Oleh: Aileen Clare
MARTHA duduk mengelamun di bawah pohon yang rendang. Angin sepoi – sepoi bahasa menampar lembut pipi Martha. Langit amat mendung, menandakan turunnya sang hujan yang bakal membasahi bumi. Martha melayan perasaannya seorang diri, dia berasa sedih atas kejadian yang menimpanya tadi. Kulit lengannya berbirat, kesan luka yang bergaris merah biru itu mencorak kulit lengan Martha. Sesekali Martha berkerut menahan pedih.
Martha dipukul bapanya siang tadi. Martha disebat dengan rotan, disebat atas kesalahan adik angkatnya. Martha merupakan anak angkat di dalam keluarga Pak Damil. Martha diangkat sejak dari kecil lagi oleh Pak Damil serta arwah isterinya Mak Jenah. Mak Jenah tidak mampu melahirkan anak maka Martha diambil sebagai anak angkat mereka. Setahun kemudian, Mak Jenah telah hamil dan melahirkan seorang anak perempuan iaitu adik angkatnya, Melissa.
Tidak kiralah sejak kelahiran Melissa atau belum, Pak Damil bersikap pilih kasih dan langsung tidak mempedulikannya. Pak Damil juga sering memarahinya dan sentiasa mengungkit bahawa dia hanyalah seorang anak angkat. Melissa juga tidak suka dengan kakak angkatnya, dia menganggap kedatangan Marthamerosakkan hubungan kekeluargaannya. Mak Jenah yang sentiasa melindungi dan menyokong Martha, dia perasan akan perubahan suaminya.
Sebelum membuat keputusan untuk mengambil Martha sebagai anak angkat, Pak Damil membantah keras. Dia memang tidak mahu mengambil anak orang sebagai anak sendiri.
“Kalau kau memang nak ambil bayi itu, aku tidak akan menganggap dia anak aku buat selama – lamanya. Aku tak kisah kau nak ambil dia tetapi kau kena ingat dia memang bukan anak kita! Bukan darah daging kita!”
Sepanjang adanya Martha, Mak Jenah memberi sepenuh kasih sayang. Pak Damil pula langsung tidak mempedulikan Martha malah selalu bersikap panas baran terhadap Martha. Apabila Mak Jenah disahkan hamil, Martha adalah orang yang paling gembira. Dia tidak sabar mahu memiliki seorang adik, namun Pak Damil melarang keras Martha daripada mendekati Mak Jenah. Pak Damil menganggap kehadiran Martha membawa sial dan dia bakal membawa sesuatu buruk kepada Mak Jenah serta kandungannya.
Melissa semakin membesar dan dia juga mengikut jejak ayahnya. Melissa sentiasa dimanjakan oleh ayahnya dan segala kemahuannya dituruti. Mak Jenah sering menegur suaminya yang terlalu memanjakan anaknya sehingga hilangnya rasa hormat Melissa terhadap orang tuanya namun teguran Mak Jenah itu bagaikan mencurah air ke daun keladi. Martha sering dihukum oleh Pak Damil atas kesalahan Melissa, Melissa sentiasa membuli Martha sama ada di rumah mahupun di rumah.
Martha berasa sangat sedih dan dia tidak yakin berapa lama dia mampu bertahan dengan segala ujian yang diberikan kepadanya. Loket emas yang tergantung di leher Martha diusapnya, rasa rindunya terhadap arwah ibunya amat berat sekali. Martha melepaskan keluhannya. Kalau diikutkan hati, dia memang tidak mahu balik ke rumah ayahnya lagi. Disebabkan dia tidak mempunyai tempat tinggal dan ahli keuarga yang lain maka dia terpaksa bertahan tinggal bersama – sama dengan orang yang benci dengan dirinya .
