Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Marygrace, Belle Sisoski, Rezza Shah semarakkan ‘Happy Gawai Kaamatan’
  • HIBURAN

Marygrace, Belle Sisoski, Rezza Shah semarakkan ‘Happy Gawai Kaamatan’

Utusan Sarawak 1 day ago
MARYGRACE bergandingan dengan Belle Sisoski, penyanyi dan komposer hebat dari Sarawak dan Rezza Shah, bekas peserta CSOIAM.

SELEPAS menawan hati rakyat Malaysia dengan kemenangan bergaya sebagai juara di pentas Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) dan melancarkan single sulungnya Titik Mula, yang kini menduduki carta 23 teratas di Hot FM Top 40!, Marygrace terus melangkah berani dalam industri muzik tanah air.

Terbaharu, beliau melakar sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai salah satu wajah yang mewakili Sabah untuk kempen Gawai & Kaamatan 2025 oleh Pepsi dan TV Sarawak (TVS).

Marygrace menghangatkan budaya Borneo dengan menghadiahkan sebuah lagu rasmi ‘Happy Gawai Kaamatan’ (Pepsi Harvest Celebration Anthem), sebuah karya penuh semangat yang meraikan warisan, budaya dan kegembiraan musim menuai.

Bergandingan dengan Belle Sisoski, penyanyi dan komposer hebat dari Sarawak dan Rezza Shah, bekas peserta CSOIAM – ibarat tiga suara berjiwa besar, bersatu tenaga dalam menyemarakkan semangat pesta menuai tahun ini.


Raikan budaya Borneo dengan beat moden dan jiwa tradisional. ‘Happy Gawai Kaamatan’ ciptaan sepenuhnya oleh Belle Sisoski, adalah anthem perayaan – gabungan muzik pop moden dan irama rakyat yang menyuntik elemen tradisional ke dalam beat kontemporari.
Dengan melodi rancak, susunan vokal harmoni dan lirik penuh semangat, lagu ini menyatu budaya dan mengangkat semangat Gawai Dayak dan Pesta Kaamatan, dua perayaan penting bagi masyarakat Dayak dan Kadazandusun dalam satu nadi muzik yang menyegarkan.
Gabungan suara unik tiga penyanyi ini memberi warna tersendiri yang menyentuh rasa dan membangkitkan semangat kebersamaan.
Bagi Marygrace, proses rakaman lagu yang dilakukan di Maveriq Studio, Kuala Lumpur ini merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna dan mencabar.

MARYGRACE terus melangkah berani dalam industri muzik tanah air.

“Saya rasa sangat terharu dan bangga dapat menjadi sebahagian daripada kempen ini. Ia bukan sekadar menyanyi, tetapi menjadi sebahagian daripada satu perayaan budaya yang besar dan penuh makna. Belle berjaya menyalurkan jiwa dan semangat masyarakat Borneo ke dalam setiap bait lirik dan notasi muzik dalam lagu ini,” jelas Marygrace.

Marygrace juga berkongsi kenangan manis ketika rakaman, “Cabaran paling besar ialah menyampaikan emosi yang tepat memandangkan lagu ini berkait rapat dengan perayaan yang mempunyai makna mendalam bagi masyarakat utama Borneo.

“Selain itu, penyelarasan vokal antara tiga penyanyi untuk memastikan keharmonian suara juga bukan sesuatu yang mudah. Bila tiga suara berlainan bergabung, kita perlu betul-betul harmoni.

“Banyak kenangan indah tercipta sepanjang proses ini, daripada saat-saat mencabar ketika mencapai nota tertentu, hinggalah sesi perbualan dan gelak tawa yang tercetus apabila kami berkongsi cerita tentang latar belakang budaya masing-masing,” kongsi Marygrace.

Menariknya, video muzik turut dirakam di beberapa lokasi indah sekitar Kuching, menjadikan pengalaman ini lebih istimewa bagi Marygrace.

Antara lokasi utama ialah Kampung Budaya Sarawak dan Nanga Damai Homestay yang kaya dengan nilai budaya serta keindahan alam semula jadi.

Gabungan suasana alam semula jadi dan seni bina tradisional memberikan inspirasi luar biasa, menjadikan visual video ini bukan sekadar cantik, tetapi penuh rasa dan jiwa di samping peluang untuk meluangkan masa beliau bersama rakan artis dan mencipta kenangan manis sepanjang penggambaran.

Selain menyumbangkan suara dan wajah untuk lagu ‘Happy Gawai Kaamatan’, Marygrace juga membuat kemunculan istimewa sempena sambutan Pesta Kaamatan KDCA di Sabah, yang turut disokong oleh Pepsi. Komitmennya dalam kempen ini menyerlahkan versatilitinya sebagai penyanyi muda yang sedang meningkat naik.

Bukan itu sahaja, Marygrace bakal tampil bersama empat finalis CSOIAM di pentas mega ‘Here I Am Concert Malaysia’ bersama Rossa di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun ini.

Selain dari itu, beliau juga bakal bergandingan dengan nama-nama besar seperti Andmesh, Hael Husaini, Adira Suhaimi dan Ara Johari di Festival Tentang Cinta yang akan berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 9 Ogos 2025.

Dengan kombinasi visual, suara dan budaya yang penuh warna, ‘Happy Gawai Kaamatan’ bukan sahaja meraikan warisan, tetapi membuktikan bahawa muzik adalah jambatan perpaduan yang paling kuat.

Saksikan video muzik Happy Gawai Kaamatan di platform digital hari ini dan hayati semangat pesta menuai yang diraikan dengan penuh warna, suara dan budaya.

Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Nera rancang rakam semula lagu Hatimu Milikku
Next: Pelakon sitkom popular Santan Berlada Khairul Azhar meninggal dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.