MARUDI: Sebanyak 3,821 penduduk melibatkan 1,181 buah rumah daripada 22 kampung di Daerah Marudi terjejas banjir setakat ini. Turut terjejas banjir ialah enam buah sekolah rendah, dan sebuah klinik kesihatan.
Menerusi status yang dimuatkan dalam Facebook, Menteri Muda Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Marudi Datu Penguang Manggil berkata, pusat pemindahan sementara setakat ini ialah dewan SMK Telang Usan yang menempatkan 17 mangsa banjir dari Kampung Padang Kerbau dan Kampung Cina.
Sementara 23 mangsa banjir dari Rumah (Rh.) Vicent Tanjong Opar di tempatkan di PPS Dewan Suarah Marudi.
Manakala menurut Penguang sebanyak 33 kampung di Daerah Beluru turut terjejas banjir, sekolah ( 8 buah ), jumlah rumah (1,013 ) dan penduduk yang terjejas banjir di Daerah Beluru (4,987 ).
Katanya, keadaan banjir kali ini lebih teruk dari sebelum ini memandangkan banyak kampung yang terputus jalan darat dan perkhidmatan feri Marudi juga diberhentikan operasinya bermula semalam.
Beliau menyeru kepada semua penduduk yang terjejas banjir agar sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia bagi segala kemungkinan.
Penguang turut memberi nasihat kepada ibubapa supaya mengawasi anak-anak masing-masing ketika ini dan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Kepada pemandu kenderaan di kawasan pekan dan kampung di Marudi, Penguang minta kerjasama mereka supaya memandu dengan perlahan bagi mengelak air banjir melimpah masuk lebih teruk ke dalam kedai dan rumah-rumah berdekatan.
Beliau juga mengesa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum memainkan peranan dan sentiasa berhubung dengan pejabat daerah masing-masing untuk memberi laporan banjir terkini untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu Penguang menzahirkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Marudi, Daerah Beluru, pihak bomba, APM, Jabatan Kebajikan, Majlis Daerah Marudi, PDRM serta agensi-agensi kerajaan lain yang bertungkus lumus membantu penduduk ketika bencana banjir ini.
Oleh JIKU JUGUONG