Siulan burung yang merdu itu menjadi peneman Martha yang tengah bersedih, seolah – olah tahu bahawa Martha sedang bersedih. Daun – daun kering berterbangan seolah – olah sedang menyapa Martha. Mata Martha tertumpu pada sebuah tasik yang terletak tidak jauh dari tempat duduknya. Air tasik yang tenang dan menyejukkan mata bagi sesiapa yang melihatnya. Martha merenung tasik yang tenang itu, air matanya tiba – tiba mengalir. Melepaskan beban dan masalah yang ditanggung beberapa lamanya. Martha tidak mempunyai tempat luahan, dia tidak pernah meluahkan sedikit pun masalah dia dan keluarganya kepada orang lain. Martha mahu menjaga aib ahli keluarganya. Martha inginkan hati setenang tasik itu, dia mahukan sebuah kebahagiaan, ketenangan, dia redha menjadi manusia terpilih untuk mengadapi ujian ini. Martha tidak pernah berasa kesal apabila diambil menjadi ahli keluarga di dalam keluarga Pak Damil . Martha sentiasa berasa bersyukur kerana diberikan sebuah keluarga.
Martha tidak pernah berjumpa dengan ahli keluarganya sendiri, Mak Jenah hanya mengatakan bahawa Martha merupakan anak kepada sahabat baiknya. Ibu kandung Martha sanggup menyerahkan Martha kepada Mak Jenah kerana dia tidak mampu membesarkan Martha. Ingin sekali Martha mencari dan menemui ibu kandungnya. Dia mahu tinggal bersama – sama dengan ibu kandungnya. Walaupun dia langsung tidak pernah menemui ibu kandungnya, namun dia tetap berharap dapat bertemu dengan ibu kandungnya sendiri Entah dari mana, tiba – tiba Melissa datang mengejutkannya. Sisa air mata Martha tidak sempat diseka, Melissa tersenyum sinis. Dia menolak kasar bahu Martha. Martha hanya mendiamkan diri.
“Kau menangis? Umur sudah tua pun masih menangis, baru dipukul sedikit sudah menangis macam budak kecil. Bapak suruh kau balik. Baliklah! Nanti kata bapak tak pandai jaga kau. Maklumlah semua orang kampung sayangkan kau!” Kasar sekali Melissa bercakap dengannya, langsung tiada rasa hormat.
Melissa pergi dan Martha menuruti langkahnya dari belakang. Orang kampung yang lalu menegur Martha dengan ramah. Mereka lebih menyenangi sikap Martha yang lemah lembut dan bersopan santun persis arwah ibu angkatnya, berbeza sekali dengan Melissa. Melissa hanya menjeling tajam, berasa cemburu dengan Martha yang sentiasa menjadi perhatian orang ramai.
Setibanya di rumah, Pak Damil sedang membaca surat khabar di ruang tamu. Matanya sempat mengerling ke arah mereka berdua. Martha sedang mengusap lengannya dan tidak berani bertentang mata dengan Pak Damil.
“Aku ada belikan ubat untuk kau, kau pergi masuk bilik dan sapukan ubat itu pada kulit kau. Lain kali kalau orang tanya, kau harus jawab dengan jujur. Bukan kena paksa, nak kena pukul baru kau nak cakap. Faham.” Pak Damil bercakap dengan garang sambil merenung tajam ke arah Martha.
Martha menjawab dan mengangguk lemah, ubat dia atas meja televisyen itu diambil lalu dia masuk ke dalam bilik tidurnya. Melissa tersengih melihat Martha , hatinya berasa puas kerana berjaya mengenakan Martha.
“Bapak, Lisa nak minta duit. Malam nanti Lisa nak ke rumah kawan, keluarga kawan Lisa ada buat kenduri. Mereka jemput Lisa datang sekali. Bapak izinkan ? ” Pak Damil berkerut.
“ Nak pergi mana? Dengan siapa? Lisa pergi kenduri tetapi minta duit? Aneh.”
“Lisa pergi sekejap, tak lama. Sebelum pukul 11 malam Lisa pulang. Bapak jangan risau, biar kawan Lisa yang hantarkan Lisa pulang.”
“Lebih baik kamu tinggal di rumah sahaja. Tak perlu pergi, bapak risaukan kamu. Kamu anak dara, tidak kira sama ada dia kawan atau bukan kita tidak tahu niat mereka di dalam hati. Bapak bukan hendak bersangka buruk dengan kawan kamu tetapi bapak hanya mahu berjaga – jaga sebelum sesuatu terjadi. Lebih baik kamu duduk di rumah seperti Martha. Martha langsung tidak keluar rumah pada waktu malam, dia menjaga batasnya.”
