
Gabriel Martinelli meraikan jaringan. Foto AFP
LONDON: Jaringan saat akhir Gabriel Martinelli memastikan Arsenal mengutip satu mata selepas seri 1-1 menentang Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
City terlebih dahulu berada di depan pada minit kesembilan menerusi gerakan pantas serangan balas, apabila Tijjani Reijnders membawa bola dari tengah padang sebelum melorongkan kepada Erling Haaland yang tenang menyudahkan peluang menewaskan David Raya.
Arsenal kelihatan buntu tanpa idea sepanjang babak pertama, sebelum dua pertukaran pemain pada separuh masa kedua memberi nafas baharu.
Masuknya Eberechi Eze hampir membuahkan hasil apabila percubaannya memaksa Gianluigi Donnarumma melakukan aksi menyelamat cemerlang.
City seakan sudah berjaya mengekalkan kelebihan sehingga masa kecederaan, namun Martinelli muncul wira Gunners apabila bijak membaca hantaran jauh Eze dan melambungkan bola melepasi Donnarumma pada minit ke-93 untuk memberikan satu mata berharga di Emirates.