MEMBACA buku “Indigenous Communities and Languages of Sarawak” karya bersama Asmah Haji Omar dan Norazuna Norahim (2020) membawa saya terfikir betapa satu iltizam besar harus dilakukan untuk memastikan lebih banyak lagi bahasa etnik di Bumi Kenyalang ini wajar dibukukan.
Kesedaran tentang perkara ini timbul apabila ungkapan ayat permulaan pada prakata buku tersebut menyatakan bahawa kebanyakan bahasa sukuan Sarawak masih lagi dalam keadaan ‘languages of memory’ kerana tidak memiliki teks bertulis, hanya diperoleh daripada rekod lisan daripada informan-informan di lapangan.
Usaha untuk memartabatkan sebanyak mungkin bahasa sukuan Sarawak amatlah penting demi mengelak kepupusan seperti yang sudah berlaku dengan bahasa yang dipertuturkan oleh etnik Lelak (Lembah Baram) dan bahasa etnik Seru.
Menurut kajian Asmah dan Norazuna, bahasa Iban dan bahasa Melayu Sarawak merupakan bahasa yang berada dalam Kategori 1a (paling selamat), manakala bahasa Bidayuh, Melanau, dan Kayan dalam Kategori 1b (selamat).
Bahasa Kenyah dan bahasa Lun Bawang pula berada dalam Kategori 2 (bahasa hidup), manakala bahasa Miriek, bahasa Kelabit dan bahasa Punan dalam Kategori 3 (terancam).
Dalam Kategori 4 (bahasa moribund) ialah dua kumpulan bahasa yang terdiri daripada kumpulan bahasa Lembah Baram dan kumpulan bahasa Kajang. Istilah ‘morinbund’ bermaksud ‘di ambang bahaya.
Di bawah kumpulan bahasa Lembah Baram ialah bahasa Kiput, Narom, Rara/Bekati’, Selakau, Bakong, Kiput, dan Dalik, manakala di bawah kumpulan bahasa Kajang, terdiri daripada Kejaman, Sekapan, Lahanan, Bukitan, Ukit dan Sian/Sihan.
DBP berperanan signifikan
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memang sudah banyak mengusahakan kerja-kerja penyelidikan dan pemerolehan bahan untuk penerbitan daftar kata dan kamus kebanyakan bahasa sukuan Sarawak.
Namun, sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, terutama sekali persatuan-persatuan setiap etnik yang ada di Sarawak, selain banyak pihak lain dalam sektor swasta, juga diperlukan untuk menggerakkan usaha melestarikan bahasa sukuan agar tidak tergelincir ke lembah kepupusan.
Sekadar mengambil contoh apa-apa yang telah pihak DBP cawangan Sarawak telah lakukan adalah menerbitkan Daftar Kata bagi bahasa-bahasa Bakong, Melanau-Dalat, Seduan, Melanau Matu-Daro, Kenyah Cebup, Bidayuh Selako, Bisaya, Kayan, dan Miriek.
Kamus pula sudahpun diusahakan bagi bahasa Melayu Sarawak, Iban, Melanau Mukah, Vaie, dan beberapa lagi.
Difahamkan ada beberapa lagi projek yang diusahakan, tetapi tergendala akibat pandemik Covid-19, namun akan dilaksanakan semasa musim peralihan endemik ini.
Bagi bahasa Iban agak bertuah kerana ada sokongan dari Yayasan Tun Jugah, selain Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), begitu juga bahasa Melanau (disokong MAIS) dan bahasa Bidayuh (Dayak Bidayuh National Association DBNA).
Rumpun Austronesia
Seperkara yang menarik mengenai bahasa sukuan Sarawak adalah perkembangannya berkisar sekitar etnik tempatan itu sendiri berdasarkan lokasi masing-masing. Misalnya, etnik Penan dalam kawasan Tutoh di Baram berupaya bertutur dalam bahasa Kayan dan Kenyah, selain bahasa Melayu. Hal ini terjadi demikian kerana kaum Penan sering menerima bantuan sosial melalui agensi tertentu yang diwakili oleh mereka dari kaum-kaum berkenaan.
Hal sedemikian ini yang mendorong etnik Penan ini secara perlahan-lahan mengadaptasikan pertuturan mereka mengikut etnik yang memberi bantuan itu supaya mudah untuk berkomunikasi.
Dapatan inilah menurut kajian Asmah dan Norazuna dalam buku “Indigenous Communities and Languages of Sarawak” ini yang diterbitkan oleh DPB pada 2020..