“Martha? Sejak bila bapak sokong Martha. Bapak kena ingat, Melissa anak kandung ayah dan bukannya Martha. Semua orang suakakan Martha, apa kelebihan Martha sehingga Lisa langsung tidak diendahkan. Lisa tidak kisah, Lisa tetap pergi walaupun bapak tidak izinkan, biarlah Lisa tak ada duit sekalipun.”
Melissa berjalan ke biliknya lalu menghempas pintu. Pak Damil mengurut dadanya. Kelakuan anaknya semakin sukar dikawal. Foto perkahwinan dia dengan arwah iterinya yang tergantung kemas pada dinding ditenung sayu .
“Anak kita semakin besar, semakin susah dikawal. Abang perlukan Jenah, hanya Jenah yang mampu mengawal anak – anak kita. Abang gagal menjadi suami yang baik, gagal menjadi bapak yang baik untuk anak – anak. Abang gagal menggalas tanggungjawab dengan baik, gagal menunaikan amanat Jenah. Abang gagal memberi kasih sayang kepada Martha Maafkan abang.” tersesak – esak Pak Damil, hanya mampu bermonolog sendiri.
Pak Damil bangun dan terus ke dapur. Tanpa disedari, Martha memerhatikan Pak Damil dari dalam bilik, pintunya terbuka sedikit. Martha berasa sayu, rindu akan arwah ibu angkatnya, Ibunya telah meninggal dunia 2 tahun yang lalu akibat barah otak. Sejak dari itu, Martha lebih kerap dimarahi Pak Damil dan yang paling teruk dipukul. Martha tiada sesiapa untuknya meluah. Tiada sesiapa lagi yang mahu mempertahankan dirinya. Birat – birat di kulit tangannya direnung, peristiwa pagi tadi datang menjengah.
“Betul kau tidak mengambil duit aku! Melissa kata kau yang masuk ke dalam bilik aku kemudian mencuri duit aku! Bukan sikit yang kau curi, RM 500 kau curi. Pulangkan duit aku!” Bentak Pak Damil.
Pak Damil berang kerana wangnya hilang. Pada mulanya dia bertanya kepada Melissa tetapi Melissa terus menuduh Martha bahawa dia yang mencuri duit itu. Melissa mendakwa bahawa dia melihat Martha masuk ke kamar bapanya.
Martha bersungguh – sungguh menafikannya. Dia berasa amat terkilan kerana Melissa tergamak menuduhnya melulu. Benci sekali Melissa terhadap dirinya, perasaan marah dan sedih bercampur baur. Hati Martha ingin memberontak namun dia sedaya upaya mengawal diri. Dia masih sedar akan kedudukannya di dalam rumah.
Pak Damil amat marah kerana Martha tidak mengaku akan perbuatannya maka dia menyebat Martha dengan rotan. Tangisan dan jeritan Martha diendahkannya, Melissa galak melihat Martha dipukul malah menambah api di dalam kemarahan bapanya.
Martha lari setelah dipukul, dia mahu mencari ketenangan. Teresak – esak menahan sakit di dalam hati, menahan marah yang semakin memuncak. Martha masih mengenangkan jasa Pak Damil dan Mak Jenah bersusah payah membesarkannya. Dia tetap ingin membalas jasa ibu bapa angkatnya, walaupun Pak Damil sentiasa bersikap buruk terhadapnya. Mak Jenah telah kembali ke rahmatullah, belum sempat Martha membalas jasanya, maka dia bertekad mahu menjaga dan membalas jasa Pak Damil. Martha sanggup bertahan, biarlah dia kelihatan bodoh kerana masih berbakti kepada orang yang selalu menyakitinya. Martha tetap menghormati Pak Damil, kerana baginya apabila Pak Damil dan isterinya tidak mengambilnya ke dalam keiarganya maka belum tentu dia memiliki apa yang ada sekarang.
