau kita sudah melaburkan masa kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada diri, keluarga, dan ummah?

Orang bijak ialah mereka yang menghitung hari, sedar bahawa setiap detik yang berlalu membawa kita semakin dekat kepada garis penamat.

Justeru, jangan menunggu. Selagi masih sihat, selagi masih berdaya, gunakanlah masa yang ada dengan sebaik-baiknya.

Peluang – Siapa Cepat Dia Dapat

Dalam kehidupan, peluang tidak datang berkali-kali. Pepatah Melayu mengingatkan kita: “Peluang tidak datang bergolek dua kali”.  Begitu juga dalam bahasa Inggeris, ada pepatah berbunyi “Opportunity knocks only once.”

Apabila peluang datang, kita mesti segera bertindak. Jika kita lambat, orang lain akan mengambilnya.

Dunia bergerak pantas; siapa yang leka akan ketinggalan.

Pepatah juga berkata: “Siapa cepat dia dapat. Siapa lambat, bila wafat semua tidak bermakna lagi.”

Oleh itu, jangan tunggu sehingga masa berlalu. Jangan biarkan peluang dikebas orang lain.

Jadilah insan yang proaktif, sentiasa bersedia dan berani mengambil langkah. Inilah kunci untuk berjaya di dunia dan selamat di akhirat.

Inspirasi – Jangan Main dengan Masa

Masa bukan mainan. Setiap detik adalah amanah. Jika kita bermain dengan masa, hakikatnya kita sedang bermain dengan hidup kita sendiri.

Bayangkan seorang pelajar yang tidak menggunakan masa untuk belajar, akhirnya gagal dalam peperiksaan.

Bayangkan seorang pekerja yang mensia-siakan masa, akhirnya kehilangan kerjaya.

Bayangkan seorang hamba Allah yang leka dengan dunia, akhirnya pulang kepada-Nya tanpa bekalan amal.

Sebaliknya, orang yang serius tentang masa akan sentiasa menggunakannya untuk kebaikan: membaca, beribadah, berfikir, menulis, membantu orang lain, mencari ilmu, memperbaiki diri dan melaksanakan amal jariah. Itulah tanda insan yang benar-benar memahami erti kehidupan.

Bertindaklah Sekarang

Masa depan adalah masa depan. Sekarang adalah sekarang. Jangan tunggu esok jika boleh dilakukan hari ini.

Jangan bertangguh kerana kita tidak tahu sama ada esok masih menjadi milik kita.

Ingatlah:

•     Masa itu penting;

•     Peluang tidak datang selalu;

•     Hidup ini ada tempoh;

•     Keutamaan mesti disusun;

•     Tindakan mesti dilakukan sekarang.

Semoga kita semua menjadi insan yang menghargai masa, menggunakan peluang, memahami keutamaan dan bertindak segera sebelum ajal menjemput kerana di hujung hayat, hanya amal kita yang akan menjadi penentu.

Gunakan masa sekarang untuk membina masa depan. Jangan tunggu sehingga masa depan menjadi penyesalan.

Wallahu Alam Bissawab

Continue Reading

Previous: Rahmat Allah SWT di setiap titisan hujan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.