Selain itu, mereka juga mendapat maklumat bahawa di Long Latei dan Long Bedian, Penan Selungo yang memeluk agama Kristian sejak 1960-an lagi, bersembahyang dalam gereja di Long Bedian yang bahasa pengantarnya ialah bahasa Kayan.
Kedua-dua penulis buku ini juga mengamati bahawa di Sarikei, bahasa pertuturan mereka ialah Iban, Melayu, Melanau dan Cina, kerana keempat-empat kaum itu memang pemastautin di situ.
Keadaan ini penulis anggap sebagai komuniti yang eponymous, iaitu berdasarkan isi kandungan populasinya.
Mengapakah adaptasi bahasa etnik yang berlainan nampaknya bagaikan begitu mudah untuk diserapkan etnik lain? Jawapannya adalah semua bahasa sukuan Sarawak berasal daripada satu rumpun yang sama, iaitu rumpun Austronesia.
Menurut penyelidikan lapangan penulis buku ini, kebanyakan suku kaum Sarawak merupakan migran dari tempat yang sama, iaitu dari wilayah Kapuas di Kalimantan yang berlaku beratus-ratus tahun dahulu.
Ada dalam kalangan responden lapangan dapat menjelaskan dari bahagian mana di Kapuas mereka berasal, manakala yang lain hanya sekadar dapat memberitahu mereka asalnya adalah dari situ.
Apa-apapun jua, kesemua etnik Sarawak merupakan multilingual, tiada satu etnik pun yang monolingual.
Malahan, kajian penulis buku ini mendapati segelintir etnik yang kecil jumlah mereka lebih suka memfasihikan diri mereka dengan bahasa kelompok majoriti di tempat berdekatan mereka demi memudahkan komunikasi.
Dari kalangan etnik Miriek, Dalik dan Narom, oleh kerana mereka semua beragama Islam dan berada dalam kawasan yang majoritinya Melayu, maka menggelarkan diri mereka juga sebagai Melayu, walaupun pada masa yang sama mengekalkan bahasa pertuturan mereka sendiri sebagai orang Miriek, orang Dalik atau Orang Narom.
Pengaruh pendidikan dan kahwin campur
Salah satu daripada faktor yang boleh melunturkan bahasa sukuan dalam kalangan segelintir etnik adalah sistem pendidikan.
Dasar pendidikan yang mewajibkan kanak-kanak memasuki persekolahan sekurang-kurangnya 11 tahun mulai dari usia enam tahun, telah menyaksikan pengaruh bahasa Melayu yang digunakan di sekolah sedikit sebanyak menghakiskan penguasaan bahasa asal masing-masing, terutama sekali bagi kalangan pelajar asrama.
Walaupun bahasa sukuan mereka pertuturkan semasa balik kampung atau tempat asal, namun pengaruh rakan sebaya mudah membuat si penutur terbawa-bawa secara bawah sedar akan bentuk ungkapan mereka sehinggalah ia berkembang menjadi satu perbuatan yang tidak disedari.
Lagi satu faktor adalah berlakunya banyak perkahwinan campur dalam kalangan etnik-etnik sama ada Kedayan kahwin Bakong; atau Bidayuh kahwin Melanau; Kelabit kahwin Iban; dan seumpamanya.
Apabila keadaan ini berlaku, kecendurungan satu etnik mengabaikan bahasa etnik sendiri kerana terlalu mesra dengan bahasa etnik pasangan, maka berlaku keterhakisan bahasa etnik asal.
Perkara ini lebih banyak mempengaruhi anak yang dilahirkan dari hasil perkahwinan campur sedemikian.
Menyedari hakikat sebeginilah, salah satu sebab mengapa usaha mendokumentasikan sebanyak mungkin bahasa sukuan Sarawak itu amat penting.
Selain itu, apabila lebih banyak bahasa sukuan difahami, melalui wujudnya usaha pendokumentasi khusus mengenai bahasa sukuan masing-masing, besar kemungkinan kosa kata bahasa Melayu baku kebangsaan kita boleh semakin diperkayakan dengan penyerapan lebih banyak lagi kosa kata dari bahasa sukuan ke dalam kosa kata bahasa kebangsaan kita.
Setakat ini beberapa perkataan seperti ‘ruai’, ‘randau’, ‘berambeh’, ‘jerayawara’ sudahpun diterima pakai. Mengapa tidak suatu waktu nanti akan turut dimasukkan pula perkataan-perkataan lain pula yang turut diambil pakai?