Martha sedang fokus mengopek kulit bawang merah, dia menyediakan bahan – bahan masakan untuk makan malam nanti. Mak Jenah telah melatih Martha memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah dan semua pekerjaan seorang suri rumah. Masakan Martha sama seperti arwah Mak Jenah, memang tidak dinafikan bahawa Pak Damil amat menyukai masakannya.
“Kau masak apa? Gulai daging?” Pak Damil menegur dari belakang.
Martha mengangguk laju, dia terkejut dengan kedatangan Pak Damil. Pak Damil mengambil sebilah pisau kecil dan membantu Martha memotong sayur – sayuran yang lain. Lama mereka berdiam diri, tiada satu patah perkataan yang meluncur keluar dari mulut.
“Melissa selalu keluar, tidak pernah lama – lama di rumah. Kalau aku tegur, ada – ada sahaja jawapannya. Masih boleh terima kalau dia bercakap dengan lembut, dia asyik berkasar dengan aku. Langsung tidak hormatkan aku sebagai bapanya.” Luah Pak Damil.
Martha tidak menolehnya, hanya telinganya dipasang. Hatinya ingin mengetahui perkara yang lebih lanjut tetapi mulutunya berkeras tidak mahu bertanya. Tiba – tiba pintu rumah mereka diketuk kuat, mereka kaget. Pak Damil cepat berlari ke arah pintu. Kelihatan Tok Kassim selaku ketua kampung serta beberapa orang kampung yang lain. Mereka berdiri di depan pintu, Pak Damil meyambut kedatangan mereka dengan mesra. Tangan dihulur salam disambut.
“Maaf, apa tujuan kamu semua datang ke sini?”
Mereka saling berpandangan sesama sendiri, Martha memerhatikan mereka dari dapur. Tok Kassim meminta Pak Damil bersabar dan menarik nafas. Dia tidak mahu Pak Damil terlalu terkejut dengan berita yang ingin disampaikannya. Pak Damil menururti kata – kata Tok Kassim, dia juga turut berdebar dan dapat mengagak ada perkara buruk yang berlaku.
“Saya berharap sangat Pak Damil bersabar, niat kami ke sini sebab nak sampaikan satu berita mengenai anak kamu. Melissa.”
“Melissa? Dia kata hendak ke rumah kawannya. Ada perkara buruk yang terjadi kepada Melissa?”
“Pak Damil, Melissa telah ditangkap oleh penduduk kampung. Melissa dengan kawan – kawannya yang lain merompak di kedai runcit Pak Atan. Kalau Pak Damil tidak percaya, saya ada rakamannya.”
Tok Kassim mengeluarkan telefon pintarnya dan menunjukkan rakaman cctv kepada Pak Damil. Kelihatan 2 orang lelaki sedang menahan juruwang itu dan Melissa membuka peti dan mengambil semua wang di dalamnya. Muka mereka amat jelas sekali, kamera cctv sememangnya tertumpu di kaunter cashier.
Pak Damil menangis, dadanya diurut perlahan. Martha berlari mendapatkan bapanya. Tiba – tiba Pak Damil rebah. Tok Kassim dan penduduk yang lain memapahnya kemudian pergi ke hospital. Martha runsing. Dia amat risaukan bapanya, kini dia berada di rumah Tok Kassim, Melissa dengan rakan – rakannya yang lain menunduk. Mata Melissa bengkak dan kemerahan akibat menangis.
“Tolong aku kak, aku menyesal atas perbuatan aku. Bapak masuk hospital disebabkan aku.”Rayu Melissa sambil memegang tangan Martha.
Martha terkedu, pertama kali telinganya menyambut panggilan ‘kakak’. Melissa kelihatan amat menyesal. Tok Kassim memulakan perbincangan, Martha merayu kepada Tok Kassim agar tidak membawa kes kepada pihak polis. Dia tidak mahu Melissa dibawa ke balai polis dan bapanya pasti akan semakin sedih.
Mereka membuat pertimbangan, akhirnya mereka bersetuju Melissa dan rakan – rakannya dilepaskan. Kes mereka tidak dibawa ke pihak polis, namun mereka harus membayar hukuman yang dinyatakan. Setelah semua urusan selesai, Martha dan Melissa pulang ke rumah. Jam menunjukkan 9: 00 malam. Tiada makanan di rumah, Martha tidak sempat memasak disebabkan kejadian tadi.
“Kak, maafkan aku. Aku banyak dosa dengan kakak. Selama ini aku benci kakak, tetapi kali ini kakak yang menolong aku. Maafkan aku, aku menyesal atas segala perbuatan aku. Aku berjanji tidak akan bersikap jahat dengan kakak lagi. Aku terima kakak seikhlas hati. Aku mengaku, selama ini aku cemburu dengan kakak kerana kakak sentiasa menjadi tumpuan dan kesayaangan orang ramai.” Tangan Martha dicium dan air mata Melissa membasahi tangannya.
Melissa hanya menangguk, dia juga turut menangis. Kemudian mereka berpelukkan. Bulan purnama menjadi saksi kasih dan sayang mereka. Mereka ke dapur dan menyediakan makan malam bersama – sama.
Keesokan hari, Martha dan Melissa ke hospital. Mereka membawa bekalan makanan dan pakaian bapanya. Bapanya kelihatan sedang bercakap dengan doktor. Senyuman mekar terukir di bibir apabila Pak Damil melihat anak – anaknya.
“Keadaannya semakin baik, kalau tiada apa – apa masalah mungkin dia boleh keluar pada hari ini. Nanti saya akan senaraikan ubat – ubatan dan berikan kepada jururawat. Dia akan menguruskannya.”
Mereka tersenyum dan mengangguk, doktor pun berlalu. Martha dan Melissa mendapatkan bapanya. Melissa mencium tangan bapanya, dia menangis teresak – esak. Bersungguh – sungguh dia meminta maaf. Martha menjadi pemerhati yang setia, sesekali air matanya mengalir. Ingin sekali dia merasakan kasih sayang yang tulus daripada insan yang bergelar bapa. Pak Damil memandang ke arah Martha, tangannya didepakan. Martha tersenyum, dia berlari anak ke arah mereka.
“Martha, maafkan bapak. Selama ini bapak banyak berbuat dengan Martha. Walaupun bapak selalu marahkan Martha, bencikan Martha tetapi Martha tetap mahu membantu bapak. Martha ada di kala bapak dan Melissa susah.”
“Bapak jangan berkata begitu, sepatutnya Martha berterima kasih terhadap bapak dan arwah mak. Tanpa bapak dan mak, tidak mungkin Martha dapat membesar dengan baik. Bapak berjaya mendidik dan membesarkan Martha dengan baik, bagi Martha setiap kegarangan dan ketegasan bapak merupakan satu didikan kepada Martha. Martha tidak pernah bencikan bapak, matlamat Martha hanya satu. Martha mahu menjaga bapak selagi terdaya. Matha mahu membalas jasa bapak. Izinkan Martha menunaikan hasrat Martha ya bapak?”
Melissa memeluk Martha. Tersentuh hatinya mendengar luahan Martha. Mereka bertiga hidup dengan bahagia. Melissa sememangnya berubah menjadi seorang yang lebih baik, dia juga belajar bersungguh – sungguh dan berimpian menjadi seorang peguam. Dia mahu membantu bapa dan kakaknya, tidak mahu mereka hidup dalam keadaan susah lagi. Hubungan di antara Pak Damil dengan Martha juga semakin akrab. Pak Damil amat menyayangi Martha seperti anak sendiri, Martha menjaga Pak Damil dengan ikhlas. Segala makan minumnya terjaga , demi kesihatan Pak Damil yang kurang memuaskan.
Matahari tegak berdiri, memancar sinarnya menerangi kawasan tanah kubur. Kelihatan Pak Damil, Martha dan Melissa sedang berdoa. Pusara Mak Jenah ditatap sayu, Martha berasa rindu dengan arwah ibu angkatnya. Dengan bersungguh – sungguh Martha berdoa demi ketenangan arwah ibunya di atas sana. Dari jauh, Mak Jenah yang berpakaian serba putih terenyum manis ke arah mereka bertiga.